April 26, 2024

Search
Close this search box.

Sumbangan Prihatin Pelajar UTM Bantu Petugas Barisan Hadapan

Sekumpulan pelajar daripada Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyerlahkan sifat keprihatinan mereka dalam bersama-sama mendepani cabaran penularan pandemik COVID-19 dengan tampil menghulurkan sumbangan berupa cecair pembasmi kuman untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor.

Satu majlis untuk serahan sumbangan tersebut telah diadakan pada 25 Ogos 2020 yang dihadiri oleh wakil pelajar, Lim Wei Wen bersama pensyarah Fakulti Sains UTM, Dr. Raja Kamarulzaman Raja Ibrahim. Majlis tersebut turut dihadiri oleh pakar kesihatan awam, Dr. Lily Rafidah Mohamed Zaki yang mewakili JKN Johor.

Sumbangan tersebut merupakan inisitiaf daripada pelajar-pelajar yang mengikuti kursus Pengenalan kepada Keusahawanan (UBSS 1032). Melalui kursus tersebut, pelajar telah didedahkan dengan pembinaan minda dan karekter keusahawanan serta pemberdayaan keusahawanan sosial. Penawaran kursus tersebut juga adalah selaras dengan aspirasi UTM bagi membangunkan pelajar yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

Justeru bertepatan dengan keadaan semasa, para pelajar tersebut telah merancang beberapa strategi bagi mengumpulkan dana sumbangan prihatin COVID-19. Antaranya adalah dengan mengadakan jualan baju “Pray for Malaysia” yang turut disokong oleh staf UTM dan masyarakat awam.

Menurut Dr. Raja Kamarulzaman selaku pensyarah kursus, pelajar telah menunjukkan daya kreatif, semangat dan usaha berterusan bagi memenuhi hasrat mereka untuk menyumbang kepada pihak barisan hadapan. Mereka juga mahu menghargai pengorbanan barisan hadapan yang terus bertugas demi mengekang penularan wabak ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 48 botol cecair pembasmian kuman telah berjaya disumbangkan. Setinggi penghargaan diucapkan kepada JKN Johor, dan juga semua pihak yang telah bersama menjayakan projek sumbangan ini.

 

Explore More