April 19, 2024

Search
Close this search box.

Oleh : Profesor Dr. Omar bin Yaakob

Kegiatan perkapalan merupakan aktiviti penting negara. Statistik menunjukkan lebih 90 peratus perdagangan antarabangsa Malaysia dieksport dan diimport melalui jalan laut. Di peringkat antarabangsa pula, dianggarkan sekitar 80 peratus perdagangan global diangkut menggunakan kapal.

Bagi mengawal selia sistem perkapalan di peringkat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menubuhkan Pertubuhan Maritim Antrabangsa (IMO) yang dianggotai oleh 171 buah negara. IMO yang ditubuhkan pada tahun 1958, merupakan agensi yang bertanggungjawab menyelaras dan mengawal selia aktiviti perkapalan dunia bagi memastikan ia selamat dan lestari.

Bidang tugas IMO meliputi kesemua aspek kawal selia aktiviti perkapalan termasuk mewujudkan undang-undang perkapalan antarabangsa dan peraturan bagi keselamatan perkapalan bagi memastikan keselamatan kapal dan nyawa di laut. Peraturan juga dibuat untuk merekabentuk dan membina kapal yang lebih selamat, serta menjamin kompetensi, kebajikan dan keselamatan pelaut dan anak-anak kapal.

IMO menguatkuasakan peraturan dan undang-undang ini ke seluruh dunia dengan mewajibkan kapal didaftarkan dan dikawal selia oleh negara yang mendaftarkannya. Undang-undang antarabangsa juga membolehkan negara mengawal selia semua kapal termasuk kapal asing yang memasuki pelabuhan di sesebuah negara. Di Malaysia, pendaftaran, kawal selia dan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang perkapalan terletak di bahu Jabatan Laut Malaysia.

Suatu bidang yang semakin penting yang sedang ditangani oleh IMO ialah isu kelestarian perkapalan. Undang-undang dan peraturan digubal berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar akibat aktiviti perkapalan telah diwujudkan oleh IMO sejak tahun 1973.

Antara undang-undang antarabangsa terpenting dalam aspek ini ialah Konvensyen Antarabangsa bagi Menghindarkan Pencemaran dari Kapal. Ia bertujuan untuk mengawal pencemaran minyak, bahan organik meruap, air sisa, sisa pepejal dan pencemaran udara. IMO juga telah meluluskan konvensyen mengenai pemindahan organisme laut melalui air pengimbang kapal, serta konvensyen antarabangsa mengenai kitar semula kapal.

Kajian menunjukkan aktiviti perkapalan antarabangsa hanya menyumbang tidak sampai empat peratus gas rumah hijau (GHG) global. Namun begitu, undang-undang dan peraturan berkaitan dengan kawalan GHG dan peningkatan kecekapan tenaga kapal telah diwujudkan oleh IMO sejak tahun 1996. Salah satu langkah kawalan yang drastik ialah mewajibkan pengiraan Indeks Rekabentuk Kecekapan Tenaga (EEDI) bagi semua kapal baharu dibina mulai tahun 2013. Kapal yang tidak memenuhi kriteria had maksimum EEDI tidak dibenarkan didaftar dan belayar di perairan antarabangsa.

Bagi menunjukkan komitmen dan signifikan IMO dalam mempromosi kelestarian perkapalan, IMO telah mengumumkan 24 September 2020 yang lalu sebagai Hari Maritim Sedunia dengan tema “Kelestarian Perkapalan untuk Dunia yang Lestari“.

Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia mempunyai peranan yang besar di IMO. Hal ini terbukti apabila Malaysia telah terpilih untuk menganggotai Majlis IMO yang dilantik setiap dua tahun sekali, buat kali kelapan pada bulan November 1999.

Malaysia juga aktif menguatkuasakan peraturan dan undang-undang IMO. Mengenai pencemaran udara oleh kapal, Malaysia telah menandatangani Konvensyen Antarabangsa bagi Menghindarkan Pencemaran dari Kapal. Undang-undang ini membolehkan negara mengambil langkah-langkah perlu bagi mengawal pencemaran laut dan udara oleh aktiviti perkapalan oleh kapal yang berdaftar di Malaysia dan kapal asing yang memasuki perairan dan pelabuhan negara.

Sehubungan dengan itu, kajian-kajian yang dijalankan oleh institusi pendidikan tinggi boleh membantu pihak berkuasa maritim negara. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) contohnya, telah menerajui kajian khusus mengenai pencemaran udara oleh perkapalan. Kajian meliputi pencemaran udara dan juga perlepasan GHG.

Pada tahun 2011, penyelidik UTM dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia telah membuat kajian mengenai jumlah pelepasan GHG oleh kapal-kapal Malaysia. Anggaran pelepasan GHG oleh perkapalan Malaysia dibuat berdasarkan data penggunaan bahan bakar yang dikumpulkan oleh Jabatan Laut Malaysia. Kajian ini menyimpulkan bahawa sejumlah 9.7 juta metrik tan GHG telah dikeluarkan oleh kapal Malaysia pada tahun berkenaan. Kapal tangki minyak merupakan penyumbang utama 40 peratus, diikuti oleh kapal tangki gas cecair dan jenis kapal lain masing-masing sebanyak 38 peratus dan 22 peratus.

UTM juga telah bekerjasama dengan Lembaga Pelabuhan Johor bagi membangunkan sistem bagi menilai tahap pencemaran udara dan gas rumah hijau di Pelabuhan Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas. Kajian ini juga mencadangkan langkah-langkah yang perlu diambil ke arah menaiktaraf pelabuhan-pelabuhan ini ke tahap pelabuhan hijau. UTM juga bekerjasama dengan Lembaga Pelabuhan Bintulu bagi membuat penanda aras indeks pelabuhan hijau.

Kumpulan pengkaji UTM juga sedang membangunkan sistem pemantauan pelepasan GHG di pelabuhan dan di perairan Malaysia menggunakan kaedah Sistem Pengenalan Automatik (AIS). Melalui sistem ini, kapal-kapal boleh dikesan melalui sistem penjejakan AIS dan jumlah anggaran GHG yang dilepaskan ke udara.

Mengenai organisma akuatik berbahaya, isunya ialah penyebaran organisma dari tempat lain ke negara kita melalui air laut yang dimuat ke dalam kapal sebagai pemberat kapal atau pengimbang kapal. Malaysia juga telah menandatangani Balllast Water Convention (International Convention for the Control and Management of Ships’ Ballast Water and Sediments) pada tahun 2004.

UTM juga telah membuat kajian mengenai masalah ini di Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Selain itu, UTM telah membangunkan sistem rawatan air pengimbang kapal bagi kegunaan kapal memastikan air pengimbang kapal dirawat sebelum dilepaskan di kawasan pelabuhan.

Jelasnya, kajian-kajian yang dijalankan oleh penyelidik UTM boleh membantu perairan Malaysia menjadi lebih selamat dan terpelihara dari pencemaran laut. Ia juga boleh membantu Malaysia mempertahankan industri perkapalan negara agar tidak terlalu terbeban dengan peraturan dan undang-undang antarabangsa yang terlalu ketat.

 

Profesor Dr. Omar bin Yaakob, merupakan Felo Penyelidik di Pusat Teknologi Marin UTM dan ahli Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia.

 

Gambar diambil dari https://themalaysianreserve.com/2017/10/05/coming-port-pasir-gudang/

Explore More