April 18, 2024

Search
Close this search box.

Indang-indang padi di daik

Padi bukit ditampi juga

Kalau ada budi yang baik

Walau sedikit dikenang juga

 

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan Perbarisan Penghargaan kepada Kolonel (Kehormat) Datuk Prof Ir Dr Wahid Omar selaku Komandan PALAPES UTM kelima pada 4 Oktober lalu.

Ia diadakan sebagai tradisi dalam ketenteraan bagi menghargai segala sumbangan dan jasa yang telah diberikan oleh seseorang pegawai atasan sepanjang perkhidmatan beliau.

Penglibatan komandan PALAPES UTM, Kolonel (Kehormat) Datuk Prof. Ir. Dr. Wahid bin Omar dalam PALAPES bermula dengan penyertaan dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW) pada tahun 1992.

Beliau adalah antara Pegawai Staf UTM yang menjadi pengasas daalam penubuhan Pasukan PALAPES di UTM.

Menurut beliau, pengalaman menjalani latihan ketenteraan mengajar erti pentingnya mempunyai semangat dan disiplin yang tinggi, membentuk sifat kepimpinan yang ulung, memupuk semangat dan jiwa kental dalam berdepan pelbagai cabaran serta membina kekuatan mental dan fizikal.

“Latihan PALAPES telah meniupkan semangat cintakan negara dan sentiasa bersedia berkhidmat, selain berupaya bertindak melaksanakan tanggungjawab, tanpa mencari-cari alasan”

Latihan yang dijalani secara tidak langsung turut menyemai prinsip tidak boleh gagal dan itulah yang perlu disematkan dalam kehidupan seharian agar sentiasa kekal cemerlang,” kata beliau.

Beliau mengharapkan semua Pegawai Kadet PALAPES UTM terus mengekalkan semangat perjuangan, tabah, cekal dan bersatu hati biarpun setelah berjaya ditauliahkan.

Perbarisan tersebut telah diadakan di Padang Kawad PALAPES UTM dengan melibatkan 15 Pegawai, 24 Staf dan Jurulatih serta 24 orang Pegawai Kadet dan telah diketuai oleh Kapten Mohd Syawal bin Mohamed Abdul Fatah manakala Sarjan Mejar Rejimen perbarisan adalah Pegawai Waran 1 Faisal bin Baharom.

Majlis penghargaan Komandan PALAPES UTM turut dihadiri oleh Lt Kol Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli bin Hj. Ali Khan, Timbalan Komandan PALAPES UTM serta semua pegawai sukarela PALAPES UTM.

Pada perbarisan kali ini turut diadakan acara pemakaian pangkat dari Leftenan ke Kapten kepada Kapten Mohd Syawal bin Mohamed Abdul Fatah.

Usai acara perbarisan, sebuah majlis jamuan turut diadakan di dewan makan dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Kolonel (K) Datuk Wahid yang telah disampaikan oleh Ketua Jurulatih PALAPES UTM, Mejar Mahathir Majedi bin Manshor Majedi.

Seluruh warga PALAPES UTM amat menghargai jasa dan peranan beliau dan mendoakan agar YBhg Komandan diberikan kesihatan yang baik dan terus cemerlang pada masa akan datang.

 

  

Explore More