April 18, 2024

Search
Close this search box.

Produk Freeze Dried Fruits Guna Kaedah Pengeringan Berteknologi Tinggi

Produk “Freeze Dried Fruits” dengan trademarkBNUTRA” merupakan salah satu produk signature Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing (ICA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Pagoh. Produk ini telah pertama kali dilancarkan dan dikomersilkan di Perhimpunan Bulanan Naib Canselor pada 1 Oktober 2018. 

Selari dengan aktiviti penyelidikan utama ICA iaitu makanan bernutrisi tinggi daripada bioproses hasil pertanian tempatan, Unit Pembangunan Produk yang merupakan salah satu dari unit (R&D) pasukan penyelidik ICA, bertindak memastikan produk ini didaftarkan sebagai Intellect Property (IP) dan penghasilannya yang berkualiti tinggi kekal konsisten.

Produk Freeze Dried Fruits ini terdiri daripada tiga pilihan buah tempatan iaitu nanas, nangka dan naga merah. Proses ini dilaksanakan di dalam skala makmal dan dihasilkan oleh pasukan penyelidik dan jurutera ICA. Buah-buahan tersebut yang segar 100% tanpa tambahan bahan pengawet mahupun bahan pewarna lain, akan disejukkan sehingga 20 celsius di dalam mesin sejuk beku kering atau “freeze dryer”.

Kajian pengoptimuman proses turut dilakukan terhadap buah-buahan segar ini bagi mendapatkan kualiti produk akhir yang terbaik. Semasa proses penyejukan, buah dikeringkan melalui proses sublimasi di mana ais ditukarkan kepada wap air di dalam kondisi vakum. Proses ini berlaku dalam tempoh lebih kurang 24 jam.

Kemudian, produk ini akan disimpan di dalam pembungkusan yang berkualiti dan berteknologi bagi menjamin kualiti dan jangka hayat produk. Dengan teknologi ini, nutrisi, rasa dan bau buah sebenar dapat dikekalkan dan lebih mudah untuk dimakan pada bila-bila masa dan boleh dibawa kemana-mana sahaja.

Sambutan yang menggalakkan daripada staf UTM semasa acara pelancaran memberikan ilham dan ruang untuk ICA, UTM Pagoh membawa produk Freeze Dried Fruits ini ke Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2018 pada 22 November hingga 2 Disember 2018 sebagai salah satu langkah pengkomersilan produk penyelidikan.

Hasil daripada aktiviti pameran di MAHA 2018 ini, produk Freeze Dried Fruits ini telah diakui oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) sebagai produk yang bernutrisi tinggi dengan menggunakan kaedah pengeringan berteknologi tinggi dan dijadikan sebagai salah satu cenderamata khas untuk Perdana Menteri semasa acara perasmian MAHA 2018 tersebut.

Sepanjang MAHA 2018 berlangsung, ICA berjaya mendapatkan hasil jualan sebanyak RM17,162.72 melalui produk Freeze Dried Fruits ini. Respon positif yang diterima daripada orang ramai termasuk beberapa syarikat dari industri makanan telah sedikit sebanyak membantu dalam data penyelidikan pembangunan produk ini.

Terkini, Produk Freeze Dried Fruits ini telah diketengahkan sebagai produk signature semasa UTM Pagoh menerima lawatan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Dr. Noraini Ahmad di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP). 

Selain itu, teknologi ini juga telah terpilih untuk digunakan dalam usaha penjenamaan semula industri produk makanan ringan berasaskan sumber pertanian di daerah Tangkak melalui program Inisiatif Lembah Inovasi Johor (JIVe) 2020-2021. Semoga ianya dapat meningkatkan kebolehpasaran industri makanan ringan daerah Tangkak bagi meningkatkan kelestarian industri agro-pelancongan di negeri Johor.

Produk Freeze Dried Fruits terdiri daripada tiga pilihan buah tempatan iaitu nangka, naga merah dan nanas
Mesin Freeze Dryer di ICA, UTM Pagoh
Majlis pelancaran produk semasa Perhimpunan Bulanan Naib Canselor UTM pada 1 oktober 2018
Kiosk UTM Pagoh semasa MAHA 2018 yang mempamerkan produk Freeze Dried Fruits

Explore More