April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 5 Apr. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil inisiatif mencipta UTMShield Automated Disinfection Chamber atau Pondok Nyah Cemar Automatik dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19 di sini, hari ini.

Pondok Nyah Cemar tersebut dicipta menggunakan teknologi sensor pergerakan dan mekanik bendalir yang terdiri daripada pam dan sistem semburan dan dihasilkan di Makmal Pengeluaran, Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, UTM.

Ringan dan mudah alih serta mudah digunakan, UTMShield Automated Disinfection Chamber (Pondok Nyah Cemar Automatik) berfungsi secara automatik yang mampu mengenyah cemar keseluruhan badan semua individu terutamanya petugas barisan hadapan (frontliners) semasa wabak Covid-19.

Timban Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail berkata, pondok ini mengunakan kaedah sensor untuk mengaktifkan penyembur nyah cemar secara automatik terhadap individu yang melalui pondok tersebut.

“UTMShield Automated Disinfection Chamber ini boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pihak seperti petugas barisan hadapan Hospital dan Pusat Kesihata serta kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang usai melakukan operasi nyah cemar di kawasan tertentu seperti di pasar raya, pejabat, masjid dan surau dan lain-lain.

Projek tersebut merupakan hasil usahasama penyelidik dan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan, yang terdiri dari Sekolah Kejuruteraan Mekanikal dan Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan & Sains Kesihatan, diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Safian Sharif, Pengerusi Frontier Materials Research Alliance UTM, “kata beliau semasa Majlis Penyerahan produk tersebut kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru yang turut dihadiri oleh Datuk Bandar Johor Bahru, YB Dato’ Haji Adib Azhari bin Daud. 

Datuk Bandar Johor Bahru, YB Dato’ Haji Adib Azhari bin Daud (berbaju putih) diterangkan tentang proses pembuatan UTM Face SHIELD di Makmal Pengeluaran Sekolah Kejuruteraan Mekanikal UTM.
Gambar oleh Bernama.

Projek UTMSheild Automated Disinfection Chamber adalah salah satu daripada beberapa Projek Covid19 UTM di bawah pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTM, selaras dengan misi UTM Prospering Lives.

Menurut beliau, UTM turut menyediakan peruntukan dalam bentuk geran penyelidikan kepada beberapa projek Covid19 UTM bagi memenuhi keperluan pihak tertentu dalam melawani wabak Covid19.

Prof Datuk Fauzi melakukan demonstrasi penggunaan UTMShield Automated Disinfection Chamber

“Dengan penghasilan produk ini, UTM berharap agar produk yang dibangunkan dapat membantu masyarakat mengatasi penularan dan memutuskan rantaian wabak Covid19 dengan mengamalkan kebersihan diri melalui penggunaan teknologi tempatan,” kata beliau. 

Dalam pada itu UTM juga turut mengalu-alukan sumbangan daripada industri dan individu untuk turut sama dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19 ini memandangkan bekalan bahan mentah agak sukar diperolehi dan kos yang meningkat.

Terdahulu UTM telah menyalurkan bantuan seperti menghasilkan kotak aerosol, topeng pelindung muka serta pencuci tangan ‘hand sanitizer’ ciptaan universiti ini sendiri  kepada petugas barisan hadapan seperti Hospital Permai, Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Kluang.

Tahniah UTM!

Explore More