April 20, 2024

Search
Close this search box.

Adakah Graduan Sains Sukan dan Sains Kesihatan Bakal Bergelar Graduan Teknologist & Professional Technologist?

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera,

Syukur Alhamdulillah ke atas hadrat Illahi di atas limpah kurniaNya dan nikmat yang diberikan. Artikel kali ini, penulis ingin berkongsi pengalaman tentang bagaimana seorang graduan Sains Sukan dan Sains Kesihatan boleh memperolehi gelaran Professional Teknologist (Ts.). Secara jujurnya sebagai seorang graduan Sains Sukan dan Sains Kesihatan, penulis tidak pernah terlintas di hati untuk mendapatkan gelaran tersebut kerana mengetahui bidang yang di pelajarinya adalah melibatkan bidang Sains Sosial.

Namun begitu, pengalaman penulis dalam bidang teknologi sukan semasa menyiapkan tesis Ijazah Sarjana Muda dan tesis Doktor Falsafah boleh dijadikan panduan buat kita semua dalam membuat permohonan sebagai graduan teknologist dan professional teknologist. Benar kata orang tua, “Kebaikan yang kita buat hari ini, kita tidak akan dapat manfaatnya secara serta merta, akan tetapi lima tahun dan 10 tahun akan datang pasti kita akan dapat tuai hasilnya, benih yang bercambah hingga ke sekuntum bunga yang mekar.” Untuk graduan bidang kejuruteraan, Ts. ini pasti menjadi suatu perkara yang BIASA, akan tetapi ia adalah satu perkara yang LUAR BIASA bagi seorang graduan SAINS SUKAN dan SAINS KESIHATAN.

Sebelum penulis menerangkan secara terperinci pengalaman penulis dalam mendapatkan Profesional Teknologist (Ts.), penulis ingin memberikan sedikit penjelasan apa manfaat yang boleh diperolehi apabila mendapat Ts.. Adakah Ts. boleh endorse dokumen dan buat submission seperti Ir.? Dalam akta 768, Seksyen 19, ia menyatakan bahawa Ts. adalah entitled to approve and certify the manner. Contohnya seperti Tatacara Operasi Standard (SOP), Prosedur, Conduct technology servis dan lain-lain.

Justeru itu, ia sangat penting untuk seseorang pakar sukan untuk mempunyai Ts. terutamanya yang terlibat dalam bidang Teknologi Sukan. Ini adalah kerana ia melibatkankeperluan pakar teknologi sukan untuk mengetahui tahap risiko, mengenalpasti tahap keselamatan dan pencegahan kecederaan dalam sukan melalui penggunaan alat teknologi sukan.

Secara amnya Ts. ini masih lagi tidak di praktikkan sepenuhnya atau diiktiraf oleh pihak autoriti contohnya seperti pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), majikan dan industri sendiri. Setiap badan mempunyai sudut pandang yang berbeza, oleh itu ia terpulang kepada diri kita sendiri untuk melihat nilai manfaat tersebut. Dengan adanya Ts. ia akan memberikan nilai tambah kepada kita, pengguna dan pelanggan seperti bak kata pepatah, if you put in the work, put in the time, put in the effort, you’re going to reap the benefits.”

Cara-cara untuk memohon Ts. adalah melalui Lembaga Teknologis Malaysia atau  Malaysia Board of Technologist (MBOT). MBOT adalah salah satu badan professional yang ditubuhkan oleh kerajaan yang sama seperti badan professional lain seperti Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Lembaga Arkitek Malaysia (LAM), Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM) dan sebagainya.

Idea penubuhannya adalah bermula pada Rancangan Malaysia (RMK-10) (2011-2015) dimana pada ketika itu di Malaysia hanya mempunyai 10% pelajar sahaja yang mendaftar untuk upper level secondary Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) iaitu jauh daripada negara maju yang tergolong dalam Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Objektif penubuhan MBOT pada tahun 2015 adalah untuk meluaskan akses kepada TVET yang berkualiti tinggi disamping menjadikan Malaysia sebagai negara yang berpendapatan tinggi.

 

Gambarajah 1 : MBOT Manual 2019

 

Permohonan Ts. adalah untuk pemegang Ijazah manakala Tc. pula untuk pemegang Diploma ataupun minima SKM level 3. Sebelum melakukan permohonan, pemohon perlu mempunyai pengalaman minima sebanyak tiga tahun bekerja, mempunyai surat pengesahan kerja dari majikan, dan resume atau Curriculum Vitae (CV) yang terkini. Akta 768 masih belum lagi mewajibkan pendaftaran Technologist atau Technician dengan MBOT, oleh itu, ianya masih bersifat sukarela.

Ada beberapa kriteria yang perlu ada dalam CV tersebut iaitu competence dan commitment (Knowledge & Understanding, Application to Practice, Leadership, Management, Interpersonal Skills, dan Professional Conduct.)  Jika ia memenuhi semua keperluan tersebut, anda akan diterima untuk ditemuduga oleh panel penilai MBOT.

Penulis percaya bahawa jurutera, ahli teknologi dan juruteknik perlu saling melengkapi antara satu sama lain. Mereka harus bekerjasama dalam eko-sistem rantaian professional untuk meningkatkan nilai kejuruteraan dan teknologi di Malaysia. Ia juga perlu dilaksanakan di dalam bidang teknologi dan kejuruteraan sukan.

 

Gambarajah 2 : Laman web MBOT

 

Kembali semula kepada pengalaman yang dilalui oleh penulis, bagaimana penyelidik boleh terlibat di dalam bidang Teknologi Sukan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semasa mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Sains Sukan) di universiti tersebut. Seperti biasa sama seperti pelajar-pelajar tahun akhir yang lain, semua pelajar di kehendaki untuk melaksanakan projek sarjana muda dan viva untuk lulus dan melayakkan diri sebagai seorang graduan dengan jayanya.

Penyelia kepada penyelidik telah memberi nasihat dan tugas iaitu semua pelajar yang berada di bawah kendalian beliau perlu melaksanakan projek Inovasi dan Teknologi Sukan kerana ia adalah masa depan sukan. Pada ketika itu, sebagai seorang pelajar sains sukan pastinya berasa ia adalah suatu cabaran yang amat berat sekali kerana bidang pengetahuan yang terhad dan sepanjang tempoh empat tahun pengajian sains sukan yang dilalui, tiada subjek teknologi sukan ataupun subjek asas kejuruteraan diterapkan kepadanya.

Walaubagaimanapun, penyelidik diwajibkan untuk mengambil subjek C++ programming, telecommunication and networking, teaching and learning technology, web based multimedia, dan lain lain dalam tempoh empat tahun pengajian sains sukan di Fakulti pendidikan UTM. Sedikit sebanyak ia dapat membantu penyelidikan dalam kajian tahun akhir yang dijalankan.

Antara kekangan atau masalah yang dihadapi oleh penyelidik yang berstatus sebagai pelajar undergraduate adalah mempunyai kewangan yang terhad untuk melakukan rekacipta alat teknologi sukan. Namun begitu, penulis tetap menyahut cabaran itu dan percaya ia boleh diatasi dan dipelajari, seperti kata pepatah “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan” dan “Genggam bara api, biar sampai lumat.”

Maka bermulalah episod penyelidik berdikari dalam menjayakan projek rekacipta alat teknologi sukan. Penyelidik menjalankan projek yang bertajuk ‘Recreational Pneumatic Water Gun’. Di mana penyelidik mencipta alat senapang air yang mampu menembak dengan lebih jauh dan mempunyai isipadu air yang lebih tinggi semasa berperang untuk permainan War Games. Permainan War Games adalah satu permainan strategik di mana ia dapat membentuk fizikal dan mental yang kuat bagi para pemain.

Rekacipta alat teknologi sukan ini dapat membantu pemain untuk berfikiran kreatif dan mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mencapai kemenangan semasa bertanding. Walaubagaimanapun, semasa menyiapkan alat ini, pelbagai onak duri dan ribut badai yang perlu ditempuhi oleh penyelidik yang masih setahun jagung dalam dunia inovasi dan teknologi sukan antaranya adalah seperti mendapatkan barangan terpakai yang masih berfungsi dengan baik, mencari kedai besi yang sanggup untuk mengimpal hanya satu alat rekacipta khas, mencari jalan untuk integrasi alat mekanikal tambahan, menguji kebolehupayaan alat dan ketahanan alat semasa bermain, mendapatkan formula keluar masuk isipadu dan tekanan air, rakaman video motion analysis jarak dan bentuk pergerakan tembakan air, kaedah penyelidikan yang betul untuk rekacipta alat teknologi sukan, dan pelbagai cabaran lagi.

Sudah pasti ia adalah suatu kenangan yang tidak akan luput dan jauh di lubuk hati sanubari penyelidik ia adalah satu ilmu yang amat berharga. Setiap kesusahan dijanjikan kemudahan, dimana akhirnya penyelidik berjaya menyiapkan alat teknologi sukan tersebut serta memperolehi pingat gangsa dalam Innatex UTM 2010 (pertandingan rekacipta UTM) dan Malaysia Technology Expo (MTE) 2011,serta sekaligus mendapat Anugerah Naib Canselor UTM pada Majlis Konvokesyen UTM yang lalu.

 

Gambarajah 3 : Pertandingan INATEX UTM 2010 & Malaysia Technology Expo (MTE) 2011

 

Gambarajah 4 : Aliran Bendalir ‘Recretional Pneumatic Water Gun’

 

Gambarajah 5 : Rekabentuk Insturmen Alat RPWG

Seterusnya setelah menamatkan pengajian dalam bidang sains sukan, penulis telah di tawarkan untuk melanjutkan pengajian jangka pendek PhD dalam bidang Sains Kesihatan di bawah Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan (FBME) pada tahun 2016.

Sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun tersebut, penyelidik telah membangunkan alat teknologi rehabilitasi sukan. Atas dorongan penyelia yang sama, penyelidik di kehendaki membangunkan alat teknologi rehabilitasi sukan iaitu ‘Integrated Multiple Ankle Technology Device (IMATD)’ kerana berdasarkan kajian awal yang di lakukan oleh penyelidik, didapati bahawa kecederaan sukan yang paling kerap berlaku ialah kecederaan buku lali.

Penyelidik telah melakukan kajian awal di Institut Sukan Negara dan Sekolah Sukan Malaysia. Justeru itu, pembangunan IMATD adalah gabungan alat teknologi rehabilitasi sukan dan pembangunan aplikasi pangkalan data serta perisian untuk proses rehabilitasi sukan.

Alat ini dihasilkan bagi memudahkan proses konvensional rehabilitasi sukan kerana penggunaan alat teknologi rehabilitasi sukan masih lagi terhad di Malaysia dan kaedah konvensional pula masih lagi menggunakan kertas untuk dokumentasi maklumat dan fail pesakit.

IMATD dapat membantu untuk mempercepatkan proses pemulihan atlet, ia juga mempunyai ciri keselamatan kepada pengguna, memberi data yang tepat dan keselesaan dalam latihan serta menjimatkan masa pengguna. Kesemua data yang di perolehi melalui penggunaan alat IMATD juga berlaku secara automatik dan tersimpan di dalam pangkalan data yang seterusnya dapat menghasilkan laporan yang bermakna.

Tajuk kajian PhD penulis adalah ‘Application of FITT principle in exercise rehabilitation focusing on common sport injury.’ Ia melibatkan penggunaan formula prinsip FITT (formula latihan sukan) dalam proses pemulihan kecederaan sukan melalui penggunaan alat teknologi rehabilitasi sukan yang dibangunkan oleh penyelidik. Semasa dalam proses menyiapkan kajian PhD ini, penyelidik membangunkan alat teknologi rehabilitasi sukan iaitu IMATD bagi membantu proses pemulihan atlet.

Alat IMATD yang di bangunkan adalah mengikut Product Design Specification (PDS) di mana ia mempunyai spesifikasi alat seperti 2 Degree of Freedom (2 DOF), jenis movements yang terdiri daripada 2 rotation dan 1 translation, menggunakan driver jenis electromotor serta menggunakan tork 35 yang melibatkan 2 unit motor. Luas alat adalah 0.61m x 0.40m, ketinggian alat adalah 0.96m dan total berat alat IMATD adalah 40 kg.

Keupayaan motor stability alat mampu menampung berat pengguna sehingga 100kg. Ketahanan alat juga di uji melalui Failure Mode Analysis menggunakan perisian Finite Element Analysis. Kewujudan rekacipta alat teknologi sukan dapat membuktikan kemampuan rakyat malaysia dalam membangunkan alat teknologi sukan buatan malaysia. Ia pasti sebuah jalan yang panjang dan melibatkan kos yang tinggi akan tetapi ia berjaya menunjukan kemampuan pelajar Malaysia dalam pembangunan alat inovasi dan teknologi sukan.

Seperti nasihat yang diberikan oleh Prof. Dr. Abdul Hafidz Haji Omar selaku Pengasas Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan (SITC) UTM, kita harus berhenti bergantung dan mengharapkan alat teknologi sukan yang dibeli daripada luar negara kerana apabila alat tersebut rosak atau mengalami masalah teknikal, kita tidak mampu untuk membaiki alat tersebut semula dan akan mengalami kerugian besar. Alat teknologi sukan yang dibeli dengan harga yang mahal menjadi projek gajah putih.

 

Gambarajah 6: Kajian Rintis di Institut Sukan Negara

 

Gambarajah 7: Integrated Multiple Ankle Technology Device (IMATD)

 

Gambarajah 8: Alat Teknologi Rehabilitasi Sukan

 

Setelah menamatkan pengajian PhD, penyelidik telah berkhidmat sebagai pensyarah kanan di bawah Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK), Fakulti Kejuruteraan UTM. Penyelidik juga telah diberi tanggungjawab selaku Timbalan Pengarah Sports Innovation Technology Centre UTM.

Terima kasih diucapkan kepada semua pendidik dan pemimpin dalam bidang Sains Sukan dan Sains Kesihatan UTM yang sentiasa membimbing dan mendorong pelajar UTM untuk cuba melakukan inovasi dalam penyelidikan dan melibatkan diri dalam bidang teknologi walaupun pelajar adalah bukan dari bidang kejuruteraan.

Justeru itu, atas semangat DNA UTM, penyelidik juga sentiasa memberi motivasi dan memberi cabaran kepada pelajar-pelajar tahun akhir untuk sentiasa berani melakukan inovasi dan teknologi dalam bidang kajian masing masing. Zaman milennial adalah zaman industrial revolusi 4.0, keperluan bidang teknologi dan kejuruteraan di Malaysia dan peningkatan tinggi IR4.0 adalah atas arus kemodenan yang pesat. Oleh itu, kerjasama di antara pelbagai bidang juga adalah amat penting dalam memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju satu hari nanti.

 

Gambarajah 9: Tajuk Kajian Pelajar Undergraduate SKBSK UTM di bawah Kendalian Penyelidik

 

Gambarajah10: Tajuk Kajian Pelajar Postgraduate SKBSK UTM di bawah Kendalian Penyelidik

 

Permohonan untuk mendapatkan Professional Teknologis (Ts.) tidak semudah yang di sangka terutama bagi bidang Sains Sukan dan Sains Kesihatan. Pemohon Ts. perlu sekurang-kurangnya mempunyai pengalaman tiga tahun di dalam bidang teknologi terutama mengikut kriteria 23 bidang kepakaran pilihan yang telah ditetapkan oleh pihak MBOT.

Semasa menuntut bidang pengajian doktor falsafah, bidang kajian spesifik penulis adalah injury prevention and sports rehabilitation. Ia adalah merupakan keselamatan dan pencegahan kecederaan dalam sukan. Penulis mendapati kepentingan safety dalam semua perkara dan bidang. Justeru itu, penulis melibatkan diri dalam bidang OCCUPATIONAL SAFETY AND HEALTH sebagai ilmu tambahan kerana ingin tahu bagaimana proses, peraturan dan prosedur keselamatan di lakukan dalam dunia pekerjaan. MBOT juga mengambil kira kepentingan pengetahuan keselamatan, kawalan risiko dan HIRARC di tempat kerja. Sehubungan itu, penulis kini turut mengambil inisiatif untuk menerima tanggungjawab sebagai Health and Safety Executive (HSE) Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan di Fakulti Kejuruteraan UTM.

 

Gambarajah 11:  Emergency Response Team (ERP) SKBSK UTM

 

Gambarajah 12: Latihan Kebakaran di Bangunan VO1, Fakulti Kejuruteraan

 

Gambarajah 13 : Laporan IC (INCIDENT COMMANDER KPD KETUA PASUKAN BOMBA.

 

Secara tuntasnya, hasrat penyelidik adalah satu hari nanti, daripada 23 bidang pilihan MBOT untuk Graduan Teknologist (Gt) dan Professional Teknologis (Ts.), ia mempunyai butang pilihan untuk bidang SPORTS TECHNOLOGIST bagi menarik minat ramai graduan Sains Sukan dan Sains Kesihatan untuk menceburi bidang inovasi, teknologi dan kejuruteraan di Malaysia. Walaupun Sains Sukan dan Sains Kesihatan bukan dari bidang teknologi dan kejuruteraan, aplikasi inovasi dan teknologi sukan giat dijalankan di universiti selari dengan peredaran masa iaitu zaman Industrial Revolution (IR 4.0).

Tanah air Malaysia kini turut mempunyai ramai pakar dalam bidang Teknologi Sukan yang boleh dijadikan rujukan seperti Prof. Dr. Abdul Hafidz Hj Omar (Founder Sports Innovation Technology Centre UTM), Prof. Dr. Mohad Anizu (Dekan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam), dan lain lain. Kita tidak mahu lagi pakar sukan Malaysia hanya berbangga menceritakan pembelian alatan teknologi sukan dari luar negara dan penggunaan alatan teknologi sukan yang diimport ke dalam negara, kita mahu anak tempatan di Malaysia satu hari nanti mampu untuk setanding dalam rekacipta dan pembangunan alat teknologi sukan bagi keperluan atlet Negara.

Di masa akan datang juga, progam sepert Ijazah Sarjana Muda  dan Ijazah Sarjana Teknologi Sukan akan berjaya diwujudkan dan ditawarkan di Malaysia. Semoga coretan ini dapat membuka mata dan membantu pelbagai pihak yang terlibat dalam merealisasikan keperluan IR 4.0 dalam bidang masing masing dan terpilih sebagai bidang pilihan Lembaga Teknologis Malaysia. Akhir kata, majulah sukan untuk negara dan kerana Tuhan untuk Manusia. UTM sanjungan bangsa. SPORT 4.0 !!!

 

 

Gambarajah 14 : Sijil Kelulusan Sarjan Muda dalam bidang Sains Sukan & Doktor Falsafah dalam bidang Sains Kesihatan

 

Gambarajah 5 : Buku Sukan dan Teknologi UTM

 

Gambarajah 16 : Infografik Penyelidik

 

Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip (0125015090)

Timbalan Pengarah

Sports Innovation Technology Centre

Institute Human Centred Engineering

School of Biomedical Engineering & Health Sciences

Faculty Engineering

Universiti Teknologi Malaysia

Graduate Teknologist – GT 19100145

Professional Teknologist – PT 20080105

Explore More