November 24, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh:

Prof Madya Ir Dr Ahmad ‘Athif bin Mohd Faudzi

Pasca covid-19 menyaksikan kewujudan pelbagai norma baharu atau “new norm” antaranya pemakaian topeng muka (face mask) oleh setiap individu.

Selain barisan hadapan yang berurusan secara langsung mahupun secara tidak langsung dengan pesakit, para pekerja pelbagai industri dan institusi juga perlu memakai topeng muka dalam tempoh waktu bekerja mereka.

Salah satu kesukaran dalam pemakaian topeng muka yang kerap, lama dan berterusan adalah kesakitan di bahagian telinga dan proses ‘pasang dan buka’ yang sukar terutama kepada wanita bertudung.

Menyedari keadaan ini beberapa penyelidik dari makmal Actuator and Automation Lab (A2LAB), CAIRO UTM di ketuai oleh Prof Madya Ir Dr Ahmad ‘Athif telah merekabentuk dan menghasilkan Face Mask Strap menggunakan teknologi 3D printer dan beberapa additive material seperti Polylactic Acid (PLA) dan Acrylonitrile butadiene styrene (ABS).

Menurut Dr ‘Athif, pada mulanya mereka menghasilkan strap ini hanyalah untuk kegunaan ahli makmal namun apabila menyedari akan manfaatnya kepada masyarakat umum, mereka bertindak untuk menghasilkan cetakan dengan kuantiti yang lebih besar.

“Saya selalu melihat bagaimana doktor, jururawat dan individu terutama yang bertudung menyambungkan tali topeng muka mereka menggunakan getah dan pin, ada juga yang memotong tali mask supaya panjang agar boleh diikat di belakang kepala, kemudian bahagian bawah topeng muka tersebut diselitkan di tudung.

Proses pemakaian topeng muka dilihat merumitkan dan ubahsuai yang dibuat mengganggu fungsi topeng muka tersebut.

“Jadi kami berfikir untuk menghasilkan strap ini sebagai salah satu inovasi untuk digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat di luar sana,” katanya.

Face Mask Strap yang dihasilkan berdasarkan kepada pemintaan (made by order) ini dikawal selia oleh Wong Lian Xuan, Shaekh Mohammed Shithil, Nurul Shafiqah Yusof dan Siti Mariam Mohamed.

Sekitar satu minggu pertama pengeluaran face mask strap kepada umum, pihak A2lab menerima tempahan lebih 700 unit melalui CCIN UTM dan beberapa agen jualan.

Bilangan ini terus bertambah dari semasa ke semasa.

Pada awal pengenalan, reka bentuk ‘flat-strap’ diperkenalkan khusus kepada pengguna wanita.

Kini a2lab mula memperkenalkan rekabentuk baru ‘u-strap’ berbentuk lengkung yang dapat disesuaikan dengan bentuk kepala dan leher kepada pengguna lelaki mahupun wanita.

Pakej “couple set” diperkenalkan untuk kedua-dua reka bentuk ‘flat-strap’ dan ‘u-strap’ berwarna hitam dan putih.

Rekabentuk Facemask Strap ini mempunyai 4 laras cangkuk di sisi kiri dan kanan untuk disesuaikan ukuran kepala yang berbeza sambil memastikan pemakaian topeng muka dipakai dengan betul, tepat dan selesa kepada pengguna.

Rekaan terbaru untuk set keluarga bagi pengguna kanak-kanak masih dalam peringkat prototaip dan akan dimulakan jualan dalam masa terdekat.

“Kami kini menggunakan 4 buah 3D printer bagi memenuhi keperluan-tempahan sedia ada, namun kaedah 3D printer tidak dapat menghasilkan jumlah secara pukal kerana tujuan asal teknologi ini khusus untuk cetakan reka bentuk prototaip.

Material PLA dan ABS yang digunakan juga mudah lentur dalam suhu lebih 80oc, jadi pengguna juga dinasihatkan tidak membiarkan facemask ini di dalam kereta.

Kami sedang meneliti cadangan untuk menghasilkan strap ini menggunakan teknologi injection moulding jika terdapat permintaan secara pukal kerana ianya lebih menjimatkan masa dan tenaga”, kata Dr Athif lagi.

Pemakaian Facemask Strap ini diharapkan dapat memudahkan pemakaian topeng muka tanpa memberi kesan pada telinga dan memudah pelarasan agar selesa dan selamat.

A2lab optimis untuk terus mengkaji dan menghasilkan inovasi yang boleh di tambah baik dari masa ke semasa untuk kemaslahatan masyarakat.

Face mask strap ini boleh didapati secara langsung melalui a2lab di 010-4296101 (Siti Mariam) serta boleh juga didapati di UTM Souvenir Shop di https://shop.utm.my atau di https://shopee.com.my/utmssjb

Flat-strap

U strap

 

Posisi strap bagi pengguna wanita

 

Posisi u-strap di bahagian bawah leher bagi pengguna lelaki

 

Posisi u-strap di bahagian belakang kepala bagi pengguna lelaki
Mini Strap

Explore More