Dalam situasi negara berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19 yang telah menggugat keadaan sosioekonomi global, Universiti Teknologi Malaysia telah bertindak memperkasakan sistem sokongan pelajar dan warganya dalam menangani cabaran krisis COVID-19.

Sejurus selepas kerajaan Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 March 2020, pada 1 April 2020 UTM telah mengaktifkan Pembelajaran dan Pengajaran (PDP) dalam talian dan jarak jauh kepada seluruh warganya yang terjejas akibat wabak ini.

UTM telah mengutamakan aspek keselamatan, keterlibatan (inclusiveness), kualiti dan kesinambungan PDP sebagai asas-asas utama dalam membuat keputusan mengaktifkan kaedah PDP dalam talian.

Bagi tujuan ini, buat pertama kalinya Liga UTM iLeaGue telah mengadakan program forum bersiri gabungan antara staf dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia untuk membincangkan pelbagai isu semasa di era baru Covid-19.

Selain itu, Liga UTM iLeaGue ini juga adalah bertujuan memperkasakan kemahiran komunikasi dan pengetahuan pelajar ke arah memperkayakan pengalaman mereka agar bersedia untuk mendepani kehidupan selari dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Liga ini juga merupakan agenda UTM iLeaGue untuk mencapai misi menjadi peneraju di dalam aspek kemenjadian pelajar yang holistik, berilmu, berdaya usaha, dan memiliki nilai-nilai manusiawi ke arah kemakmuran dan kesejahteraan sejagat.

Sehubungan itu, pada 21 April 2020, buat pertama kalinya Liga UTM iLeaGue telah melangsungkan Forum PDP yang bertajuk “Persediaan Mahasiswa dan Universiti Dalam Pengajaran dan Pembelajaran semasa Covid-19”, anjuran Institut Graduan Tersedia Kehadapan UTM (iLeaGue) dan Majlis Perwakilan Pelajar UTM (MPP) melalui FB Live UTM.

Forum ini bertujuan membantu para pelajar UTM menangani cabaran krisis COVID-19. Ahli forum yang diundang dalam sesi ini terdiri daripada Y.Brs. Prof. Ir. Ts. Dr. Zainuddin Bin Abd. Manan, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) serta Saudara Ahmad Muzammil Bin Zulkifli, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UTM.

Antara intipati forum yang ditekankan oleh Prof. Dr. Zainuddin ialah mengenai konsep inklusif yang diketengahkan dalam konteks PDP baharu ini.

Inklusif yang dimaksudkan adalah penyaluran material pengajaran kepada pelajar dan kaedah penerimaan oleh pelajar pula adalah berdasarkan kepada konsep kendiri iaitu mereka perlu bijak mengolah maklumat tersebut kepada pembelajaran secara self-pace dan remote learning.

Kaedah pengajaran tidak akan terhenti di situ sahaja kerana para pensyarah secara berterusan akan membimbing pembelajaran tersebut secara intensif selain memberi latihan yang berterusan.

Menurut Prof. Dr. Zainuddin, sebagai komitmen dan kesungguhan universiti untuk membantu pelajar, pengurusan tertinggi juga telah meluluskan beberapa bentuk bantuan daripada aspek kewangan mahupun akademik bagi membolehkan pelajar-pelajar UTM menerima kaedah pengajaran yang dilaksanakan dengan mudah tanpa mengira keberadaan mereka.

Selain itu, pelajar juga berpeluang mengikuti pembelajaran secara MOOC dan lain-lain termasuk micro learning seperti yang ditawarkan oleh UTM.

UTM berusaha menyediakan warganya untuk menghadapi kemungkinan penggunaan kaedah dalam talian dan jarak jauh sebagai mod utama PDP sehingga Disember 2020 berdasarkan penasihatan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Prof. Dr. Zainuddin menegaskan bahawa walaupun dengan pelbagai kekangan yang terpaksa dihadapi berikutan dengan pelaksanaan pembelajaran atas talian ini, kualiti graduan tidak akan sedikitpun terjejas memandangkan Program Learning Outcome (PLO) dan Course Learning Outcome kekal dipatuhi.

Perubahan hanya berlaku pada konteks kaedah penyampaian yang mana ia merangkumi aspek penilaian dan pembelajaran alternatif.

Melihat kepada persoalan adakah wajar untuk semester ini ditangguhkan, Prof. Dr. Zainuddin menjelaskan bahawa keputusan untuk meneruskan semester secara PDP atas talian, adalah berdasarkan kepada kajian yang dibuat terdahulu ke atas pelajar-pelajar UTM yang mana peratusan menunjukkan 85% pelajar telah bersedia untuk PDP secara atas talian.

Atas kajian inilah, maka kaedah penilaian alternatif, aktiviti makmal dan lain-lain perlu diinovasikan menerusi pelaksanaan secara simulasi, virtual learning, demonstrasi dan eksperimen atas talian, keusahawanan atas talian dan lain-lain lagi yang telah mula dilaksanakan di UTM.

Sekiranya terdapat pelajar yang berhalangan dan berhasrat untuk menangguh pengajian, Prof. Dr. Zainuddin menjelaskan permohonan tersebut boleh dikemukakan seperti biasa kerana Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) yang telah menguruskan banyak permohonan sedemikian sejak sekian lama.

Apa yang ingin ditekankan ialah, dalam keadaan krisis pandemic COVID-19, UTM telah menyediakan pelbagai fleksibiliti serta kemudahan bagi membantu pelajar menangani cabaran teknikal, sosio-ekonomi mahupun emosi dalam meneruskan pengajian mereka.

Apabila ditanya mengenai tips dan panduan pelajar dalam menjalani norma baharu pembelajaran secara atas talian, Saudara Ahmad Muzammil berpendapat bahawa pelajar perlu sentiasa ambil maklum akan sebarang maklumat perkongsian yang diberikan oleh pensyarah yang kerap menggunakan medium Watsapp Group atau e-learning sebagai platform utama penyampaian kepada mereka.

Tambah beliau lagi, perbincangan secara atas talian juga perlu dilaksanakan sekerap yang mungkin. Pelbagai platform boleh digunakan bagi tujuan ini, seperti Skype, Zoom, Webex dan e-learning forum.

Pelajar boleh mengemukakan soalan kepada pensyarah dan bimbingan boleh diberikan sama ada secara langsung atau tidak.

Selain itu pensyarah juga boleh menghasilkan dan berkongsi video-video pembelajaran supaya pelajar pada bila-bila masa dapat belajar secara kendiri menerusi video-video berkenaan.

Seterusnya, ruang belajar yang selesa turut dapat membantu memberikan semangat kepada pelajar untuk tekun mengikuti kuliah secara atas talian.

Dengan ruang yang selesa (kerusi dan meja belajar tersedia) ini dapat membantu pelajar untuk lebih fokus kepada pembelajaran mereka.

Beliau juga secara peribadi bersetuju agar semester diteruskan berbanding ditunda kerana yakin pengurusan UTM akan sentiasa mengutamakan isu kebajikan pelajar dalam setiap keputusan yang dibuat.

Ini terbukti dengan pelbagai polisi serta bantuan yang telah diluluskan oleh UTM demi memberi keringanan kepada pelajar mengikuti PDP dalam keadaan krisis, bantuan makanan, kewangan dan lain-lain usaha yang telah dilaksanakan oleh UTM setakat ini.

Dengan panduan dan tips yang diberikan, Saudara Muzammil merumuskan bahawa tanggungjawab pelajar itu perlu sentiasa berlangsung dalam apa keadaan sekalipun terutama dalam mendepani norma baharu kehidupan bagi menghadapi pandemik ini.

Kesimpulannya, setiap usaha dan pelaksanaan yang dicadangkan oleh pengurusan UTM ini bukan sahaja dapat mengatasi isu keselamatan (menghentikan wabak Covid-19) bahkan yang paling utama adalah untuk memberi satu anjakan menerokai peluang-peluang kemahiran digital yang boleh ditawarkan pada masa hadapan.

Ia juga merupakan satu proses pengkayaan ilmu bagi membolehkan pelajar UTM tersedia kehadapan dan secara tidak langsung diharap dapat melonjakkan kebolehpasaran pelajar dalam dunia yang semakin mencabar ini.

Forum ini telah dikendalikan menerusi FB live di UTM iLeaGue dan menerusi platform Webex oleh Cik Siti Rafhanah Binti Rafliz Khan, Timbalan Setiausaha, Majlis Perwakilan Pelajar UTM sebagai moderator dan telah ditonton seramai 1,855 (84.4%) orang pelajar serta staf seramai 343 orang.