Menyedari pentingnya agenda pendidikan dijayakan secara kolaborasi atau bersama, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membentuk jalinan kerjasama dalam membangunkan pelajar serta melahirkan lebih ramai pemimpin masa hadapan di kedua-dua buah institusi tersebut.

Kerjasama tersebut dibentuk dalam lawatan penanda aras Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM ke UPSI baru-baru ini.

Penolong Pendaftar Kanan, Ili Ruwaida Md Yusof (kanan) diberi taklimat di Ruang Aktiviti Pelajar oleh rakan sejawatnya di UPSI

Lawatan yang diketuai oleh Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib tersebut telah melibatkan 20 orang staf dari Jabatan TNC (HEP).

Delegasi UTM ini telah berkesempatan untuk melawat Bahagian Komunikasi Korporat, Fakulti Bahasa & Komunikasi serta Pusat Kebudayaan yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah selain Pusat Pelajar dan UPSI Adventure Park di Kampus Sultan Azlan Shah.

Pelbagai ilmu, idea dan amalan terbaik dikongsikan bersama antara kedua-dua universiti sepanjang lawatan tersebut.

Sesi ramah mesra dan berswafoto antara staf UPSI dan UTM

Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib berkata antara objektif utama perbincangan kerjasama ini ialah penubuhan radio TV kampus dan pusat kebudayaan.

Beliau turut berkata bahawa Jabatan TNC (HEP) UTM mensasarkan penubuhkan stesen radio TV online (atas talian) UTM yang akan menjadi wadah penyampaian, perkongsian dan hebahan maklumat melalui kolaborasi bersama Jabatan Hal Ehwal Korporat, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK) dan seluruh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UTM.

“Meskipun dengan kelahiran pelbagai bentuk media baru, penggunaan serta sumbangan radio TV atas talian sangat dekat dengan gaya hidup masa kini warga kampus,” ujar beliau lagi.

Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib (tengah) semasa lawatan

UPSI merupakan universiti awam pertama di negara ini yang memiliki stesen radio yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UPSI, Mohd Husyaini Hashim berkata siaran radio dikenali sebagai ‘TMFaceLive’ adalah hasil cetusan idea para pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

TMFaceLive ini bersiaran pada hari Isnin hingga Khamis dari 10 pagi hingga 2 petang, dan pada hari Jumaat dari 9 pagi hingga 1 petang. Ia mempunyai 10 segmen antaranya My Berita, Info UPSI, Wacana Intelek, Da’i Remaja serta menyiarkan pelbagai lagu yang dinyanyikan oleh pelajar UPSI.

“TM membawa maksud Tanjung Malim yang merupakan lokasi kampus UPSI manakala face pula membawa maksud wajah-wajah mahasiswa UPSI,” tambahnya lagi.

Konti Radio UPSI

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof. Dr. Md Amin Md Taff berkata kerjasama strategik ini merupakan medan terbaik antara kedua-dua pihak dalam merangka pelbagai program dan strategi untuk melahirkan lebih ramai tokoh dan pemimpin pelajar yang menonjol di peringkat global.

Beliau juga berkongsi bagaimana keberadaan Pejabat TNC (HEPA), MPP, Persatuan/Kelab dan bilik serta ruang aktiviti pelajar di satu bumbung yang sama memberi banyak kelebihan di UPSI.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof. Dr. Md Amin Md Taff

Sesi perkongsian turut disertai pasukan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI yang diketuai oleh Yang Dipertua, Mohamad Faiz Farhan Abdul Rahman.

Antara perkongsian menarik dari beliau ialah usaha pemberdayaan pelajar di UPSI yang menyaksikan pasukan MPP merancang aktiviti serta menguruskan agihan peruntukan sebanyak RM 300,000.00 untuk semua persatuan/kelab yang bernaung di bawahnya.

Keunikan lain ialah adanya empat kerusi etnik (Cina, India, Sabah dan Sarawak) yang dipertandingkan dalam pilihan raya kampus UPSI.

Sesi perkongsian turut disertai pasukan MPP UPSI yang diketuai oleh Yang Dipertua, Mohamad Faiz Farhan Abdul Rahman (kanan)

Siti Najwa Suhaimi dari UTM (kanan) bertukar-tukar pandangan bersama Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa dari Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, Dusha Nanthakumar

Pentas Speaker’s Corner yang terletak di Pusat Aktiviti Pelajar