April 26, 2024

Search
Close this search box.

Hasta Travel & Tours Taja Kenderaan Rasmi Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) 2020/2021

Hasta Travel & Tours muncul penaja kenderaan pertama Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Sesi 2020/2021 yang berlangsung secara dalam talian pada 11-14 Oktober 2020.

Syarikat yang berpengkalan di Student Mall UTM itu menyediakan empat buah kenderaannya iaitu dua buah Produa Myvi dan dua buah Produa Axia sebagai kenderaan rasmi sepanjang program MMM kali ini.

Antara barisan kenderaan sewa yang ditawarkan oleh syarikat

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata tajaan Hasta Travel & Tours itu sangat memberikan manfaat kepada universiti terutamanya sebagai pengangkutan rasmi kepada pasukan krew MMM yang mengendalikan program selain kegunaan bagi mengambil dan menghantar penceramah dan VIP terlibat ke studio rakaman di UTM Lead.

“Apatah lagi tajaan seperti ini hadir dari syarikat milik mahasiswa UTM sendiri,” tambahnya lagi yang percaya sistem pengangkutan yang efisien merupakan aspek penting dalam memastikan kelancaran penganjuran apa juga acara.

Kisah Hasta Travel pernah dipaparkan dalam Varsiti Berita Harian pada 2019

Hasta Travel & Tours Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat agensi pelancongan dahulunya dikenali sebagai Hasta Car Rental yang menyediakan perkhidmatan kereta sewa kepada mahasiswa dan staf UTM.

Pengarah syarikat, Nabihah Kamarudin yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah berkata syarikat yang mula beroperasi sejak Ogos 2018 itu turut menawarkan pelbagai jenis produk termasuk pacuan empat roda dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Selain kenderaan, kami juga menaja lima karton air mineral kepada Minggu Mesra Mahasiswa 2020/2021 dengan nilai tajaan keseluruhan sebanyak RM 2000.00,”  tambah anak sulung daripada lima beradik itu lagi.

Pengarah Pembangunan & Aktiviti Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib berkata adalah menjadi harapan universiti agar ‘trend’ penglibatan syarikat milik pelajar UTM sebagai penaja dalam  program anjuran universiti berterusan dan menjadi ikutan syarikat lain.

“Kami gembira kerana kesedaran untuk memanfaatkan program-program besar di UTM  sebagai platform memperkenalkan jenama dan perkhidmatan masing-masing mula menjadi budaya di universiti ini,” ujarnya lagi.

Bagi Ketua Pengarah Operasi (COO) MMM 2020/2021, Muhammad Amirul Ismail pula, tajaan ini sangat besar maknanya kepada Jawatankuasa Krew MMM dalam memastikan kualiti penganjuran MMM kali ini adalah yang terbaik walaupun secara atas talian.

Minggu Mesra Mahasiswa 2020/2021 dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian susulan kenyataan media Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 2 Oktober 2020 yang memutuskan untuk menangguhkan sementara kehadiran semua pelajar secara fizikal ke kampus UTM Johor Bahru dan Kuala Lumpur sehingga pengumuman seterusnya dikeluarkan.

Explore More