April 25, 2024

Search
Close this search box.

UTM Lancar Projek Pembangunan Peranti Perangkap Sampah Marin bagi Melindungi Hutan Paya Bakau

Dalam usaha untuk mengurangkan sisa marin di Malaysia, syarikat hiliran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu ACTS Smart Solutions Sdn Bhd telah berkerjasama dengan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dalam memperkenalkan teknologi peranti perangkap sampah marin dan melancarkan projek ‘Ocean Clean-up’.

Projek ‘Ocean Clean Up’ yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Khairi Abu Husain daripada ACTS Smart Solutions Sdn Bhd merangkumi dua fasa di mana Fasa 1 melibatkan pemasangan peranti perangkap sampah marin dan Fasa 2 melibatkan aktiviti khidmat masyarakat dalam pembersihan kawasan hutan paya bakau.

Pelancaran projek ‘Ocean Clean Up’ yang diketuai oleh penyelidik UTM, Prof. Madya Dr. Mohd Khairi Abu Husain.

Matlamat projek ‘Ocean Clean Up’ ini adalah untuk membuka satu lembaran baru dalam aspek pengurusan sampah di persisiran sungai dan pantai agar lebih ke hadapan dalam menempuh era globalisasi. Di samping itu, dapat menggalakkan peserta untuk bersikap lebih sayang akan alam sekitar dan melahirkan sifat bertanggungjawab dalam diri peserta.

Tanggal 14 Ogos 2020, sebahagian warga ACTS Smart Solutions Sdn Bhd dengan kerjasama wakil penduduk Perkampungan Nelayan Sungai Yu telah memasang peranti perangkap sampah marin di pesisir hutan paya bakau Taman Alam, Kuala Selangor.

Peranti perangkap sampah marin telah dipasangkan sepanjang 12 meter dengan tujuan untuk menghalang sampah yang terapung di sungai daripada memasuki kawasan hutan paya bakau Taman Alam terutama ketika air pasang. Diharapkan dengan pemasangan peranti perangkap sampah ini, jumlah sisa sampah yang terperangkap akan semakin berkurangan dan seterusnya mengurangkan sisa sampah di lautan.

Pemasangan teknologi peranti perangkap sampah marin oleh penyelidik UTM dan wakil penduduk Perkampungan Nelayan Sungai Yu, Kuala Selangor.

Pada keesokan harinya, Fasa 2 iaitu projek ‘Ocean Clean Up’ telah dijalankan. Seramai 25 orang peserta termasuk penyelidik UTM daripada ACTS Smart Solution Sdn Bhd, penyelidik NAHRIM yang diketuai oleh En. Ahmad Hadi Mohamed Rashidi dan warga MNS yang diketuai oleh Pn. Norlaila Ahmad Fahmi telah terlibat dalam program khidmat masyarakat yang merangkumi aktiviti mengutipan sampah di sebahagian hutan paya bakau Taman Alam dan pengasingan kategori sampah bagi tujuan kitar semula.

Kutipan selama satu jam telah berjaya mengumpulkan sampah seberat 71 Kilogram (Kg) yang terdiri daripada plastik, kaca dan juga kain. Kutipan tersebut akan dihantar ke pusat kitar semula dan hasilnya akan digunakan untuk kebajikan masyarakat setempat.

Aktiviti pengutipan, pengumpulan dan pengasingan sampah di kawasan hutan paya bakau Taman Alam, Kuala Selangor.

Program ini juga menggalakkan aktiviti kitar semula bagi mengurangkan lambakan sampah terutamanya kategori sampah plastik yang tidak terbiodegrasi daripada berakhir di tapak pelupusan. Aktiviti pengutipan, pengumpulan dan pengasingan sampah untuk kitar semula ini boleh dijadikan sebagai aktiviti berkala di samping membantu meningkatkan kebersihan dan ekonomi masyarakat setempat.

Explore More