KUALA LUMPUR, 13 Mei — Sekumpulan penyelidik yang terdiri daripada staf akademik Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), UTM KL telah mencipta alatan dispenser sanitiser kendalian kaki atau foot-operated sanitiser dispenser yang direka khas untuk membasmi kuman susulan penularan wabak Covid-19. 

Menariknya, alat ini hanya memerlukan pengguna memijak menggunakan kaki untuk mengeluarkan cecair untuk membersihkan tangan mereka tanpa memerlukan sentuhan terus dari tangan pengguna. 

Kumpulan penyelidik tersebut yang menggelar mereka sebagai ‘MySIGHT Rural Technology’ (MySIGHT) ini ditubuhkan sejak 2018 bagi menjalankan aktiviti dan membangunkan komuniti di kawasan luar bandar.

Mereka juga aktif menjalankan aktiviti-aktiviti dalam membantu komuniti semasa Covid-19 menyerang negara.

Encik Kamal Azam Bani Hashim daripada kumpulan MYSIGHT yang merupakan perekabentuk utama berkata, idea ini terhasil apabila kumpulan ini mendapat permintaan dari Klinik Kesihatan Taman Medan, Petaling Jaya bagi membantu menyediakan beberapa unit dispenser sanitiser kendalian kaki dalam memudahkan proses ujian saringan yang perlu dijalankan sepanjang tempoh Covid-19 ini.

Menurut beliau, penggunaan alatan sanitiser kendalian kaki ini biasa dilihat hanya di pusat kesihatan sebelum ini.

Namun, keperluan yang meningkat semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), alatan ini berjaya diinovasikan berdasarkan tujuan utama dalam mencegah penularan wabak Covid-19 sekiranya pengguna menggunakan tangan menekan cecair ini.

Beliau turut menyifatkan projek yang mulia ini harus diteruskan dalam memberi sumbangan inovasi kepada komuniti yang memerlukan.

“Saya menggunakan kayu sebagai bahan asas bagi mencipta tempat meletakkan sanitiser tangan dan membuatnya nampak seakan-akan perabot supaya ianya lebih kemas dan menarik, ” tegas En. Kamal 

Kumpulan penyelidik ini mendapat tempahan sebanyak 15 unit yang mana tujuh unit akan diagihkan kepada beberapa pihak di Klinik Kesihatan, Hospital Rehabilitasi Cheras, Klinik Kesihatan Setapak dan lapan unit telah diedarkan ke UTM termasuk unit Hal Ehwal Korporat, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, serta Pusat Kesihatan UTM KL.

Pihak penyelidik turut merakamkan terima kasih kepada semua penyumbang individu dan juga IEEE IMS Malaysia yang merupakan salah satu organisasi yang terlibat untuk projek ini.

Semoga hasrat penyelidik dalam membantu komuniti mengurangkan penularan wabak Covid-19 berjaya dan aktiviti yang murni ini bakal diteruskan pada masa akan datang.

Website: https://people.utm.my/hazilah