KUALA LUMPUR, 2 Jul. – Program Jelajah Kasih iaitu program adhoc yang dianjurkan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTM KL) telah mula diadakan pada bulan Julai tahun ini bersempena dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Program ini merupakan idea pelajar sendiri untuk membantu rakan-rakan mereka yang tergolong dari kalangan B40. Pendekatan ini diterapkan oleh pihak HEP kepada pelajar supaya mereka lebih peka terhadap keadaan sekeliling terutama yang melibatkan rakan mereka sendiri.

Walaupun pelajar tidak berada di dalam kampus, pihak HEP UTM KL sentiasa mengambil berat keadaan pelajar walau di manapun mereka berada. Oleh itu seramai empat (4) orang pelajar dari jurusan Ijazah dan Diploma yang disenarai sebagai pelajar B40, telah layak menerima bantuan khas dari pihak HEP UTM KL.

Hasil daripada pertemuan salah seorang pelajar yang layak menerima bantuan tersebut, pelajar itu didapati tidak mampu membayar sewa rumah sebanyak RM100 sebulan. Pelajar tersebut memberitahu kepada pihak HEP UTM KL bahawa kedua ibu bapanya telah hilang sumber pendapatan tetap akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula sejak dari 18 Mac yang lalu.

Keadaan lebih menyedihkan apabila pelajar tersebut nekad untuk menutup akaun banknya bagi mendapatkan sejumlah wang iaitu RM 30.00 sahaja kerana tidak mahu menyusahkan kedua ibu bapanya di kampung.

Pelajar-pelajar tersebut juga merupakan individu yang layak menerima bantuan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang telah diagihkan mengikut jumlah yang mereka layak. Manakala bantuan makanan kering seperti beras, makanan dalam tin, tepung, dan barangan penjagaan diri yang diterima pelajar dan keluarga pula adalah daripada Yayasan Food Bank Malaysia.

Sejumlah wang tunai sebanyak RM 100.00 turut diberikan kepada pelajar dan keluarganya hasil daripada sumbangan dermawan yang telah sukarela tampil di Pejabat HEP UTM KL.

Segala bantuan yang telah disumbangkan kepada pelajar dan keluarganya di sekitar kawasan Lembah Klang adalah disampaikan sendiri oleh Pengarah HEP UTM KL iaitu Ir. Dr. Pauziah bte Muhamad.

Penyampaian sumbangan oleh Pengarah HEP UTM KL

Disamping dapat meringankan beban ibu bapa pelajar, bantuan tersebut juga mengambil kira kos sara hidup pelajar yang tinggal di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur.

Bantuan kepada pelajar yang tinggal di kawasan Setapak Indah

Unit Kebajikan Pelajar Pejabat HEP UTM KL telah mengambil inisiatif dalam mengumpul maklumat pelajar yang layak untuk menerima bantuan tersebut melalui hebahan poster digital di dalam laman media sosial HEP UTM KL.

Program Jelajah Kasih ini akan diteruskan lagi di lokasi lain sekitar semenanjung Malaysia. Pihak HEP sentiasa mengalu-alukan bantuan atau sumbangan dari pihak luar bagi membantu pelajar yang memerlukan.

Sumbangan turut diberikan kepada keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah dibawah RM4,000.00 sebulan. Sesi pemilihan tersebut berdasarkan sesi temuduga bersama pelajar yang diadakan sebelum ini. Melalui proses tersebut, pihak HEP UTM KL telah dapat mendalami dan merungkai permasalahan pelajar yang tinggal disekitar ibu kota.

Pelajar turut menerima sumbangan wang tunai bagi membiayai kos sewa rumah.

Bersama dengan ibu pelajar yang menerima bantuan di Perumahan Awam Desa Rejang, Taman Setapak Jaya.

Tinjauan ke rumah pelajar Nur Aqilah bte Azman, di Ulu Klang, Selangor.

Pihak Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTM KL berharap program ini dapat memberi ruang kepada pelajar untuk tidak berasa jauh dari universiti walaupun mereka berada di rumah masing masing.