November 22, 2024

Search
Close this search box.

MENGHAYATI SISTEM PEMERINTAHAN NEGARA
Oleh:
Kassim Thukiman
m-kassim@utm.my
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia

Pada 8 Jun 2020, seluruh negara menyambut cuti umum sempena Hari Keputeraan Rasmi Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah. Sambutan cuti umum seumpama ini juga diadakan di setiap negeri bagi menghormati pemerintahan ketua pemerintahan negeri masing-masing. Pelbagai acara, majlis dan aktiviti disusun sebagai tanda penghormatan kerajaan dan rakyat kepada institusi beraja. Biasanya majlis anugerah darjah dan bintang kebesaran amat dinantikan oleh sesetengah orang yang teruja mendapat penghormatan dan peningkatan status sosial.


Di sebalik sambutan tersebut, sebagai warganegara yang taat dan setia kepada negara, kita sewajarnya memahami dan menghayati kerangka sistem pemerintahan negara. Hakikatnya, sistem pemerintahan negara menggabungkan dua sistem yang utama iaitu Sistem Raja Berperlembagaan dan Sistem Demokrasi Berparlimen.
Pelaksanaan kedua-dua sistem ini diputus dalam rundingan kemerdekaan di London pada tahun 1956/57. Rundingan tersebut melibatkan tiga pihak iaitu Pejabat Tanah Jajahan, Majlis Raja-raja Melayu dan Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC. Ketiga-tiga pihak akhirnya bersetuju dan memegang erat kewujudan sistem pemerintahan negara pasca merdeka. Kemuncaknya Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di hadapan Majlis Raja-raja dan rakyat jelata.


Dalam konteks ini, rakyat Malaysia perlu memahami realiti dan fakta bahawa Sistem Pemerintahan Beraja atau Sistem Kesultanan adalah asas dalam peradaban politik Malaysia. Pakar Sejarah Malaysia, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim merumuskan bahawa Kesultanan Melayu Melaka adalah pengasas sistem politik dan berkerajaan di Tanah Melayu.
Pelbagai kerangka pemerintahan diwujudkan yang melibatkan bidang kuasa raja, para pembesar dan pemimpin di kawasan taklukan. Undang-undang digubal, kawasan persempadanan diwujudkan, konsep kerakyatan, sistem pentadbiran dilaksanakan dan hubungan antarabangsa dimeterai. Kesemua ini menandai wujudnya sebuah Sistem Kesultanan yang berdaulat. Di sinilah gagasan Kedaulatan Raja menjadi asas pemerintahan.


Dalam perspektif pentadbiran, Malaysia mengamalkan Sistem Persekutuan. Ia menjelaskan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Apa yang paling signifikan, kewujudan Sistem Persekutuan hanya dapat dizahirkan apabila Raja-raja Melayu sanggup mengorbankan sebahagian besar kuasa baginda menerusi Perjanjian Persekutuan pada 21 Januari 1948. Berikutan itu, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah dizahirkan pada 1 Februari 1948.
Dari segi struktur pentadbiran, sistem pentadbiran disusun secara sistematik. Ia melibatkan tiga struktur utama iaitu legislatif (badan perundangan), eksekutif (badan pelaksana dasar) dan judiciary (badan kehakiman). Ketiga-tiga institusi ini memerihalkan bidang kuasa yang tersendiri. Sebagai Ketua Negara, DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong bertindak menaungi ketiga-tiga institusi sistem pentadbiran tersebut.


Bagi rakyat pula, sistem sosial dibangunkan. Rakyat memegang kukuh kehidupan beragama. Agama Islam menjadi anutan utama dalam kalangan orang Melayu. Sistem pendidikan dan sistem sosial pelbagai bangsa dibangunkan. Sosioekonomi rakyat turut berkembang, selari dengan Sistem Kesultanan yang dilatari dengan konsep Kerajaan Kelautan. Implikasinya rantau Nusantara didatangi oleh para pedagang dari segala pelosok dunia.
Di samping itu, negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Ia bermula dengan pilihan raya umum (PRU) yang pertama pada 27 Julai 1955. Sehingga kini, negara telah mengadakan 14 kali PRU yang menentukan parti dan pemimpin mana yang mandat rakyat untuk memerintah negara dan negeri. Parti yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan dibenarkan bertanding mengikut kemampuan dan pengaruh mereka. Rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas pula layak menjadi pengundi berdaftar. Di sinilah, rakyat diberi peluang untuk menentukan pemerintah negara. Dalam konteks ini, kedaulatan rakyat dimartabatkan.

Berdasarkan kepada senario yang dibincangkan tersebut, jelas menunjukkan institusi Yang DiPertuan dan Majlis Raja-raja adalah induk kuasa dalam sistem pemerintahan negara. Malah, institusi tersebut mewarisi legasi kegemilangan Kesultanan Melayu yang wujud sejak abad ke-14. Rumusannya, sistem pemerintahan beraja menjadi pelengkap dan check and balance kepada sistem pemerintahan demokrasi. Inilah yang menjadi asas kepada kestabilan politik Malaysia selama ini. Kestabilan politik ini pula menyumbang kepada keharmonian dan kesepaduan sosial, kemakmuran ekonomi dan kesohoran global.


Dalam keadaan politik Malaysia yang semakin kompleks, peranan institusi Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-raja semakin relevan dan signifikan. Dalam PRU-14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018, menyaksikan Barisan Nasional kehilangan mandat daripada rakyat. Sebaliknya Pakatan Harapan yang diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad telah berjaya membentuk kerajaan baharu.
Pada masa inilah, DYMM Sultan Ibrahim Johor telah bertitah agar pembentukan kerajaan yang baharu perlu disegerakan demi kepentingan rakyat. Berikutan itu, DYMM Sultan Muhammad V selaku Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong memanggil para pemimpin Pakatan Harapan ke Istana Negara untuk mengadakan perbincangan dan majlis mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kabinet. Ini menunjukkan betapa Majlis Raja-raja memberi perhatian yang serius kepada kestabilan politik negara.

Peranan dan fungsi Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-raja begitu terserlah dalam peralihan kepimpinan Kerajaan Persekutuan pada akhir bulan Februari 2020. Kebijaksanaan dan kewibawaan Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-raja amatlah hargai untuk menstabilkan politik negara demi kelangsungan pembangunan negara, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat. DYMM Yang DiPertuan Agong atas kedudukannya sebagai Ketua Negara sanggup mencemar duli berjumpa dengan kesemua 222 orang Ahli Parlimen secara berasingan. Akhirnya dengan tilikan mendalam dan cermat baginda tuanku berserta nasihat daripada Majlis Raja-Raja, akhirnya keputusan dibuat sepertimana yang dititahkan dalam Majlis Perasmian Sidang Parlimen pada 18 Mei 2020.
Sebenarnya, isu pembentukan kerajaan pernah berlaku di Perak selepas PRU-12 pada tahun 2008. Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat mendakwa masing-masing mempunyai majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Perak. Berikutan itu, al-marhum Sultan Azlan Shah menggunakan peruntukan kuasa baginda sebagai Ketua Negeri untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak. Baginda berkenan berjumpa dengan kesemua ADUN dan akhirnya berjaya mengenal pasti parti yang mendapat majoriti. Keadaan yang sama berlaku di Selangor yang menyebabkan Sultan Sharafuddin Idris Shah menyelesaikan kemelut politik dengan membentuk kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

Titah DYMM Sultan Johor dalam akaun facebook baru-baru ini juga menarik perhatian. Keperihatinan baginda disebabkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 mengabsahkan peranan baginda sebagai Ketua Negeri. Baginda tuanku berusaha dengan sebaik mungkin memastikan kestabilan politik di Johor dengan gagasan “Muafakat itu Berkat”. Menurut baginda, kepentingan rakyat yang ditimpa kesusahan akibat COVID-19 mestilah diutamakan, berbanding kepentingan peribadi pemimpin politik, semata-mata untuk mendapat kuasa. Malah, baginda memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor jika sekiranya isu perebutan kuasa masih berterusan. Ini menunjukkan betapa Raja-raja Melayu mempunyai peranan untuk memastikan kestabilan politik.

Bersempena dengan sambutan Hari Keputeraan rasmi DYMM Yang DiPertuan Agong, beberapa rumusan boleh dibuat. Pertama, rakyat negara ini perlu menghormati institusi beraja dan institusi demokrasi kerana kedua-duanya adalah induk sistem pemerintahan negara. Kedua, Perlembagaan Persekutuan adalah tiang seri kewujudan sebuah negara bangsa sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Ketiga, setiap warganegara berkewajipan menghormati dan merealisasikan Rukun Negara. Keempat, semua pemimpin politik perlu komited untuk menegakkan integriti politik yang mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi. Kelima, fenomena pandemik COVID-19 memerlukan kesatuan fikiran dan tindakan bagi menyelesaikan pelbagai masalah rakyat. Keenam, ‘genjatan senjata’ dalam kalangan pemimpin dan parti-parti amat diperlukan untuk membangunkan semula ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan nasional. Almarhum Tun Razak Hussien pernah berpesan supaya para pemimpin mengurangkan politicking dan mendahulukan kepentingan rakyat. Hanya dengan cara inilah, para pemimpin politik akan dihormati dan disanjung oleh rakyat di sepanjang zaman.

Nota: Profesor Madya Dr. Kassim Thukiman merupakan staf akademik di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM. Bidang kepakaran beliau ialah ilmu sejarah dan sains politik. Tulisan beliau sering tersiar di media cetak tentang sejarah ketuanan dan sistem beraja di Malaysia. 





Explore More