November 22, 2024

Search
Close this search box.

Program “Virtual” menghubungkan Malaysia dan Japan, COVID-19 bukan penghalang

Pada 1 September hingga 11 September 2020, UTM IET On Campus telah berjaya melaksanakan Program Virtual Capstone Experience 2020 atau singkatannya ViCE 20’ yang merupakan program julung kali diadakan secara atas talian selari dengan norma baharu. Program VICE20’ adalah kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga Shibaura Institute of Technology (SIT), Jepun. Seramai 11 pelajar Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE), UTM dan 20 pelajar SIT yang terlibat dalam program ini, serta dibantu oleh 3 pelajar SKE yang lain yang bertanggungjawab memastikan kelancaran dari segi teknikal program.

Dua pensyarah kanan dari SKE, Dr Rashidah Arsat dan Dr Zaharah Johari, dan Prof. Dr. Hiroaki Morino serta Prof. Dr Ryota Horie dari SIT bertindak sebagai penasihat program sambil dibantu oleh 2 pembantu pengajar dari setiap universiti. Selain SIT, program ini juga menerima kerjasama dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Johor di mana mereka mencadangkan aktiviti temubual dilaksanakan di Flat Laman Tasik Pandan dan juga Flat Temenggung Kulai.

Temubual ini dijalankan bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh penduduk antaranya ialah masalah pembuangan sampah, tempat meletak kenderaan yang tidak sistematik serta masalah keselamatan penduduk semasa berada di kawasan rumah ibadat ekoran penularan COVID-19.

Pelajar UTM dan Pelajar SIT menjalankan temuramah dan menjalankan tinjauan bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Flat Laman Tasik, Pandan dan Flat Temenggong, Kulai
Antara analisis atas talian bersama pelajar-pelajar SIT dengan menggunakan aplikasi Jamboard


Penolong Pengarah kanan LPPKN, Puan Zakiah Md Noh merupakan antara panel bagi menilai projek-projek yang dihasilkan oleh pelajar. Ternyata beliau sangat teruja dengan idea para pelajar semasa pembentangan secara atas talian tersebut. “Pelajar telah menghasilkan idea yang sangat menarik perhatian saya dan saya amat menghargainya”, ujarnya.

“Saya sangat seronok dengan bengkel yang dijalankan terutama sekali bengkel BLYNK dan apps. Aktiviti lawatan ke makmal-makmal di UTM juga telah membuka mata saya dan berasa bangga akan infrastruktur UTM”, menurut pelajar UTM yang menyertai program tersebut. Pelajar UTM juga menyatakan bahawa selain dari ilmu teknikal yang diperolehi, mereka belajar berkomunikasi dengan pelbagai peringkat sama ada dengan kawan-kawan, peserta dari Jepun dan juga dengan komuniti luar. Prof. Dr. Ryota Horie juga menyatakan peserta-peserta dari SIT banyak belajar ilmu teknikal yang baru dan mengukuhkan kebolehan mereka berbahasa Inggeris, dan masing-masing tidak sabar untuk menunggu fasa kedua.

Peserta dari kedua-dua negara ini juga bersetuju program ini mampu meningkat daya pemikiran secara kreatif dan kritis selain dapat mengaplikasikan pengetahuan tentang STEM (Science Technology Engineering and Mathematics). Untuk komuniti pula, mereka dapat menyuarakan masalah yang dihadapi kepada saluran yang betul apabila ada pegawai dari LPPKN yang turut serta dalam sesi temubual bersama komuniti. Impak yang berterusan akan diperoleh semasa ViCE fasa kedua nanti.

Menurut Pengarah Program ViCE ‘20, En Yusril Ehza Mahendra bin Sappe, memandangkan program ini dijalankan secara atas talian, jadi cabaran terbesar program VICE ‘20 adalah dalam menyediakan kaedah terbaik bagi memastikan kedua-dua pihak iaitu UTM dan SIT dapat menerima dan memahami intipati bengkel. Bagi memastikan kelancaran sepanjang program, semua peserta ViCE ’20 dari UTM yang juga bertindak sebagai jawatankuasa program bekerja keras dan bekerjasama bagi memastikan semua berjalan dengan lancar.

Dengan mengadaptasi kursus Projek Capstone yang wajib diambil oleh pelajar tahun akhir SKE. Projek Capstone adalah strategi pembelajaran yang sistematik bagi menghasilkan sesebuah keluaran yang berkesan. Program ini berjaya menghasilkan beberapa cadangan rekabentuk konsep berdasarkan hasil analisa dari aktiviti temubual yang dijalankan. 5 rekabentuk konsep tersebut ialah Smart Trash Chute, The Aromatic Bin, Smart Mosque, Smart Dumpster for Good Manners dan Smart Parking Lot System.

Kelima-lima rekabentuk konsep ini akan digunakan dalam penghasilan prototaip produk dalam Program Virtual Capstone Experience Fasa 2 yang dirancang pada bulan Februari 2021. Selain itu, ViCE ’20 Fasa 1 juga menyediakan beberapa seminar yang dilaksanakan secara atas talian yang disampaikan oleh pensyarah-pensyarah UTM, seminar industry dari Willing.Inc, Jepun, dan juga bengkel Arduino dan Blynk. Program ini juga mendapat penghargaan daripada Prof Durrishah Binti Idrus, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNCHEP) UTM yang telah merasmikan pelancaran penutupan ViCE 20’.

Pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor dan Shibaura Institute Of Technology, Japan, di majlis penutupan program ViCE 20’ yang dihadiri Prof. Dr. Durrishah Binti Idrus, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Universiti Teknologi Malaysia

Presiden kelab UTM IET On Campus, En. Muhamad Hilman bin Haris berkata, program sedemikian bakal dilaksanakan lagi dengan persediaan yang lebih rapi. “Program ini telah mendapat maklum balas yang baik daripada kedua-dua buah universiti dan saya merancang untuk mengadakan program ini secara berkala”, ujarnya. Korea, Indonesia dan Thailand antara negara yang disenaraikan apabila ditanya mengenai perancangan program ke negara seterusnya.

 

Disediakan oleh: 

 Yusril Ehza Mahendra Bin Sappe

Pengarah Program Virtual Capstone Experience 2020 (ViCE 20′)

Program ini turut mendapat liputan dari akhbar Harian Metro; https://www.hmetro.com.my/akademia/2020/10/627428/vice-20-berjaya-dalam-talian 

 

Explore More