April 25, 2024

Search
Close this search box.

Gaya hidup sihat adalah amat penting bukan sahaja bagi menjamin kecergasan dan kesihatan fikizal, malah amat penting bagi memastikan produktiviti dan prestasi kerja sentiasa terjaga.

Kesihatan yang tidak baik bagi seseorang individu tersebut bakal menjejaskan hasil kerja kerana beliau tidak akan mampu memberi khidmat yang terbaik disebabkan kesihatan yang terjejas.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye pernah menulis dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Berita Harian di pautan https://www.bharian.com.my/kolumnis/2016/04/148498/gaya-hidup-sihat-bantu-pekerja-kurang-tekanan, iaitu stres berkaitan kerja boleh memberi kesan besar ke atas kesihatan pekerja, produktiviti organisasi dan ekonomi negara.

Menurut beliau, stres, jika tidak diurus dengan baik, boleh merugikan pekerja dan organisasi. Ia boleh dilihat daripada ketidakhadiran pekerja atau pekerja bertugas walaupun sakit.

Menyedari hakikat ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa mengutamakan Gaya Hidup Sihat (Healthy Lifestyle) dalam kalangan warganya.

Ini boleh dilihat apabila universiti memperuntukkan kira-kira RM200,000.00 kepada Pusat Kecemerlangan Sukan (USE) untuk melaksanakan aktiviti pembangunan sukan dalam kalangan staf bagi tahun 2020.

Menurut Pegawai Belia dan Sukan Kanan, Encik Armadi bin Ahmad, dari jumlah tersebut, kira-kira RM17,000 diperuntukkan kepada Program Gaya Hidup Sihat yang merupakan program lazim yang dilaksanakan sepanjang tahun.

Program Gaya Hidup Sihat tersebut merangkumi Senam Robik, Kayuhan Kampus, Larian Kampus, Anugerah Ideal, Anugerah Jabatan Sihat dan pelbagai lagi.

“Program anjuran universiti seperti Senam Robik Perdana yang diadakan secara bulanan adalah salah satu program yang amat signifikan untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga UTM.

Ini boleh dilihat apabila setiap kali ianya diadakan, purata kehadiran staf adalah kira-kira 600-800 orang dan kesemuanya memberi kerjasama yang baik.

Sambutan dari staf ini memberi impak yang positif kepada produktiviti dan hasil kerja kerana kesihatan fizikal mampu menyumbang kepada keceriaan staf,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, program seumpama ini juga bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama staf malah turut menggalakkan staf memiliki gaya hidup yang sihat untuk sentiasa mampu berkhidmat dan berbakti kepada jabatan dan universiti.

Antara program signature anjuran USE dan beberapa inisiatif PTJ sendiri seperti Senam Robik Perdana, UTM Games dan Kayuhan Lestari serta program universiti seperti Hari Keluarga.

  

Explore More