November 22, 2024

Search
Close this search box.

Program Bicarawara Sukan SITC UTM Himpun Ikon dan Pakar Pacu Kejayaan Bidang Sukan Tanah Air

KOMENTAR PROGRAM BICARAWARA SUKAN SIRI 1,2,3 DAN SIRI BONUS KHAS SEMPENA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) BAGI MEMACU KEJAYAAN BIDANG SUKAN TANAH AIR

Link Video Bicarawara Sukan Siri 1:

Link Video Bicarawara Sukan Siri 2:

https://www.facebook.com/utmihumen/videos/544765352892787/

Link Video Bicarawara Sukan Siri 3 :

https://www.facebook.com/utmihumen/videos/798531607727430/

Link Video Bicarawara Sukan Siri Bonus :

https://www.facebook.com/utmihumen/videos/163870618355251/

Program siri bicarawara sukan Siri PKP 2020 telah pun melabuh tirai.

Pasti dalam setiap penganjuran dan pelaksanaan program mempunyai cabaran dan liku-liku yang tersendiri. Walaubagaimanapun, ia berjaya diatasi dengan baik atas semangat kerjasama berkumpulan.

Pasti ada yang tertanya – tanya kenapa program ini dianjurkan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada kala masyarakat umum sedang berjuang melawan Covid 19, kumpulan ini sibuk memperkenalkan program – program khas tentang sukan kepada masyarakat. Adakah mereka ini tidak prihatin dengan masalah pandemik dunia yang sedang berlaku? Jika sesuatu perkara itu dilihat dengan mata lebah, pasti kebaikan yang akan diperolehi akan tetapi jika dilihat dengan mata lalat pasti yang dijumpai hanyalah kelemahan dan keburukan.

Menurut Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran ( Naib Canselor UPSI) melalui keratan akhbar Berita Harian 8 Mei 2020, fasa PKP ini adalah sangat penting untuk Masyarakat menjadi mata lebah dalam mencari kebaikan dan hikmah di sebalik yang berlaku.

Manifestasi penganjuran program ini menunjukan sendiri keprihatinan pakar bidang mengikut ruang lingkup dan skop bidang masing-masing.

Pada masa ini, khidmat pakar setiap bidang amat ditagih dalam membantu menjawab formula dan jawapan kepada masalah sukan di kala fasa PKP mengikut keperluan bidang masing masing. Kehadiran pakar bidang walaupun secara alam maya juga boleh di katakan ibarat turun padang bersama untuk membantu masyarakat. Berapa ramai jumlah atlet yang mengganggur semasa PKP, berapa banyak jumlah kelab sukan yang mengalami kerugian bisnes, bagaimana dilema pengurusan tertinggi sukan dalam mematuhi arahan PKP, kesemua fasiliti sukan utama ditutup akan tetapi sewa tetap perlu dibayar dan juga perkara -perkara lain yang memberi kesan amat tinggi dalam kepimpinan dan pengurusan sukan.

Ada dalam kalangan bos perniagaan sukan yang mengambil inisiatif  dengan melakukan kerja lain semasa PKP dalam meneruskan kelangsungan hidup seperti Grab / Food Panda penghantaran makanan, ada yang melakukan penyewaan alatan gym sehingga tamat PKP, ada yang telah mengambil keputusan menutup bisnes bagi mengelakkan tunggakan hutang yang tinggi.

Jelas di sini amat penting peranan kepimpinan dan pengurusan sukan dalam meletakan orang yang betul di suatu tempat yang betul. Tidak bermakna Multi-Tasking itu salah, akan tetapi pemfokusan kepakaran kepada bidang masing-masing amat di tagih di kala fasa PKP.

Setiap orang pasti memainkan peranan penting mengikut objektif dan visi masing – masing. Oleh itu, adalah amat penting kita menghormati dan menjaga sensitiviti dalam setiap apa jua perkara. Jika kita tidak mampu membantu, jangan lah kita mencampak kan batu dan menganggu proses terhadap sesuatu yang bermanfaat. Seperti apa yang berlaku kepada pendakwah terkenal tanah air kita iaitu Ustaz Ebit Liew yang menerima laporan polis agar menghentikan usaha menderma dan turun padang yang di lakukan oleh pihak beliau sewaktu PKP.

Pilihlah jalan yang betul kerana ia benar. Pasti setiap jalan mempunyai risiko tersendiri, jika tersalah pilih jalan, perbaiki dan kembali semula menuju ke jalan yang lurus dan di redhai ALLAH swt.

GAMBARAJAH 1: POSTER BICARAWARA SIRI KHAS PKP 2020

Tuntasnya, program ini telah berjaya menghimpunkan pakar-pakar bidang dalam mengupas isu-isu sukan tahahair iaitu Prof Dr Mohad Anizu Mohd Noor (Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam), Prof Dr Abdul Hafidz Hj Omar (Pengasas Inovasi dan Teknologi Sukan), Dr Wirdati Bt Mohd Radzi (Pesuruhjaya Sukan Malaysia), Tn Ahmad Faedzal Md Ramli (Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara), Tn Gadaffie Aziz (Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor) dan Mohd Izwan Hafiz Nor (Pengulas Sukan RTM).

Kesemua pakar bidang ini mempunyai peranan masing masing di dalam agensi sukan sedia ada. Kejayaan mengumpulkan semua pakar bidang ini dalam satu platform sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban sedia ada dan membantu industri sukan tanahair di kala fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

GAMBARAJAH 2: PANEL JEMPUTAN PAKAR BIDANG SUKAN BICARAWARA SIRI BONUS

Penyelidik ingin memetik kata kata Prof Dr Abdul Hafidz Haji Omar selaku pengasas pusat inovasi dan teknologi sukan UTM yang memberikan amanat sangat jelas dan baik.

Beliau menjelaskan kepada golongan belia dan pemimpin muda jika ingin bersaing antara satu sama lain, bersaing dengan pakar – pakar sukan di luar negara dan tunjukkan Malaysia juga mempunyai pakar bidang yang baik dan berkebolehan dalam menangani masalah seperti ini.

Beliau juga menasihati setiap Universiti memainkan peranan penting dalam bidang sukan masing masing dengan memberi cadangan agar setiap universiti yang mempunyai program sukan, memberi fokus spesifik kepada bidang tertentu kerana sukan itu sendiri adalah suatu skop yang sangat besar.

Sebagai contoh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi tumpuan kepada pendidikan sains sukan, Universiti Sains Malaysia (USM) pengkhususan kepada sukan perubatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula ke arah sains, teknologi dan kejuruteraan sukan, Universiti Malaya pula lebih kepada perundangan sukan dan Universiti Teknologi Mara pula fokus kepada pengurusan dan rekreasi sukan.

Ia adalah cadangan dari orang lama yang berpengalaman dan melalui asam garam dalam bidang sukan berdekad lamanya. Pasti hikmah nasihat yang diberikan penuh kebijaksanaan yang terserlah. Pengkhususan ini bagi menjamin masa depan golongan belia pada masa akan datang dan juga mengelakan persaingan yang tidak sihat sekaligus meng akibat kan bidang sukan lesu dan tepu.

Seterusnya, penulis ingin memetik kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara iaitu Tuan Ahmad Faedzal Md Ramli yang amat mementingkan good governance dalam memacu kejayaan bidang sukan tanah air. Beliau percaya ada sinar di hujung terowong jika semua pihak bersatu dalam memastikan bidang ini terus berjaya. Pasti setiap organisasi mempunyai misi dan visi tersendiri, dan bagaimanakah ia diselaraskan antara satu sama lain adalah sangat penting dalam memastikan kejayaan bersama.

Tn Ahmad Faedzal juga mengharapkan bidang sukan suatu hari nanti akan menjadi punca sumber pendapatan utama golongan belia di Malaysia. Tn Ahmad Faedzal yang juga merupakan bekas alumni sekolah MCKK, sangat optimist terhadap masa depan sukan negara.

Ini juga disokong oleh Tn Gadaffie Aziz selaku Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor yang juga menyatakan adalah sangat penting untuk memastikan masa depan atlet terjamin dengan penyediaan pelbagai perancangan strategik sukan. Majlis Sukan Negeri Johor telah membuka jalan dengan penganjuran pelbagai kursus professional sukan dan menyediakan platform akademik kepada Atlet Negeri Johor agar seimbang dalam kejayaan akademik dan sukan. Tn Gadaffie Aziz juga menekankan kepentingan kepimpinan sukan yang perseverance dan mempunyai objektif yang boleh diukur. Beliau sangat berfikiran positif dan mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap anak buah dan pasukan beliau di Majlis Sukan Negeri Johor untuk bakal muncul Juara Sukma 2020.

Seterusnya Prof Dr Mohad Anizu Mohd Noor mengharapkan semua atlet sukan agar tidak melepaskan peluang untuk sambung belajar ke universiti. Pelbagai keistimewaan yang disediakan dan akan di berikan oleh pihak Universiti kepada atlet. Sekiranya atlet mempunyai komitmen kepada negara, mereka di benarkan untuk extend pengajian tanpa had. Atlet yang bertanding di luar negara juga boleh mengambil kelas, kuiz atau peperiksaan akhir secara online.

Prof Dr Mohad Anizu juga turut meyakinkan semua pihak iaitu golongan atlet yang menyambung pengajian tinggi akan di jaga dengan baik dan kebajikan mereka tidak akan di abaikan. Selain itu, Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Dr Wirdati juga amat gembira dengan simbiosis di kalangan pakar- pakar bidang sukan di Malaysia. Dr Wirdati percaya peranan akta pembangunan sukan adalah merupakan faktor penting pembangunan sukan negara dalam melahirkan atlet terbilang.

Pihak Pesuruhjaya Sukan Malaysia juga akan menyediakan platform dan menganjurkan kursus pengurusan sukan khas seperti kursus asas sains sukan tahap 1,2 dan 3 seperti anjuran Akademi Kejurulatihan Kebangsaan demi pemerkasaan persatuan sukan. Dr Wirdati juga mencadangkan agar semua persatuan sukan turut ke arah peringkat antarabangsa dan mengurangkan tahap kebergantungan kepada kerajaan. Semua persatuan sukan perlu kreatif dan inovatif dalam penjanaan dana kewangan persatuan sukan.

GAMBARAJAH 3: PANEL JEMPUTAN KHAS BICARAWARA SIRI 3- SUKAN MEMBENTUK MINDA KELAS PERTAMA

Sayugia juga penyelidik ingin berkongsi ulasan panel-panel sukan lain semasa program bicarawara siri 1,2 dan 3. Kesemua panel adalah merupakan atlet sukan yang berjaya dan juga merupakan pemain utama industri sukan seperti Bekas Kapten Bolasepak Malaysia saudara Ahmad Shahrul Azhar, Bekas Kapten Hoki Negara saudara Azlan Misron, Perenang Paralimpik negara iaitu Dr Sharizal Aziz, Bekas Pemain Rugbi Kebangsaan Prof Madya Dr Mazlan Ismail, Penolong Pengarah MSNJ iaitu saudara Jebat Amir.

Kesemua panel jemputan sukan ini telah bersepakat atas kepentingan bidang sukan dan percaya bidang sukan mampu menjamin masa depan.

Ini kerana latihan sukan itu sendiri membentuk atlet menjadi lebih berdisplin,berdaya saing dan komited dalam aktiviti yang dilakukan. Secara tidak langsung membentuk keperibadian cemerlang dan menjadikan atlet adalah seorang yang kompeten dalam dunia pekerjaan setelah bersara dari sukan suatu hari nanti. Malah hasil daripada program ini ia telah membuka minda ramai pihak untuk mula secara serius untuk mencari peluang menyambung pengajian sukan dan menuntut ilmu spesifik dalam bidang sukan.

Program bicarawara ini sangat penting dari sudut psikologi untuk menyakinkan kepentingan akademik dan sukan perlu seiring dalam memastikan kejayaan sukan negara. Selain itu, ia sebagai batu loncatan kepada semua bidang sukan di Malaysia untuk sama-sama bersatu hati bagi memastikan bidang sukan terus kekal relevan di masa akan datang.

 

GAMBARAJAH 4:  BEKAS KAPTEN BOLASEPAK NEGARA – AHMAD SHAHRUL AZHAR

Akhir kata, pengendalian bidang sukan di Malaysia ibarat mengendalikan sebuah operasi kapal terbang. Dalam satu – satu operasi kapal terbang kita memerlukan pramugari / pramugara, pilot, jurutera, juruteknik, penjual tiket, pembekal makanan dan lain lain.

Masing – masing mempunyai peranan penting dalam memastikan kejayaan operasi sebuah kapal terbang. Jika ada kelemahan yang kecil pasti ia boleh di hijack oleh pihak musuh malahan ia boleh di tembak jatuh. Justeru, bersamalah kita bersatu dalam memacu bidang sukan ke arah masa depan yang lebih cemerlang demi negara.

Bidang sukan sentiasa terbuka kepada semua pihak yang berminat untuk menceburi bidang ini. Pelbagai inisiatif dilakukan seperti penganjuran kursus sains sukan tahap 1, 2 dan 3 bagi memboleh kan orang awam layak menjadi jurulatih dan pengurus sukan. Kemudian persatuan sukan juga menganjurkan pelbagai kursus spesifik dan kursus kepengadilan bagi membantu masyarakat untuk menjadikan bidang sukan ini sebagai sumber rezeki dan tambahan pendapatan sedia ada.

Keterbukaan bidang sukan ini diharap membuka minda ramai pihak untuk sentiasa flexible dan tidak rigid dalam sesuatu perkara. Ilmu itu seluas lautan, yang kita mampu ada hanya setitik sahaja.

Pihak SITC UTM ingin mengucapkan terima kasih kepada smua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Akhir kata, Kerana Tuhan Untuk Manusia dan Majulah Sukan Untuk Negara.

GAMBARAJAH 5 : LOGO UTM DI KAPAL TERBANG AIR ASIA

 

Yang Ikhlas ,

Dr Hadafi Fitri Mohd Latip (012-5015090)

Timbalan Pengarah SITC,

Sports Innovation Technology Centre UTM

Institute Human Centred Engineering UTM

Sekolah Kej. Bioperubatan dan Sains Kesihatan UTM

Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia.

 

LAMPIRAN

GAMBARAJAH 6: LOGO ASAL SITC

 

GAMBARAJAH 7: JANGAN MUDAH PUTUS ASA

 

 

Explore More