Pensyarah Fakulti Kejuruteraan UTM menerangkan kepakaran dan kursus yang ditawarkan oleh Makmal Teknologi Marin UTM.

Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima lawatan rasmi daripada wakil syarikat Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd (MMHE) pada 15 September 2020, untuk membentuk kerjasama penyelidikan strategik antara UTM dan industri dalam bidang penyelidikan yang diketuai oleh Prof. Dr. Naomie Salim.

MMHE terlibat secara langsung dalam pembinaan berkaitan dengan sektor kejuruteraan berat dan kejuruteraan perkapalan.

Lawatan ini dilakukan susulan daripada kejayaan beberapa projek-projek penyelidikan kontrak di bawah Fakulti Kejuruteraan UTM yang kini sedang diguna-pakai oleh MMHE dan didapati telah memberi manfaat kepada syarikat.

Lawatan ini disertai oleh 10 orang delegasi dari pihak MMHE dan diketuai oleh Tuan Syed Shaharum Syed Dabal, Pengurus Besar, Bahagian Fasiliti dan Perkhidmatan Aset MMHE.

Sebelum itu, melalui perbincangan delegasi yang diketuai oleh Professor Dr Naomie Salim dengan pihak MMHE, pihak MMHE telah mengemukakan sebanyak 18 pernyataan masalah yang berpotensi untuk diselesaikan dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan UTM.

Sempena lawatan ini, pihak Fakulti Kejuruteraan telah mengumpulkan pakar-pakar dan projek-projek terdahulu berkaitan 18 pernyataan permasalahan yang telah dikemukakan.

Pameran ini telah berjaya menunjukkan kepakaran dan pengalaman UTM yang sebelum ini tidak begitu ketara kepada industri, di samping memberi peluang kepada wakil industri untuk berbincang secara langsung dengan penyelidik bagi membolehkan kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan diwujudkan untuk menyelesaikan masalah industri.

Menerusi pertemuan dan perbincangan tersebut, pihak industri bersama penyelidik-penyelidik terbabit telah mengadakan perbincangan-perbincangan lanjut yang lebih spesifik untuk menyumbang idea dan kepakaran mereka kepada MMHE, termasuklah dalam bidang pemeriksaan struktur, perkapalan, sistem pengesanan dan pengurusan aset, keselamatan, pengurusan tenaga dan digitalisasi pelabuhan.

Kerjasama ini bakal membawa nama UTM sebagai hub penyelidikan dalam sektor perkapalan dan penyelidik berpeluang untuk menyumbang kepakaran mereka dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pihak industri.

Inisitiaf ini selaras dengan pelan MYRA dan bidang tumpuan utama universiti iaitu Kesohoran Global dan Penjenamaan seperti yang digariskan dalam Pelan Global UTM 2018-2020.

Di samping itu, kerjasama ini bakal menyaksikan penglibatan pelbagai sektor kejuruteraan dalam membantu industri meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produk mereka.