JOHOR BAHRU, 1 Mei — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyahut arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan menghantar 177 orang pelajar yang berada di kampus Johor Bahru melalui program Penghantaran Pulang Pelajar IPT Zon Selatan di Dataran UTM, bermula semalam.

Ini merupakan susulan daripada pengumuman Perdana Menteri tentang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 yang disambung sehingga ke 12 Mei 2020 dengan beberapa kelonggaran iaitu KPT telah bersetuju untuk menghantar pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing bermula 27 April 2020.

Bagi fasa pertama semalam, seramai 177 orang pelajar dihantar ke beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah dan Pejabat Daerah di tiga negeri Zon Selatan iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Melaka (bagi kawasan yang berada di kawasan Zon Hijau sahaja) menggunakan 22 buah bas dan sebuah van coaster dan selebihnya lagi akan dihantar pulang melalui beberapa fasa.

Turut berlepas dari Dataran UTM adalah dua buah bas dari Universiti Teknologi MARA dan sebuah lagi dari Politeknik Ibrahim Sultan.

Petugas menjalankan disinfeksi terhadap beg-beg yang akan dibawa pulang oleh pelajar

UTM juga telah diberi kepercayaan oleh pihak KPT untuk mengetuai task force bagi menyelaras pergerakan pelajar di Zon Selatan untuk pulang ke rumah masing-masing semasa tempoh PKP, dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof. Dr. Durrishah binti Idrus.

Bagi tujuan ini, UTM telah melantik 50 orang pegawai pengiring yang bertanggungjawab untuk mengiringi pelajar sehingga ke IPD yang berkenaan dan juga berperanan memastikan bas serta pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Untuk itu, UTM juga memastikan setiap pelajar diwajibkan menjalani saringan kesihatan sebelum dibenarkan menaiki bas.

Pelajar juga perlu mengisi borang pengisytiharan sihat yang disediakan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU).

Pelajar menjalani saringan kesihatan sebelum menaiki bas

Selain itu bas yang membawa pelajar pulang juga telah menjalani kerja-kerja disinfeksi termasuk bagasi pelajar oleh 23 anggota bomba melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Skudai, Iskandar Puteri, Pekan Nenas, Pontian dan Pontian Baru.

Bas menjalani disinfeksi sebelum memulakan perjalanan

Pelajar diletakkan mengikut SOP penjarakan sosial

Hanya 20 orang pelajar sahaja dibenarkan dalam setiap bas bagi menjaga penjarakan sosial dan mereka diberikan bekalan makanan, topeng muka dan hand sanitizer.

Bekalan makanan kepada pelajar

Hand Sanitizer ciptaan penyelidik UTM

Pelajar yang dibenarkan pulang bergerak dari kampus dengan bas dan terus dihantar ke IPD masing-masing sebelum petugas barisan hadapan di sana menghantar mereka terus ke rumah, manakala pelajar yang memiliki kenderaan sendiri juga dibenarkan memandu pulang dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri dan mereka hanya memandu seorang sahaja.

Bagi 592 orang pelajar yang memilih untuk kekal tinggal di kampus, keperluan asas seperti bantuan makanan akan tetap disediakan seperti biasa di mana universiti telah memastikan kafeteria dan kedai serbaneka sentiasa beroperasi agar keperluan asas pelajar tidak terputus.

Dengan kelonggaran yang dibenarkan oleh kerajaan ini, Universiti berharap pelajar dapat memberi kerjasama dan mematuhi segala SOP yang telah digariskan agar urusan menghantar pelajar pulang ke rumah/kampung halaman masing-masing dapat dilaksana dengan baik dan selamat.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar semasa sesi lawatan ke khemah pelajar sebelum mereka menaiki bas

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar berkata, kelonggaran yang diberikan kepada mereka untuk pulang ini merupakan satu rahmat kepada pelajar dan ibu bapa sempena bulan Ramadan ini setelah berada di kampus lebih 40 hari semasa tempoh PKP ini berlangsung.

“UTM sentiasa komited dalam mengutamakan kebajikan dan kepentingan pelajar dan dengan penghantaran pelajar pulang ini dapat sedikit sebanyak mengurangkan kegusaran pelajar serta melegakan hati ibu bapa mereka.

Walau bagaimanapun, pelajar dinasihatkan untuk sentiasa berkomunikasi dengan penasihat akademik dan berusaha mengikuti kelas dalam talian sekiranya tiada halangan,”kata beliau.

Menurut beliau lagi, universiti juga telah menyediakan panduan ringkas kepada pelajar semasa berada di rumah seperti menyediakan ruang belajar khas di rumah sekiranya ada kelas dalam talian dan untuk lebih fokus dalam pembelajaran, menyediakan pelan belajar, mengikuti perkembangan semasa tentang universiti dan sekeliling, sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi arahan Kementerian serta MKN.

Wajah ceria pelajar dapat pulang ke kampung halaman