April 26, 2024

Search
Close this search box.

Staf FSSH Cipta Sejarah Rangkul Tempat Pertama Merekabentuk Video Pendek Sempena Kempen Kreatif Covid-19

Encik Faridz Alwi bin Mohd Bakri, Pembantu Taman/Ladang dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan merekabentuk video pendek sempena Kempen Kreatif Covid-19 di bawah anjuran Majlis Rekabentuk Malaysia (Malaysia Design Council).

Kejayaan ini menjadi lebih manis lagi apabila beliau merupakan pemenang utama daripada 372 orang penyertaan pertandingan itu dengan membawa pulang sijil hadiah utama dan wang ringgit sebanyak RM3000.00.

Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Kreatif Covid-19 tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Lim Ban Hong, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Majlis Rekabentuk Malaysia pada Khamis, 6 Ogos 2020 baru-baru ini.

Tema video pendek beliau ini adalah bertemakan usaha dan kesedaran menghalang virus Covid-19 dari terus tersebar dengan memfokuskan langkah mencegah virus tersebut semasa berada di luar rumah terutama untuk tujuan membeli barangan keperluan. Di dalam video tersebut beliau turut membawa slogan, ‘JOM HAPUSKAN, COVID -19 TIADA’ dan ‘RAKYAT MALAYSIA, RAKYAT BIJAK’. 

Menurut beliau, senario di negara Malaysia yang terkini telah memberi idea kepadanya dan keluarga untuk menghasilkan video pendek sebagai satu usaha bagi memupuk kesedaran rakyat untuk terus prihatin dan menghalang virus Covid-19 dari tersebar. Tambahan pula, konklusinya, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah menjadi rakyat yang prihatin dan bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19.

Kemenangan En. Faridz ini sesungguhnya amat membanggakan seluruh warga FSSH secara khususnya, dan warga Sekolah Pendidikan dan UTM secara amnya.

Video pendek tersebut akan disiarkan di kaca tv RTM bermula 8 Ogos 2020, sempena pelancaran “Norma Baru” di Pagoh oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin, Perdana Menteri Malaysia. 

Disediakan oleh: 
Khairull Azmi bin Ishak
Timbalan Pendaftar
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH)

Explore More