November 22, 2024

Search
Close this search box.

Pandemik COVID-19 telah merebak di Malaysia bermula 25 Januari 2020 (Sipalan et. al., 2020).

Sehingga 7 Jun 2020, terdapat 8,322 kes yang disahkan dengan sebanyak 6,674 kes telah pulih dan discaj serta 117 kes kematian. Berikutan peningkatan kes pada Mac, Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyatakan kebimbangan baginda terhadap kes positif yang mendadak.

Langkah selanjutnya kemudiannya diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia untuk mengatasi penyebaran virus ini dalam negara melalui siaran langsung pada 13 Mac 2020.

Dengan penyebaran virus di semua negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia sehingga kini, kerajaan Malaysia telah pun mengambil beberapa langkah untuk mengekang pertambahan kes positif dalam Negara seperti telah pun melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP), perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan juga perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bagi sesetengah kawasan yang berisiko tinggi.

Berikutan dari wabak ini, rakyat Malaysia secara amnya telah menjalani kehidupan norma baharu, di mana rata-rata daripada kita sendiri tidak sedar kehidupan yang kita jalani pada masa kini lebih efektif dan berkualiti daripada sebelum pandemik berlaku. Rakyat Malaysia disarankan untuk sentiasa kekal aktif walaupun diarahkan untuk berada di rumah.

Pelbagai aktiviti dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk mengisi masa seharian seperti bersenam secara individu, berjogging, bercucuk tanam dan sebagainya. Ada antara kita tidak sedar bahawa aktiviti yang dilakukan merupakan salah satu aktiviti kesenggangan dan kesedaran persekitaran di mana ianya telah menjadi seperti rutin yang dibuat untuk mengisi masa lapang pada waktu pagi dan waktu petang.

Aktiviti seperti ini bukan sahaja dijalankan secara individu bahkan ada antara kita melaksanakannya bersama keluarga. Secara tidak langsung hubungan antara keluarga dapat dieratkan dan memupuk kasih sayang antara ahli keluarga.

Sepanjang perintah kawalan dijalankan, terdapat beberapa kajian telah dijalankan bagi mengesan kesedaraan individu terhadap aktiviti kesenggangan dan kesedaran persekitaran. Hasil dapatan menunjukkan aktiviti kesenggangan dan kesedaran persekitaran sangat menyeronokkan, ianya secara tidak langsung membantu mengawal emosi dan mengurangkan tekanan yang dialami oleh kita secara sedar ataupun tidak.

Dengan ini, marilah kita sama-sama mencorakkan kehidupan kita dengan melakukan aktiviti yang pelbagai dan sihat bagi membantu memupuk semangat untuk sentiasa kekal cergas terutamanya dalam tempoh penularan pandemik ini.

#KitaJagaKita #KitaMestiMenang #KekalAktif #KitaSihatPersekitaranSelamat

Explore More