April 20, 2024

Search
Close this search box.

Majlis Konvokesyen dan Masyarakat

Majlis Konvokesyen sangat sinonim dengan institusi pengajian tinggi. Ia merupakan satu majlis yang meraikan pelajar, ibu bapa dan universiti. Bagi pelajar, ia merupakan satu kemuncak penghargaan akademik yang dinanti-nanti setelah berpenat lelah bergelumang dengan pelbagai rintangan serta cabaran bagi menggenggam segulung ijazah.

Bagi universiti pula, ia merupakan satu kebanggaan melahirkan bakat serta pakar bidang yang bakal menyumbang kepada kemajuan serta kemakmuran negara. Oleh itu, menjadi satu kemestian bagi sesebuah universiti untuk menganjurkan Majlis Konvokesyen bagi meraikan para siswazah yang telah diasuh sejak sekian lama dan bagi menghargai jasa ibu bapa yang telah banyak berkorban demi kejayaan anak-anak mereka.

Di UTM, Majlis Konvokesyen adalah merupakan majlis sambutan tahunan yang gilang gemilang. Ia turut dimeriahkan dengan penganjuran Festival Konvokesyen (FESKO) yang terbuka kepada masyarakat. Setiap kali dilangsungkan, FESKO UTM menyaksikan lebih 200,000 pengunjung dari kalangan ibubapa, para siswazah dan juga penduduk tempatan di sekitar Johor Bahru, Kulai dan Pasir Gudang yang turut mengambil kesempatan memeriahkannya meskipun tiada kenalan yang bergraduan.

Konsep keterbukaan UTM ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang awam untuk mendekati universiti, malah ia dapat membantu universiti mencapai hasrat menjadikan UTM sebagai sebuah universiti untuk masyarakat.

Sejarah Majlis Konvokesyen UTM

Majlis Konvokesyen UTM yang pertama dan paling bersejarah telah berlangsung pada 3 Disember 1977 di Kuala Lumpur. Sejak itu, pada setiap tahun UTM tidak ketinggalan meraikan graduan sebelum ‘melepaskan’ mereka kepada industri yang bersedia melamar mereka.

Tidak dinafikan sejak UTM ditubuhkan sebagai salah sebuah universiti yang berasaskan kejuruteraan, lebih 60% profesion jurutera di negara ini adalah terdiri daripada alumni UTM.

Jumlah siswazah yang saban tahun meningkat membuatkan UTM mengambil keputusan untuk menganjurkan Majlis Konvokesyen sebanyak dua kali setahun mulai tahun 2000. Ini juga mengambilkira polisi pengambilan pelajar antarabangsa yang mula meningkat pada tahun tersebut. Sejak itu, Majlis Konvokesyen UTM diadakan pada April dan Oktober setiap tahun.

Sehingga November 2019, UTM telah menghasilkan 198,593 orang siswazah dari peringkat Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Diploma Lepasan Ijazah, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma dari pelbagai mod pengajian di dalam dan luar negara.

Daripada jumlah itu terdapat beberapa program kerjasama dengan kolej bersekutu dalam negara dan juga universiti awam dan swasta di luar negara. Dengan jumlah ini, UTM harus berbangga dengan bilangan siswazah yang hampir mencecah 200,000 pada tahun 2020 yang telah menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran sejagat.

Pun begitu pada Disember 2019, pengurusan tertinggi UTM telah menetapkan agar Majlis Konvokesyen dianjurkan hanya sekali setahun berbanding tahun-tahun sebelumnya. Pelbagai faktor diambil kira dan keputusan tersebut diperhalusi oleh jawatankuasa induk dan isu-isu teknikal diperkemaskan. Malah pelbagai usaha dan penanda aras telah diletakkan bagi menghadapi Majlis Konvokesyen ke-64 yang dijadualkan pada 24 hingga 28 Oktober 2020.

Pandemik COVID-19 dan Pendidikan Tinggi

Dunia yang dilanda pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020 cukup memberi kesan kepada pendidikan tinggi. UTM telah serta merta bertindak ‘menyelamatkan’ pendidikan tinggi ke aras yang lebih baik. Kuliah berlangsung secara dalam talian, peperiksaan akhir juga diubah penilaian dan beberapa polisi turut diubah bagi memastikan fleksibiliti pendidikan tinggi dapat memberi faedah kepada semua pelajar di UTM.

Kita tidak harus diam dan terus menunggu kerana kesan pandemik ini tiada siapa yang dapat mengetahui secara pasti akan kesudahannya.

Justeru, pengurusan tertinggi UTM telah mengambil langkah drastik untuk meneruskan kuliah secara dalam talian seawal 1 April 2020 di samping mengemaskini beberapa proses sebagai penambahbaikan dalam masa yang sama. Kajian menunjukkan bahawa, untuk meneruskan kuliah secara dalam talian, 85% pelajar telah bersedia manakala hanya 15% pelajar yang menghadapi cabaran.  Pelbagai langkah telah diambil untuk memastikan tiada pelajar yang ketinggalan, termasuk menyediakan pengajaran secara jarak jauh, menyediakan subsidi kewangan data internet, kemudahan peminjaman laptop dan juga penangguhan pengajian tanpa pengiraan semester.

Pandemik dan Konvokesyen

Menyedari kesan pandemik yang tidak akan berakhir dalam masa yang terdekat, Kerajaan Malaysia melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengeluarkan arahan kepada semua universiti untuk menangguhkan Majlis Konvokesyen pada tahun ini.

Larangan perhimpunan secara besar-besaran itu perlu dipatuhi dalam satu tempoh masa yang agak panjang. Rata-rata universiti awam telah memulakan langkah untuk memastikan penganjuran Majlis Konvokesyen pada tahun 2021 berjalan lancar walaupun melibatkan jumlah siswazah yang ramai.

Tidak kurang pula kesannya bagi pelajar yang menunggu tarikh untuk bergraduan. Di UTM lebih 1,200 orang pelajar telah disahkan bergraduan oleh Senat mulai November 2019 hingga April 2020. Jumlah itu dijangka meningkat pada Julai 2020 selepas peperiksaan akhir berlangsung.

Bakal graduan ini semestinya menanti hari gembira mereka dan keputusan universiti untuk penganjuran seterusnya. Di samping meraikan hari gembira, sijil turut diperlukan untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau memohon pekerjaan yang diidamkan.

Apa Tindakan Universiti?

Selaras dengan arahan MKN, penangguhan Majlis Konvokesyen adalah satu tindakan yang melibatkan semua pihak. Baik graduan, tetamu, ibu bapa dan para petugas serta peniaga yang perlu mematuhi arahan penjarakan sosial serta menghindari dari perhimpunan awam.

Persoalannya, apakah tindakan selanjutnya selepas penangguhan? Ya, pastinya sesuatu penangguhan akan diganti pada satu tarikh baharu pada 2021. Malah majoriti universiti telah menyatakan persetujuan untuk mengadakan konvokesyen serentak dengan graduan 2021 pada tahun tersebut. Ini kerana hanya UTM dan UiTM sahaja yang mengadakan konvokesyen dua kali setahun pada tahun sebelumnya.

Isu teknikal antara yang dibincangkan bagi memenuhi keperluan kebanjiran graduan pada tahun 2021 adalah keperluan jubah konvokesyen. Semestinya universti perlu memastikan jumlah jubah cukup untuk kegunaan graduan. Di samping itu, kos penganjuran juga dijangka meningkat disebabkan penambahan tempoh majlis.

Perkhidmatan Sijil Awal

UTM merupakan universiti awam pertama yang menyediakan perkhidmatan sijil awal. Perkhidmatan ini mula diperkenalkan pada 1 Januari 2012 kepada pelajar antarabangsa yang ingin pulang awal ke negara mereka tanpa menunggu Majlis Konvokesyen. Susulan pandemik COVID-19 ini, perkhidmatan ini mula diperluaskan kepada pelajar tempatan selari dengan keputusan universiti untuk menganjurkan Majlis Konvokesyen sekali setahun pada 2020 dan dijangka dapat membantu pelajar dalam tempoh menunggu majlis tersebut yang pada awalnya dijadualkan pada Oktober 2020.

Dalam keadaan pandemik yang kini melanda, penyediaan sijil awal tersebut nyata membantu graduan yang terpaksa menunggu sehingga tahun 2021. Bakal graduan boleh memohon untuk pengeluaran sijil awal setelah disahkan oleh Senat dan tidak mempunyai hutang tertunggak. Pengeluaran sijil ini juga turut dibekalkan dengan peminjaman jubah untuk sesi fotografi. Ia dianggap pra-Majlis Konvokesyen dan sijil tersebut boleh digunakan oleh graduan dalam urusan rasmi seterusnya.

Pelajar yang telah memohon sijil awal ini juga dijemput untuk menghadiri Majlis Konvokesyen pada tahun 2021. Malah, sebagai tambahan, mereka diberi pilihan untuk hadir pada dua tahun berikutnya jika menghadapi kesukaran untuk hadir pada tahun 2021. Fleksibiliti yang diberikan ini merupakan satu usaha bagi memastikan pelajar terus menjalin hubungan dengan UTM walaupun telah menamatkan pengajian.

Tindakan pantas ini menjadi salah satu senjata baharu UTM demi memastikan graduan tetap mendapat perhatian sekalipun negara dilanda pandemik. Kesiapsiagaan barisan hadapan UTM dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam menganjurkan Majlis Konvokesyen ini membuktikan pendidikan tinggi tidak mati ditelan pandemik.

Konvokesyen Cara Baharu, Norma Baharu

Dalam menghadapi norma baharu yang perlu diamalkan dalam tempoh masa yang panjang, ia dilihat satu pendekatan tepat bagi mengubah budaya pemikiran masyarakat dan penganjuran Majlis Konvokesyen itu sendiri. Dahulu kita melihat majlis ini hanya dapat disambut oleh pelajar yang menamatkan pengajian di pendidikan tinggi. Maka riuhlah sekampung dengan perasaan penuh bangga apabila ada salah seorang penduduk kampung berjaya bergelar siswazah.

Kini, pendidikan di tahap pra-sekolah juga menganjurkan konvokesyen apabila tamat tempoh prasekolah. Ia adalah sekadar gimik supaya anak-anak kecil ini bersemangat dan terinspirasi untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Namun, pengajian tinggi perlu lebih dari itu. Majlis Konvokesyen perlu lebih mudah, ringkas dan mematuhi norma baharu. Rata-rata pelajar yang pernah bergraduan di universiti ternama luar negara menyatakan cadangan Majlis Konvokesyen seringkas mungkin tetapi kekal meriah. Ia dapat menjimatkan masa serta memastikan para tetamu terutamanya ibu bapa tidak menunggu lama. Bayangkan mereka hanya menumpukan kurang lima minit bagi menyaksikan anak mereka menerima segulung ijazah sedangkan lebih tiga jam menunggu majlis tamat.

Sudah tiba masanya, budaya Majlis Konvokesyen ini perlu diperhalusi penganjurannya. Selari dengan pandemik ini dan beberapa SOP yang dikenakan oleh MKN, inilah masanya untuk kita merenung sejenak, keluar dari kepompong lama sambil tidak menjejaskan kemeriahan dan simbol konvokesyen secara umum. Mungkin ramai yang mengagumi penganjuran konvokesyen di luar negara, mengapa tidak diadaptasi di negara sendiri?

Penutup

Pengajian tinggi adalah cabang yang penting dan relevan dalam melahirkan bakat yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.  Namun ianya perlu lestari dan cergas melaksanakan adaptasi dalam menelusuri segenap perubahan serta cabaran di abad ke-21.

Melihat kepada beberapa sektor yang lumpuh hanya dalam sekelip mata apabila dilanda pandemik, ia tidak berlaku kepada sektor pendidikan. Proses pembelajaran dan pengajaran dapat dilaksanakan secara berterusan malah banyak kaedah baharu yang diterokai dan dijangka dapat mengimbangi pelajar dan pengajar dalam tempoh norma baharu nanti.

Menyedari sektor pendidikan terus menerus akan mendapat permintaan tinggi, kita sebagai pembekal pengajian tinggi perlu memberi sepenuh perhatian kepada pemegang taruh terutama pelajar bagi memastikan kelangsungan, penjenamaan dan keterlibatan universiti kepada masyarakat tidak terhenti apabila pelajar tamat pengajian sahaja.

Justeru, Majlis Konvokesyen perlu menjadi detik termanis buat siswazah agar mereka bersama sebagai anak kandung yang bakal membantu menjenamakan serta mengangkat martabat universiti rimbun bernaung ke arah kesohoran global.

Explore More