April 27, 2024

Search
Close this search box.

Semenjak awal krisis COVID-19, WHO telah mengutarakan kebimbangan mereka bukan sahaja terhadap pandemik virus tersebut, tetapi juga tentang masalah kecelaruan maklumat atau ‘infodemik’ dan penularan khabar angin yang sukar untuk diatasi. Infodemik boleh merencatkan maklum balas pihak bertanggungjawab, mengganggu masyarakat dari mendapatkan maklumat yang tepat, serta melambatkan pelaksanaan mengatasi wabak berkenaan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di negara kita sejak pertengahan Mac yang lalu bagi mengekang penularan COVID-19 turut meningkatkan penggunaan internet dan komunikasi di media sosial. Pelbagai kempen dan peringatan diberikan oleh agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tentang etika penggunaan media sosial, namun kempen sebegitu dianggap tidak penting dan tidak diendahkan oleh sesetengah netizen. Masing-masing berlumba-lumba untuk berkongsi maklumat dan memberikan pendapat tanpa mengambilkira kesahihan maklumat tersebut.

Dalam keadaan sekarang, sikap sebegini boleh memburukkan keadaan infodemik sedia ada. Apa yang lebih menyedihkan, pandangan serta komen yang dilontarkan oleh netizen adakalanya disulami dengan perkataan berunsur negatif yang boleh mengguris hati dan perasaan orang lain.

Sebahagian netizen mungkin tidak menyedari bahawa komunikasi negatif sebegini boleh menjurus kepada pembulian siber. Paparan dan komen-komen di media sosial yang bersifat negatif itu juga boleh diibaratkan seperti virus yang boleh menjangkiti emosi orang lain. Ianya akan memberi kesan yang tidak sihat bukan sahaja kepada masyarakat secara amnya, tetapi juga kepada diri sendiri.

Terdapat kajian yang menyatakan bahawa individu yang sering membaca paparan atau komen-komen negatif di media sosial sebenarnya boleh mewujudkan persepsi negatif di dalam fikirannya tanpa disedari dan akhirnya cenderung untuk memuatnaik status atau komen yang juga berbaur negatif. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19 di mana masyarakat lebih berisiko menghadapi tekanan perasaan.

Seorang ahli psikologi Sherry Turkle menyatakan bahawa komunikasi yang tidak beretika dan komen-komen tidak sihat di media sosial terjadi kerana kita tidak melihat kesan langsung komen dan paparan tersebut kepada orang lain. Kumpulan individu yang gemar melakukan perkara sedemikian seolah-olah terlupa bahawa mereka sebenarnya sedang berdiri di hadapan ribuan manusia dan melontarkan komen negatif secara terbuka terhadap orang lain di khalayak tanpa rasa malu dan segan.

Dalam pada kita cuba untuk meratakan lengkung pandemik COVID-19 dengan menurut perintah pejarakan sosial sewaktu PKP, kita terus membiarkan infodemik dan virus pembulian siber meningkat dan tersebar. Dikhuatiri, ia akan terus menjangkiti dan menjadi barah dalam masyarakat kita. Ia akan membentuk suatu budaya yang tidak sihat dan akhirmya akan diterima sebagai sesuatu norma dalam masyarakat. Sudah tentu kita tidak mahu perkara ini terjadi dalam budaya masyarakat Malaysia yang bijak serta terkenal dengan sikap lemah lembut dan bersopan santun.

Kita seharusnya turut berusaha meratakan lengkung infodemik dan salah satu caranya adalah dengan mengamalkan pejarakan media sosial. Ianya boleh dilakukan dengan menjadi lebih selektif dan peka dalam berkomunikasi di media sosial. Kita boleh memilih untuk berhenti mengikuti individu atau kumpulan-kumpulan yang gemar berkongsi maklumat yang tidak sahih atau sering memuatnaik paparan dan komen yang berbaur negatif yang mungkin menyebabkan kita berasa terganggu.

WHO juga telah mengeluarkan panduan penjaga kesihatan mental sewaktu COVID-19 yang menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan menonton, membaca atau mendengar berita yang menyebabkan perasaan cemas atau tertekan serta mendapatkan maklumat hanya dari sumber yang dipercayai.

Penjarakan media sosial merupakan langkah berjaga-jaga dalam berkomunikasi di media sosial yang boleh membantu membendung infodemik serta menjaga kesihatan mental diri kita dan orang lain. Ianya juga boleh melatih kita menjadi netizen yang lebih bertanggungjawab. Maka, klik berkongsi dan berkomunikasilah dengan bijak. #kitajagakita #kitacarakita

Disediakan oleh :

Professor Madya Ts. Dr. Nor Zairah Ab Rahim

Penyelidik Informatik Sosial
Jabatan Informatik Termaju
Fakulti Teknologi dan Informatik Razak
Universiti Teknologi Malaysia

Explore More