Mei 9, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 1 Jun —  Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini telah menerima Dekan baharu,  Y.Bhg Prof. Sr Dr. Hishamuddin Mohd Ali yang telah melapor diri pada 1 Jun 2020 untuk tempoh tiga (3) tahun.

Pemilihan Y.Bhg Prof. Sr Dr. Hishamuddin Mohd Ali selaku dekan dilihat amat bersesuaian dengan pengalaman luas beliau dalam bidang pentadbiran di peringkat Fakulti dan Universiti sebelum ini.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Alumni), Timbalan Dekan (Akademik) dan Ketua Jabatan di Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah. Jawatan pentadbiran terakhir beliau adalah selaku Pengerusi, Bahagian Pengurusan Bisnes, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM sebelum melapor diri di FABU.

Prof. Sr Dr. Hishamuddin Mohd Ali menyampaikan ucapan aluan

Pelantikan dekan baharu ini adalah untuk mengisi kekosongan setelah Y.Bhg Prof. Ts Dr. Mohd Hamdan Ahmad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UTM pada 15 April 2020 yang lalu.

Dalam tempoh ketiadaan Dekan, Prof. Madya Sr Dr. Razali Adul Hamid, Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) telah dipertanggungjawabkan selaku pemangku dekan bagi memastikan segala urusan pentadbiran dapat berjalan dengan lancar, terutama sekali dalam mendepani pelbagai keperluan mendesak dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan oleb penularan wabak Covid-19.

Prof. Ts Dr. Mohd Hamdan Ahmad menyampaikan ucapan penghargaan

Sehubungan itu, satu majlis serah tugas telah diadakan secara ringkas dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk meraikan mantan dekan dan dekan baharu pada 1 Jun 2020 di Bilik Mesyuarat 1, FABU.

Majlis telah dimulakan dengan ucapan dari Y.Bhg Prof. Ts Dr. Mohd Hamdan Ahmad, dan disusuli dengan ucapan balas dari Y.Bhg Prof. Sr Dr. Hishamuddin Mohd Ali. Beliau menzahirkan ucapan penghargaan di atas sumbangan mantan dekan dan mengharapkan agar diberikan sokongan yang padu dalam mengemudi FABU untuk tempoh tiga (3) tahun mendatang.

Upacara simbolik penyerahan fail meja tugas dekan oleh Prof. Ts Dr. Mohd Hamdan Ahmad kepada Prof. Sr Dr. Hishamuddin Mohd Ali

Pihak fakulti ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih serta selamat maju jaya kepada Y.Bhg Prof. Ts Dr. Mohd Hamdan Ahmad atas kepimpinan dan sumbangan selaku dekan FABU pertama setelah UTM Sinergi 4.0.

Semoga Y. Bhg Prof. akan meneruskan kecemerlangan memacu Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM.

Sesi bergambar bersama kumpulan pengurusan fakulti

Artikel disediakan oleh: Sr Dr. Zuhaili Mohamad Ramly

Explore More