April 20, 2024

Search
Close this search box.

Pencemaran bunyi boleh dikategorikan sebagai bahaya dalam senyap. Pendedahan bunyi melampau boleh mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan manusia dan persekitarannya. Persekitaran sekolah tidak terkecuali dari terdedah kepada masalah bunyi bising.

Antara punca yang paling utama ialah kebisingan bunyi dari aliran trafik yang tinggi terutamanya di kawasan sekolah yang terletak berhampiran jalan raya.

Di Malaysia, keterdedahan bunyi trafik telah mendapat perhatian sejak 1980-an bermula di sekolah yang terletak di kawasan pengkomersialan di Lembah Klang. Kajian menunjukkan semakin banyak persekitaran sekolah berada di kawasan yang mempunyai aliran trafik yang semakin padat dan tinggi di mana aras had bunyi berterusan setara (LAeq) di kawasan sekolah berada antara 68.2 dBA hingga 73.7 dBA, melebihi 55dBA yang dibenarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Tahap pencemaran ini dikategorikan sangat tinggi kerana kebisingan dari aliran trafik boleh menyebabkan keadaan di dalam bilik darjah menjadi hingar akibat dari bunyi latar dari aliran trafik.

Keterdedahan kepada bunyi latar yang tinggi di dalam bilik darjah juga mengakibatkan guru-guru berkenaan terpaksa meninggikan suara sebanyak semasa mengajar agar boleh didengari oleh murid-murid secara optimal. Sebagai akibatnya, guru-guru tersebut boleh mengalami gangguan kesihatan fizikal dan mental seperti kehilangan suara, sakit tekak, keletihan mental, berasa marah dan cemas serta boleh kehilangan fokus dan semangat seterusnya menjejaskan profesion sebagai pendidik.

Kajian juga menunjukan aras bising yang tinggi secara berterusan boleh menjejaskan kesihatan fizikal murid dan menjadi punca kepada masalah disiplin atau kemalangan di dalam bilik darjah. Bagi murid kategori pendidikan khas pula, kebisingan seperti ini boleh menyebabkan kehilangan pendengaran yang lebih teruk.

Kebisingan juga menghalang tumpuan belajar, merosakkan pembelajaran dan perkembangan kognitif, iaitu kemahiran murid untuk berfikir dan memahami kedua-dua pemahaman lisan dan penulisan. Mata pelajaran yang memerlukan tahap kefahaman yang tinggi seperti Bahasa dan Matematik juga sangat terjejas akibat dari aras kebisingan yang tinggi dalam sesebuah bilik darjah.

Ruang belajar perlu mengambilkira kesihatan dan kesejahteraan guru dan murid harus sejajar dengan aspirasi pendidikan negara. Oleh itu, masalah aras pencemaran bising yang tinggi dalam bilik darjah yang dialami oleh sebahagian sekolah di Malaysia serta kesannya kepada guru dan murid merupakan satu halangan besar kepada perlaksanaan sistem pendidikan pada masa ini.

Kesedaran harus dipupuk dalam kalangan komuniti pendidik dan pihak berkuasa bagi perancangan serta reka bentuk sekolah tentang pentingnya keperluan menggunakan bahan penebat dan penyerap bunyi secara optimum untuk pembinaan bangunan dan pengubahsuaian ruang belajar selaras dengan aspirasi pendidikan negara dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Mengetahui signifikannya masalah ini, pasukan penyelidik dari grup penyelidikan UTM GREENPrompt, Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terdiri daripada Prof Madya Dr Zaiton Haron, Dr Khairulzan Yahya, Dr Nadirah Darus, Rafidah Mohd Yussup, Egr Ahmad Syakir Farhan A Kassim dan Nawawi Salleh telah membina sebuah prototaip bilik darjah istimewa dipanggil ‘Serene Classroom’ bagi mengatasi masalah ini.

Sebuah bilik darjah di tingkat dua SK Kampong Pasir, Johor Bahru yang mempunyai keterdedahan aras bunyi trafik dari lebuh raya Skudai-Johor Bahru telah dipilih sebagai prototaip bilik darjah kedap bunyi.

Projek ini adalah kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Sekolah Kebangsan Kampong Pasir Johor Bahru, Syarikat Vibrant Echo, Sanjung Sempurna Sdn. Bhd. dan DZAZ Collection.

Bilik darjah asal mempunyai bacaan purata aras bunyi latar dalam tempoh 8 jam sehingga 71 dBA, seumpama kebisingan yang dialami oleh seseorang yang berdiri di tepi jalan raya dengan aliran trafik yang tinggi pada jarak 15 m.

Oleh itu prototaip ini bertujuan untuk menzahirkan idea bilik yang dapat mengurangkan bunyi latar dalam bilik darjah ke paras yang lebih rendah dengan kos yang berpatutan serta pelaksanaan mudah oleh orang awam.

Ianya sesuai untuk bilik darjah yang terdedah kepada bunyi bising yang berpunca dari satu sisi bahagian bilik darjah yang mempunyai bukaan dan tingkap. Kos prototaip termasuk bahan dan pemasangan untuk pengubahsuian bilik darjah asal berjumlah RM120 per meter persegi.

Konsep Prototaip

Prototaip bilik kedap bunyi dibangunkan dengan konsep mengurangkan gelombang bunyi bising trafik yang meresap ke dalam bilik darjah untuk merendahkan bacaan bunyi latar dari aliran trafik. Oleh itu, sisi bilik yang mempunyai bukaan seperti tingkap dan bukaan dinding lain yang berhampiran dengan sumber bunyi perlu dirawat.

Tingkap ‘louvers’ dan bukaan yang biasa dibina di sekolah digantikan dengan tingkap cermin setebal 5mm berkerangka aluminium. Kekedapan tingkap tersebut ditambah dengan penggunaan bahan silikon sebagai pengedap tambahan di sekeliling kerangka aluminium yang dipasang. Oleh kerana cermin mempunyai sifat pantulan bunyi yang baik, bunyi dari jalan raya dapat dipantul balik semula ke arah jalan.

Konsep pembinaan bilik prototaip darjah kedap bunyi untuk mengurangkan gangguan bunyi trafik
Pancaran bunyi bising trafik ke tingkap panel kaca dimana sebahagiannya memantul balik keluar dan sebahagiannya masuk ke dalam bilik darjah, diserap dan dipantul balik oleh siling akustik
Pemandangan bilik darjah kedap bunyi prototaip

Bagi mengurangkan pantulan suara dari guru dan murid di dalam bilik darjah akibat pemasangan tingkap kerangka panel kaca yang kedap bunyi, siling akaustik telah dipasang bagi menggantikan siling asal jenis asbestos. Sebagai hasilnya, suasana bilik darjah menjadi lebih tenang dan suara guru menjadi lebih jelas dan difahami.

Guru juga boleh berinteraksi dengan murid menggunakan aras suara biasa, sekaligus dapat mengelakkan risiko sakit tekak akibat penggunaan aras suara yang tinggi. Siling akustik jenis ‘wool mineral’ yang digunakan mempunyai nilai keofisien serapan bunyi maksimum membolehkan ianya menyerap tenaga bunyi secara purata sebanyak 50%.

Bagi meminimumkan lagi aras bunyi latar dari aliran trafik berdekatan, langsir kalis bunyi digunakan untuk menutupi keseluruhan tingkap selain meningkatkan suasana pembelajaran baik dengan sifat estetika yang menarik di dalam bilik darjah dan menjadikan suasana bilik darjah redup dan selesa.

Bukti Kejayaan Prototaip

Hasilnya, aras bunyi dalam bilik prototaip telah berjaya dikurangkan dengan sangat signifikan. Kadar bunyi latar LAeq dapat dikurangkan sebanyak 13 dBA dengan keadaan tingkap terbuka separuh (50%) dan sebanyak 18 dBA jika panel tingkap tertutup rapat sepenuhnya. Secara keseluruhannya, iaitu dengan tingkap tertutup dan berlangsir, penurunan bunyi latar ialah 21 dBA iaitu di bawah paras 50 dBA.

 

 

 

Perbezaan kualiti bilik kedap bunyi telah diakui oleh semua 32 orang murid Tahun 3 dan 30 orang Tahun 5 yang menggunakan bilik tersebut berbanding kualiti bilik darjah asal.

Hasil kajian mendapati peratus bilangan murid yang tidak terganggu dengan bunyi bising trafik telah meningkat dari 21 % ke 90 % manakala peratus bilangan murid yang merasa selesa dan dapat mendengar percakapan guru dengan lebih baik telah bertambah dari 23 % ke 81 %.

Kajian ini juga mendapati bahawa tahap pemahaman terhadap mata pelajaran Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris secara keseluruhannya menjadi lebih baik.

Oleh itu pasukan penyelidik mengharapkan agar lebih banyak lagi ‘Serene Classroom’ ini dapat dilaksanakan di sekolah-sekolah terutamanya di pusat bandar yang dilanda kebisingan yang tinggi. Berdasarkan kajian dan hasil pelaksanaannya, bilik darjah seumpama ini amat penting bagi menjamin suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan seterusnya kualiti pendidikan yang lebih baik.

 

Prof Madya Dr Zaiton Haron
Pensyarah Kanan
Jabatan Struktur dan Bahan
Sekolah Kejuruteraan Awam,
Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, 81310 Johor Bahru, Johor

Dr Khairulzan Yahya
Pensyarah Kanan
Jabatan Struktur dan Bahan
Sekolah Kejuruteraan Awam,
Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, 81310 Johor Bahru, Johor
Dr Nadirah Darus
Pensyarah Kanan
Jabatan Struktur dan Bahan
Sekolah Kejuruteraan Awam,
Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, 81310 Johor Bahru, Johor
En Nawawi Salleh
Pembantu Jurutera
Makmal  Struktur
Sekolah Kejuruteraan Awam,
Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, 81310 Johor Bahru, Johor
Pn Rafidah Mohd Yussup
Guru Besar;
Sekolah Kebangsaan Kampong Pasir,81200 Johor Bahru, Johor
 

Egr Ahmad Syakir Farhan
Jurutera Awam
QSE Construction Sdn Bhd
Wisma QSE, Aras 2 (Kiri), Lot 45211, Kampung Merbau Indah, Jalan Kuala Selangor, 47000 Sungai Buloh, Selangor

Explore More