Oleh: Prof. Madya Dr. Kassim bin Thukiman

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Universiti Teknologi Malaysia

Perpaduan merupakan istilah umum yang biasa kita cakap dan dengar. Ia menjadi basahan dalam perbualan harian dan ucapan dalam kalangan pemimpin politik. Namun istilah tersebut amat penting dalam pembinaan sebuah negara-bangsa. Hal ini disebabkan pembinaan sesebuah negara-bangsa memerlukan kesatuan dan kesepaduan dalam kalangan rakyat. Apatah lagi, dalam konteks keunikan Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya. Di sinilah pentingnya gagasan “perpaduan dalam kepelbagaian” atau unity in diversity.

Justeru itulah penubuhan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin amat mengujakan seluruh rakyat Malaysia. Pada tahun 1974, portfolio perpaduan telah diwujudkan dalam kabinet Malaysia. Pemimpin MIC Tun VT Sambanthan dilantik menjadi Menteri Perpaduan Negara yang pertama. Malah petikan ucapan Tun Sambanthan masih terngiang-ngiang apabila beliau bercakap secara jelas dan berfakta tentang kerakyatan dan perpaduan. Namun begitu, kedudukan portfolio perpaduan tidak mantap kerana ia sentiasa bertukar ganti mengikut aliran pemikiran dan keutamaan pemimpin. Jelasnya, penubuhan KPN menunjukkan keseriusan kerajaan melaksanakan Dasar Perpaduan Nasional demi memastikan keharmonian, kebahagiaan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sebenarnya gagasan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia bukan perkara baharu. Ia melibatkan sejarah yang panjang dan berliku. Kedudukan geografi Malaysia yang strategik menyebabkan ia menjadi tumpuan dalam kalangan masyarakat serantau dan global. Dasar imigrasi liberal yang dilaksanakan oleh kolonial British telah menggalakkan proses penghijrahan ke Tanah Melayu. Berikutan itu, pihak kolonial melaksanakan dasar pecah dan perintah yang menyebabkan terbentuknya masyarakat majmuk. Menerusi dasar tersebut, setiap kaum dipisahkan daripada segi petempatan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya. Akibatnya polarisasi kaum semakin melebar dalam kalangan penduduk.

Justeru itulah, kegiatan nasionalisme yang bermula di Tanah Melayu pada awal abad ke-20 memperjuangkan kepentingan bangsa masing-masing. Natijahnya, disebabkan tiadanya kesatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyat, Tanah Melayu begitu mudah dijajah oleh Jepun. Semangat perkauman yang menebal menyebabkan kolonial British mempromosi slogan “perpaduan sebelum kemerdekaan”. Pihak British telah menggerakkan kepimpinan pelbagai parti politik di Tanah Melayu untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat. Maka persidangan meja bulat yang pertama telah diadakan pada tahun 1949 yang menghasilkan Kontrak Sosial. Perjanjian ini dimeterai oleh para pemimpin yang mewakili tiga bangsa yang utama iaitu Melayu, Cina dan India. Jelasnya, kontrak sosial tersebut memanifestasikan permuafakatan dalam kalangan pemimpin dalam pembentukan citra kenegaraan Malaysia.

Era selepas Perang Dunia Kedua menyaksikan politik perpaduan begitu popular. Dato’ Onn Jaafar umpamanya, sebahagian besar ucapannya cenderung mempromosi perpaduan dalam kalangan rakyat. Menurutnya, hanya menerusi kesepaduan dalam kalangan rakyat, negara boleh mencapai kemerdekaaan dan pembangunan. Dalam pada itu, Dato’ Onn mencadangkan penubuhan RIDA (kini dinamakan MARA) pada tahun 1950 untuk membangunkan masyarakat Melayu daripada aspek pendidikan dan ekonomi. Ia bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan pembangunan antara kaum. Bagi menyemarakkan perpaduan, kerjasama antara parti-parti politik telah digerakkan.

Golongan kiri PUTERA dan AMCJA juga telah menjalin kerjasama sehingga terbentuknya Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947. UMNO dan MCA telah melakar kerjasama dalam Pilihan Raya Bandaran Kuala Lumpur tahun 1952. Kemuncaknya penubuhan Parti Perikatan yang menggabungkan UMNO-MCA-MIC pada tahun 1954. Namun begitu, insiatif perpaduan menerusi kerjasama politik ini bukanlah mudah. Tolak ansur politik atau quid pro quo dalam kalangan pemimpin politik menyebabkan Parti Perikatan mendapat mandat besar daripada rakyat dalam Pilihan Raya Persekutuan yang pertama pada 27 Julai 1955.

Sejak negara mencapai kemerdekaan, proses pembinaan negara-bangsa berjalan secara baik. Namun begitu, sekali-sekala terdapat elemen dan episod perkauman yang mencetuskan ketidakstabilan. Tuntutan dan perjuangan setiap kaum misalnya telah mencetuskan perdebatan yang hangat. Kemuncaknya berlakunya tragedi 13 Mei 1969, yang sepatutnya menjadi pengajaran berguna buat seluruh rakyat Malaysia. Gagasan perpaduan dan integrasi bertambah luas dengan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Di sinilah kesepaduan sosial dan perpaduan nasional menjadi tema pembinaan negara-bangsa Dalam konteks masa kini, penularan wabak COVID-19 juga boleh dijadikan suatu faktor yang mampu menyatupadukan seluruh rakyat untuk mengukuhkan kerjasama, mempromosi nilai-nilai kemanusiaan serta bersatu memulihkan ekonomi negara.

Sebenarnya, negara Malaysia telah mempunyai ramuan tersendiri untuk mencorakkan pembinaan citra negara-bangsa. Negara kita telah mempunyai dokumen bertulis tertinggi iaitu Perlembagaan Persekutuan 1957. Hakikatnya, perlembagaan tersebut terhasil daripada toleransi antara kaum yang sangat tinggi menerusi penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum pada tahun 1949. Kemuncaknya, terhasillah ‘kontrak sosial’ yang menggambarkan permuafakatan dalam kalangan pemimpin negara yang mewakili pelbagai kaum. Beberapa perkara utama berjaya dituntaskan yang melibatkan kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan kerakyatan. Sesungguhnya, Perlembagaan Persekutuan merupakan tiang seri citra kenegaraan Malaysia.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia pelbagai kaum perlu diperingatkan tentang terbentuknya sistem dan struktur pemerintahan negara berasaskan Sistem Persekutuan. Kesediaan dan pengorbanan Raja-raja Melayu untuk melepaskan sebahagian besar kuasa yang ada pada baginda mulai 21 Januari 1948. Peristiwa ini menandakan bermulanya pengagihan kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. Secara relatif, bidang kuasa Kerajaan Persekutuan lebih besar berbanding kuasa Kerajaan Negeri. Malah dinyatakan secara jelas bahawa Perlembagaan Persekutuan lebih agung atau supreme daripada Kerajaan Negeri. Berikutan itu, adalah dicadangkan agar kesemua pemimpin sama ada di peringkat Persekutuan dan Negeri, menghormati semangat dan kandungan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Rakyat tidak perlu mempertikaikan kandungan Perlembagaan Persekutuan yang telah berjaya dituntaskan berdasarkan muafakat dalam kalangan pemimpin. Lihat sahaja Hong Kong, negaranya berada dalam keadaan tidak stabil disebabkan konflik perlembagaan. Rakyat Malaysia perlu melangkah ke hadapan bagi menjayakan dasar-dasar negara untuk memacu pertumbuhan ekonomi, mensejahterakan rakyat dan memastikan pembangunan lestari.

Selepas tragedi 13 Mei 1969, Kerajaan Malaysia telah beberapa langkah drastik untuk menyatupadukan semula seluruh rakyat Malaysia. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan untuk mengamankan seluruh negara. Institusi Parlimen digantung buat sementara waktu. Rukun Negara telah digubal oleh sebuah pasukan yang diketuai oleh Tan Sri Ghazali Shafie. Lima prinsip Rukun Negara telah diterima menjadi ideologi negara.

Kepercayaan kepada Tuhan

Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Keluhuran Perlembagaan

Kedaulatan Undang-undang

Kesopanan dan Kesusilaan.

Bagi mengukuhkan ideologi negara, kerajaan wajar membuat pindaan perlembagaan dengan memasukkan Rukun Negara  ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika pindaan perlembagaan ini dilaksanakan, ia menuntut seluruh rakyat Malaysia menghayati dan mengamalkan kandungan Rukun Negara. Hal ini disebabkan pada masa kini, Rukun Negara hanya dijadikan ritual dan formaliti dalam pelbagai acara dan majlis. Apa yang diperlukan, setiap warganegara perlu menyumbang kepada pembinaan negara-bangsa. Rakyat perlu memahami dan menghayati setiap prinsip Rukun Negara. Kehidupan beragama akan memastikan setiap penganutnya melaksanakan kesemua ajaran agama masing-masing. Tidak ada agama yang menganjurkan perkara negatif yang menyalahi norma kehidupan dan undang-undang.

Bagi setiap insan di muka bumi, mereka perlu menghargai dengan status kewarganegaraan. Kerakyatan bukan suatu yang murah harganya. Lihat sahaja pengalaman ngeri dan menyedihkan masyarakat Rohingya yang tidak berwarganegara. Justeru, rakyat dituntut untuk meletakkan kesetiaan kepada negara. Bagi masyarakat Melayu, perumpamaan menyebutkan bahawa “di mana bumi dipijak, di situ, langit dijunjung”. Biarpun kita boleh berfikiran global, namun keutamaan kepada negara mesti direalisasikan. Bagi individu, mereka boleh menyumbang kepada negara dengan cara masing-masing. Justeru itu, suatu perkara yang amat ganjil jika kita dapati masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang sanggup menghina negara sendiri.

Selain daripada itu, seluruh rakyat Malaysia tanpa pengecualian, wajib menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Hal ini disebabkan kedua-dua perlembagaan tersebut merupakan tiang seri pembentukan kerajaan sama ada di peringkat negara dan negeri. Perlembagaan tersebut digubal oleh pembina negara terdahulu yang dimuafakatkan pelbagai pihak. Bersekali dengan perlembagaan, terdapat peruntukan undang-undang yang mengukuhkan pembangunan sebuah negara-bangsa.

Dalam sebuah kehidupan moden, masyarakat begitu asyik bercakap tentang kebebasan. Memang terdapat konsep kebebasan dalam peruntukan perlembagaan, tetapi ia bukan kebebasan mutlak. Hal ini disebabkan dalam kehidupan, kita disusun berdasarkan peraturan agama dan undang-undang negara. Malah, ada sesetengah golongan peribumi yang masih mengamalkan undang-undang adat. Mereka menghormati peranan Mahkamah Anak Negeri. Dalam kehidupan seharian, semua orang yang bergelar warganegara berhak mendapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Justeru itulah, bagi mereka yang melanggar perlembagaan dan undang-undang, wajib dikenakan hukuman yang setimpal sebagai suatu bentuk pengajaran.

Kita boleh melihat Singapura sebagai contoh, negara mereka terkenal di mata dunia disebabkan sesiapa sahaja yang berada di negara tersebut mesti mematuhi undang-undang. Penguatkuasaan undang-undang di Singapura sangat efisien dan efektif. Inilah yang perlu kita contohi agar Malaysia menjadi sebuah negara maju yang mempunyai jatidiri yang unik dan istimewa. Sehubungan dengan itu, rakyat yang berfikiran negara maju, wajar mempunyai tahap kesopanan dan kesusilaan yang tinggi. Rakyat perlu menzahirkan peradaban tinggi dalam semua aspek kehidupan. Semangat toleransi dan bertolak ansur perlu menjadi budaya masyarakat Malaysia. Kita wajar melaksanakan nilai-nilai budaya rakyat Malaysia dalam sebuah kehidupan secara inklusif. Hakikatnya, pembangunan negara masa kini adalah tercipta hasil kukuhnya kesepaduan dan integrasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sebenarnya, Malaysia telah berada dalam kelompok negara-negara maju. Nama Malaysia begitu terserlah di pentas global. Namun begitu, kita perlu membangunkan negara berdasarkan citra kenegaraan yang tersendiri. Justeru itulah, setiap warganegara perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi mengisi agenda pembangunan negara. Hormatilah Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Hayati dan amalkanlah prinsip Rukun Negara. Hakiktanya, pembangunan negara yang kita kecapi masa kini bukan datang begitu sahaja. Ia adalah hasil pemikiran teknokrat pembangun negara terdahulu yang memastikan wujudnya sebuah negara idaman yang inklusif dan holistik. Sesungguhnya perpaduan dalam kalangan rakyat telah mencitrakan pembinaan sebuah negara-bangsa bernama Malaysia.

 

Profesor Madya Dr. Kassim Thukiman merupakan staf akademik di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM. Bidang kepakaran beliau ialah ilmu sejarah dan sains politik.