Oleh: Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali & Norashikin Abd Hamid                                                    

Pada 8 Ogos 2020, sebuah Majlis UTM Alumni  Hi-Tea Sabah telah diadakan di Hotel Promenade, Kota Kinabalu Sabah. Program ini telah berjaya menghimpunkan para alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang datang daripada pelbagai daerah di dalam negeri Sabah seperti Tawau, Sandakan, Kota Kinabalu dan sebagainya.

Program ini telah diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Ahmad bersama-sama Pengerusi Bahagian Pemajuan iaitu Prof. Dr. Mohd Zaki Kamsah bagi melancarkan Chapter Alumni Sabah.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program berlangsung adalah taklimat mengenai perkembangan UTM oleh Pengarah Unit UTMAlumni iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Hisyam Rashidi, perkongsian kerjaya oleh wakil Alumni Sabah iaitu Sr. Patmawati Paddong yang merupakan Pengarah Urusan Etika Hijau Sdn. Bhd., sesi penjualan nombor pendaftaran khas UTM, dan sesi suai kenal bersama alumni Sabah.

Program ini juga telah berjaya menjual sebanyak tujuh nombor pendaftaran khas UTM kepada alumni UTM Sabah dan mengumpul sumbangan sebanyak RM 7,000.00 bagi kempen Cloud 10 Unit UTMAlumni. Program ini juga mendapat kerjasama daripada Persatuan Alumni UTM (PAUTM) di mana seramai enam orang ahli jawatankuasanya turut hadir memeriahkan program dan menjalankan pendaftaran ahli persatuan.

Program ini merupakan salah satu inisiatif Unit UTMAlumni dalam menjejaki dan menyantuni alumni UTM yang berada di seluruh negara dan juga luar negara di mana sehingga tahun 2020, bilangan alumni kita sudah mencapai lebih kurang 181,467 orang termasuk alumni tempatan dan antarabangsa.

Pihak pengurusan UTM melihat para alumni universiti ini adalah sebagai rakan kongsi dan pemegang taruh yang berpotensi untuk memberi nilai tambah kepada universiti ini. Kebanyakan alumni UTM kini berkerjaya di pelbagai segmen industri sama ada di dalam dan di luar negara dan ramai juga yang berkhidmat dengan syarikat-syarikat multinasional dan pemain utama industri global. Justeru, jaringan atau “networking” yang sistematik hendaklah diwujudkan bagi membolehkan para alumni membantu meningkatkan daya saing universiti ini dalam pelbagai lapangan secara berkesan.