Kelab Keluarga UTM International (UTMi) menerusi kolaborasi dengan Kelab Keluarga Sekolah Kejuruteraan Awam(SKA), Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia telah mengadakan program khidmat masyarakat dan agihan barangan keperluan di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Kempas pada 17 Ogos lalu.

Program ini dijalankan bertujuan memupuk semangat keprihatinan dan kedermawanan di kalangan staf kedua-dua buah jabatan dan selari dengan aspirasi UTM dalam memasyarakatkan Universiti di komuniti sekitar khasnya di daerah Johor Bahru.

Selain itu, program ini juga diadakan dengan tujuan memberikan keceriaan serta menghargai warga emas di pusat jagaan yang dihuni seramai 109 orang warga emas tersebut.

Hasil kolaborasi antara Kelab Keluarga UTMi yang dipengerusikan oleh En Ahmad Hilman Borhan dan Kelab Keluarga SKA yang dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Roslli Noor Mohamed ini telah berjaya mengumpul sumbangan wang tunai dan barangan keperluan yang bernilai lebih RM 5,000.00 dan telah disalurkan sebahagiannya kepada Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan.

Manakala, sebahagiannya lagi akan disumbangkan kepada sebuah lagi pusat jagaan yang seumpamanya di daerah ini.

        

Sumbangan barangan keperluan asas yang merangkumi lampin pakai buang, beras, sabun mandian dan lain-lain lagi ini telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan daripada kalangan pensyarah, staf dan ahli keluarga di UTMi, SKA dan beberapa jabatan lain.

Kedua-dua kelab keluarga bersetuju agar program khidmat masyarakat seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa yang akan datang dan seterusnya dapat dijadikan program tahunan Kelab Keluarga masing-masing.

Penulis:

Ahmad Hilman bin Borhan,

Dr. Ahmad Fadhil bin Yusof,

Nurhamizah binti Zul.