April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 7 Sept. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul sebagai juara ASEAN Data Science Explorer 2020 bagi peringkat Kebangsaan.

Kumpulan yang dikenali sebagai Psyduck terdiri daripada dua orang mahasiswa Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrikal-Mekatronik) iaitu Oscar Ling Fang Jack dan Jason Quah Chun Meng dan dibimbing oleh pensyarah kanan UTM, Prof. Madya Dr. Yeong Che Fai.

Dalam pertandingan tersebut, Psyduck menewaskan 852 orang lagi peserta yang bertanding secara dalam talian.

Dengan kemenangan ini, kumpulan Psyduck membawa pulang hadiah wang kemenangan berjumlah USD 800.00 (RM3,300.00) dan akan sekali lagi bertanding mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa yang bakal berlangsung di Vietnam.

Menurut Dr. Yeong, sepanjang tiga bulan terakhir, kumpulan Psyduck menyediakan papan cerita yang terdiri daripada penemuan utama dan penyelesaian masalah yang dapat dilaksanakan berdasarkan data menggunakan SAP Cloud Analytics untuk mengatasi masalah sosio-ekonomi ASEAN.

“Mereka membentangkan papan cerita mereka tentang “Integrasi Digital: Kunci Pertumbuhan” di mana mereka menekankan betapa pentingnya integrasi digital bagi membolehkan ASEAN mempunyai pertumbuhan sosio-ekonomi yang inklusif dan penyelesaian untuk mengatasinya,” kata beliau.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Yayasan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan kerjasama syarikat pengeluar perisian dari negara Jerman, SAP ini merupakan acara perdana tahunan yang dianjurkan sejak tahun 2017.

Pertandingan ini telah mendidik lebih daripada 10,000 orang muda dari 250 institusi pengajian tinggi di negara-negara ASEAN untuk meningkatkan literasi digital mereka dan memupuk rasa tanggungjawab dan pemilikan yang lebih besar terhadap masa depan rantau ini.

Bagi tahun 2020 ini, penganjur telah menerima lebih daripada 400 penyampaian papan cerita di seluruh ASEAN dan telah menyenarai pendek 10 pasukan yang merangkumi UTM, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),National University of Singapore (NUS), Universiti Sunway, Monash University Malaysia, Help Universiti dan Universiti Perubatan Newcastle.

Antara barisan hakim yang mengadili adalah terdiri daripada Dr. Vellapandian A / L Ponnusamy dari Kementerian Belia Sukan (KBS), YBhg. Prof Dato ‘Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd. Zain dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Ketua Bahagian Perkongsian Yayasan Generasi Gemilang, Riana Yam, Syarina Hisham dari My Harapan dan Pengarah Urusan SAP Malaysia, Hong Kok Cheong.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Durrishah Idrus mengucapkan tahniah dan bangga dengan pencapaian ini serta menekankan bahawa pihak pengurusan UTM sentiasa memastikan sistem sokongan dan ekosistem terbaik untuk melahirkan graduan holistik yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.

“Oscar Ling Fang Jack merupakan pelajar terpilih untuk program ‘signature’ UTM iaitu 5 Excellence Tracks Programme (5 ETP) dan beliau juga merupakan finalis kepada Tokoh Siswa Kebangsaan dalam Anugerah Tokoh Siswa yang bakal diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi sedikit masa nanti,” tambah beliau.

 

Dari kiri ialah Oscar Ling Fang Jack, Jason Quah Chun Meng dan Prof. Madya Dr. Yeong Che Fai

 

 

 

10 pasukan teratas dalam ASEAN Data Science Explorer 2020 di peringkat kebangsaan

 

 

 

 

Explore More