JOHOR BAHRU, Sept 27 — Menyedari pentingnya agenda penyelidikan dijayakan secara kolaborasi atau bersama industri, Software Engineering Research Group (SERG), Sekolah Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor (JKSNJ) membentuk jalinan kerjasama dalam kajian penambahbaikan proses perniagaan agensi tersebut.

Kos projek kerjasama awal ini dibiayai syarikat hiliran UTM yang merupakan Tanggungjawab Sosial Korporat mereka.

Kerjasama tersebut dijalankan dengan menjalani bengkel susulan di Sekolah Komputeran bersama pihak berkepentingan dari JKSNJ untuk mendapatkan maklumbalas proses carta alir untuk tujuh modul yang telah dikenalpasti.

Keseluruhan projek adalah untuk Pembaikan Proses Perniagaan (BPI) JKSNJ dengan menilai dan merancang semula proses perniagaan yang ada untuk meningkatkan kecekapan, aliran kerja dan pengeluaran di JKSNJ.

Lawatan yang diketuai oleh Ketua Hakim Syarie JKSNJ, Yang Amat Arif Tuan Haji Muhammad Khaldun bin Muhammad Sharif tersebut telah melibatkan 12 orang staf dari JKSNJ terdiri daripada dua orang Hakim Syarie serta pegawai-pegawai tadbir dan IT. Pelbagai ilmu, idea dan amalan terbaik dikongsikan bersama antara kedua-dua pihak sepanjang bengkel tersebut.

 

Prof. Madya Dr. Dayang Norhayati selaku ketua projek kajian ini berkata antara objektif utama perbincangan ini ialah untuk memastikan segala keperluan pengunna dan proses perniagaan sistem untuk JKSNJ dipastikan tepat dan mengikut kehendak pihak JKSNJ untuk mengelakkan sebarang kesalahan logik pada sistem yang akan dibangunkan.

Pensyarah Sekolah Komputeran yang turut sama dalam perlaksanaan bengkel projek ini ialah Dr. Shahliza Binti Abd Halim, Dr. Rohayanti Binti Hassan, Dr. Adila Firdaus Binti Arbain, Dr. Radziah Binti Mohamad, Dr. Noraini Binti Ibrahim, Dr. Mohd Adham bin Isa, Dr. Johanna Binti Ahmad dan Dr. Noor Hidayah Binti Zakaria bersama tiga penyelidik dikalangan pelajar iaitu Hidayatul Nadhirah bt Mohamed, Nurul Najihah Binti Zanudin dan Siti Hamidah binti Mohd Azwan Tan.

Beliau turut berkata bahawa terdapat peluang bagi staf JKSNJ untuk menyambungkan pembelajaran di tahap siswazah dengan tajuk kajian kes projek ini kerana projek ini mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk dijadikan bahan kajian di dalam bidang Komputeran dan Undang-Undang Syarie di Malaysia.

Bengkel ini berakhir pada pukul 1 petang di mana Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof. Dato’ Ir. Dr.. Mohammed Rafiq bin Dato’ Abdul Kadir bersama Pengerusi Sekolah Komputeran Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr. Wan Mohd Nasir bin Wan Kadir, menyertai majlis penutupan bengkel dengan pertukaran cenderahati dengan Ketua Hakim Syarie JKSNJ, Yang Amat Arif Tuan Haji Muhammad Khaldun. Selepas majlis penutupan, peserta-peserta menikmati jamuan dan bersurai.

 

Biography