Oleh:
Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia
Dr. Mohd. Bakri Bakar
Penolong Dekan, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia
Universiti Awam telah memulakan penghantaran pulang mahasiswa yang berada di kampus ke kampung halaman masing-masing. Secara tidak langsung, prospektif kewujudan universiti awam secara maya tanpa kehadiran mahasiswa secara fizikal hampir menjadi realiti.
Potensi kewujudan universiti masa depan di mana mahasiswa mengikuti pembelajaran dalam talian secara separa atau sepenuhnya telah lama dibincangkan. Dalam konteks ini, pandemik COVID-19 telah memacu universiti untuk segera menjadikannya sebagai norma dan kelaziman baharu.
Dalam masa terdekat, universiti awam perlu melakukan penyesuaian bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran dapat diteruskan. Pada masa yang sama, keprihatinan universiti terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa perlu diteruskan dalam bentuk bantuan yang berbeza.
Malah, proses pendidikan perlu dipastikan berlaku secara terangkum dan tiada mahasiswa yang tercicir dalam proses pembelajaran. Justeru, universiti dikehendaki memberikan perhatian terhadap akses dan kapasiti mahasiswa terhadap medium dalam talian dan bahan pembelajaran digital.
Selain penerapan pengetahuan dan kemahiran yang berbantukan teknologi, nilai kemanusiaan dalam pendidikan perlu diutamakan. Dengan itu, para pendidik universiti berperanan penting bagi memastikan agenda pembangunan insaniah mahasiswa yang holistik dan bersepadu dapat dijayakan dengan sebaiknya.
Sememangnya universiti bertanggungjawab dalam menjayakan agenda pendidikan dalam setiap keadaan. Semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, setiap universiti awam telah berjaya menganjurkan pelbagai sesi seminar, kursus, latihan dan bengkel secara dalam talian melibatkan topik-topik keutamaan.
Menariknya sesi perkongsian ilmu tersebut boleh diakses merentas universiti dan turut terbuka kepada masyarakat awam. Inisiatif ini menepati peranan universiti sebagai institusi pendidikan dan penyebaran ilmu untuk manfaat semua pihak.
Harus diingat, universiti bukan sekadar mendepani cabaran norma baharu dalam proses pendidikan. Keseluruhan ekosistem dan tadbir urus universiti turut terkesan yang memerlukan rekayasa, cara bekerja baharu dan penilaian semula.
Untuk permulaan, universiti perlu meneruskan operasi dalam kampus dengan mengikut peraturan dan prosedur kesihatan serta keselamatan. Ini bermakna setiap warga universiti perlu mempunyai tanggungjawab kendiri bagi bersama menjaga kampus supaya kekal menjadi ‘zon hijau’ yang bebas daripada wabak COVID-19.
Kapasiti kerja dalam kampus juga perlu dimulakan secara berperingkat mengikut keutamaan. Atas cadangan YAB Perdana Menteri, keanjalan kerja dan proses kerja secara luar kampus perlu dipertimbangkan selagi mana produktiviti dan hasil kerja kekal terjaga.
Selain itu, persediaan universiti untuk membangunkan kampus digital sepenuhnya perlu ditambahbaik. Mengikut rekod, kebanyakan universiti awam termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memulakan inisiatif kampus digital sejak beberapa tahun lepas.
Peruntukan khusus telah diberikan melibatkan peningkatan capaian internet, pengukuhan infrastruktur digital dan pelaksanaan operasi pintar seperti tanpa tunai. Walau bagaimanapun, impak COVID-19 memerlukan tindakan segera universiti terutamanya melibatkan pemerkasaaan pembelajaran secara dalam talian serta capaian tele-mesyuarat dan tele-sidang.
Universiti awam juga perlu merangka strategi bagi membolehkan terus berdaya tahan dalam norma baharu mendepani cabaran kewangan. Aspirasi kemampanan kewangan universiti telah sedia dibangunkan sebagaimana dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) Malaysia.
Di samping itu, universiti turut berpengalaman dalam usaha meningkatkan kemampanan kewangan berikutan pengurangan belanjawan kerajaan sebelum ini. Kini, inisiatif kewangan baharu perlu terus diteroka dalam menguruskan pembangunan dan operasi universiti.
Selain amalan pengurusan kewangan dan perbelanjaan berhemah, universiti awam perlu terus mempelbagaikan sumber penjanaan pendapatan seperti pemerkasaan sistem endowmen dan wakaf. Universiti juga perlu melakukan unjuran kembali prestasi keberhasilan kewangan melibatkan aset, hasil premis dan entiti perniagaan.
Dalam pada itu, UTM telah mendahului usaha mewujudkan tabung endowmen keusahawanan bertujuan memperkasa kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar. Ia merupakan suatu keperluan baharu yang sangat relevan dalam mendepani krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.
Universiti turut ditagih untuk beroperasi dalam kerangka dan minda keusahawanan. Antara inisiatif strategik lain termasuklah mempelbagaikan portfolio program akademik, memperkasakan sumbangan filantropi dermawan serta memanfaatkan kepakaran universiti melalui peningkatan komersilisasi penyelidikan.
Seterusnya, COVID-19 turut memberikan impak terhadap operasi penyelidikan universiti. Kekangan penyelidikan semasa menyebabkan penyelidik universiti perlu terus beradaptasi dan meneroka ruang kreatif bagi memanfaatkan peluang dan ruang penyelidikan baharu.
Krisis pandemik tetap memerlukan pelbagai input penyelesaian hasil dapatan kajian pelbagai bidang merangkumi sains, teknologi, kejuruteraan, sains sosial, kemanusiaan, perancangan pembangunan serta ekonomi. Tentunya universiti awam perlu terus menggiatkan usaha penyelidikan yang dapat merangsang pembangunan ilmu dan inovasi untuk dimanfaatkan.
Universiti juga harus kekal menyumbang bersama dengan komuniti dan pemegang taruh yang lain bagi mendepani cabaran semasa. Jelasnya, operasi penghantaran pulang mahasiswa memberikan contoh terbaik keperluan universiti bersinergi dengan pelbagai agensi bagi menjamin keselamatan semua pihak.
Lebih daripada itu, perkhidmatan universiti tetap diperlukan dalam membantu pemerkasaan kehidupan dan kemandirian komuniti yang terkesan berikutan COVID-19. Kepakaran universiti perlu disalurkan dalam membina kembali kapasiti masyarakat dan meningkatkan kualiti kehidupan serta sosioekonomi mereka.
Secara keseluruhan, universiti perlu sentiasa terkehadapan dalam memenuhi tanggungjawab sebagaimana hasrat visi dan misi universiti. Perkara yang membezakan adalah strategi baharu dalam meneroka pelbagai laluan yang dirangsang oleh cabaran persekitaran semasa.
Bagi UTM, penekanan terhadap empat nilai teras iaitu integriti, sinergi, cemerlang dan lestari berupaya mengukuhkan kedudukannya dalam mendepani cabaran perubahan. Di samping itu, pembudayaan nilai keikhlasan, amanah, semangat pengorbanan dan perjuangan, kesatuan pemikiran dan tindakan, menjana hasil berimpak tinggi serta pengukuhan kerangka fikir dan tindakan masa hadapan harus menjadi keutamaan.
Walaupun universiti telah berjaya ditransformasikan bagi mendepani cabaran semasa, kitaran perubahan akan terus berlaku dengan membawa bersamanya norma dan kelaziman baharu. Pegangan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta falsafah, visi dan misi universiti akan memandu seluruh warga untuk terus menjayakan kelangsungan sebuah universiti.