Disediakan oleh: Azra Ayue Abdul Rahman

Dr. Zulkifli Khair diundang sebagai Panel Jemputan di Segmen Bicara Buku Santai

Pensyarah Kanan dari Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Zulkifli Khair telah diundang sebagai Panel Jemputan di Segmen Bicara Buku Santai. Ia dijalankan secara dalam talian melalui Facebook dan Youtube.

Program ini merupakan inisiatif Persatuan Penasihat Pusat Sumber Sekolah Negeri Johor (PPPSSNJ) dengan kerjasama JPN Johor dalam kempen ‘Anak Johor, Bangsa Membaca. Dr. Zulkifli telah mengupas buku berjudul Talent is Never Enough.

Buku ini ditulis oleh John C. Maxwell yang lahir pada 1947; perunding latihan, coach, penceramah, dan penulis buku terlaris dari Amerika Syarikat. Buku kepimpinan popular beliau termasuklah The 21 Irrefutable Laws of Leadership: Follow Them and People Will Follow You.

John Maxwell sering dianggap sebagai guru dalam bidang kepimpinan serta pembangunan dan pengurusan bakat. Buku Talent is Never Enough mula diterbitkan pada tahun 2007 dan merupakan buku terlaris menurut New York Times.

Dr. Zulkifli telah merumuskan penulisan John Maxwell ini ke dalam bentuk yang mudah untuk kita fahami iaitu dengan menggunakan formula: X + Bakat = Bakat luar biasa (Talent Plus). X adalah perkara-perkara perlu untuk menjanakan bakat.

Ada 13 kesemuanya yang telah dijadikan sebagai kerangka bab bagi buku ini. 13 perkara atau elemen tersebut adalah seperti berikut:

  1. Kepercayaan mengangkat bakat.
  2. Keghairahan memberikan tenaga kepada bakat.
  3. Inisiatif mengaktifkan bakat.
  4. Fokus mengarahkan bakat.
  5. Persediaan mengukuhkan kedudukan bakat.
  6. Latihan mengasah bakat.
  7. Ketabahan mengekalkan bakat.
  8. Keberanian menguji bakat.
  9. Sanggup diajar/berguru/bermentor memperluaskan bakat anda
  10. Watak melindungi bakat.
  11. Perhubungan mempengaruhi bakat.
  12. Tanggungjawab menguatkan bakat.
  13. Kerja berpasukan menggandakan bakat.

Menurut Dr. Zulkifli, pemimpin dalam apa jua skala organisasi juga pendidik dan ibu bapa perlu mengetahui hal ini agar dapat membangun dan mengurus bakat dengan berkesan.

Beliau turut memetik kata-kata John Maxwell, “If you have talent, you stand alone. If you have talent plus, you stand out.”

Video kupasan buku yang telah dimudahcara oleh Pengerusi PPPSSNJ, Encik Mohd Kamal Iskandar Mohd Shafri dapat ditonton di :

https://m.youtube.com/watch?v=mCsW1GJKx4o&feature=share

 

Teks ulasan buku oleh Dr. Zulkifli pula dapat diakses di : https://www.goodreads.com/review/show/3229091792?book_show_action=false&from_review_page=1

 

Dr. Zulkifli Khair bersama dengan moderator, Encik Mohd Kamal Iskandar Mohd Shafri yang juga merupakan Pengerusi PPPSSNJ sewaktu sesi kupasan berlangsung.