November 22, 2024

Search
Close this search box.

Normal Baharu untuk Periodisasi Latihan dan Peaking Sukan semasa Fasa PKP: VOLUME 1 – Sistem Latihan

Fasa PKP adalah satu normal baharu yang perlu diadaptasi oleh semua pihak.

Seperti Periodisasi Latihan yang terdiri daripada pelbagai fasa iaitu fasa persediaan, fasa pertandingan dan fasa transisi, ia akan teruji dengan fasa baru iaitu Fasa PKP. Artikel kali ini, penyelidik ingin membincangkan secara saintifik tentang kaedah latihan sukan.

Umum mengetahui dalam bidang sains sukan sebelum seseorang itu layak menjadi jurulatih atau pengurus pasukan, mereka perlu mengikuti kursus asas sains sukan tahap 1, sains sukan tahap 2 dan sains sukan tahap 3.

Ketiga – tiga kursus ini perlu diambil selama seminggu tempoh pengajian kelas dan pada hari terakhir kursus, peserta akan mengambil ujian bertulis dan menghantar laporan untuk menentukan layak atau tidak memperolehi sijil kursus tersebut. Setelah berjaya mengikuti kesemua kursus asas sains sukan ini, barulah peserta boleh mengikuti kursus spesifik sukan masing – masing dan melayakkan mereka menjadi jurulatih peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Tujuan kursus ini diberikan adalah sebagai lesen kepada penggiat sukan untuk menceburi diri dalam bidang sukan.

Tidak semua jurulatih dan pengurus pasukan adalah di dalam bidang ijazah sarjana muda pengajian sukan atau sains sukan. Pada era 70an dan 80an peluang masih belum tersebar luas seperti laluan hijau kemasukan ke universiti awam untuk atlet negeri dan kebangsaan.

Pada waktu itu, kebanyakan atlet negeri dan kebangsaan adalah merupakan atlet sepenuh masa. Justeru k,ursus anjuran Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) di bawah payung Institut Sukan Negara (ISN) adalah merupakan satu peluang yang baik kepada semua pihak untuk sama – sama berkhidmat dan berbakti di dalam bidang ini dan bidang ini sentiasa terbuka kepada semua pihak.

Rentetan dari usaha AKK ini hampir keseluruhan jurulatih yang ada di Malaysia memahami tuntutan periodisasi sukan dan peaking dalam sukan.

Pendidikan secara berterusan tentang periodisasi latihan dan peaking dalam sukan yang diterapkan selama ini belum pernah teruji pada waktu PKP. Dalam jadual perancangan tahunan sukan (Periodisasi) memang mempunyai fasa TRANSISI iaitu tempoh pemulihan selepas pertandingan kejohanan utama.

Fasa TRANSISI yang diaplikasikan melibatkan 2 kaedah iaitu active rest atau passive rest dan kebiasaan nya mengambil tempoh selama 1 hingga 3 bulan. Walaubagaimanapun fasa pemulihan adalah selepas kejohanan dan pertandingan utama sukan.

Keadaan prestasi fizikal perlu dikekalkan dalam 40% hingga 60% daripada kemampuan sebenar dan active rest digalakkan pada waktu fasa transisi. Bagaimana pula pada waktu PKP ini yang telah pun masuk hari ke-40 dan hampir kepada tempoh 2 bulan?

Ada atlet yang sedang dalam fasa PRA-PERTANDINGAN iaitu menjalani kejohanan-kejohanan kecil dan perlawanan persahabatan, ada yang sedang dalam fasa UMUM iaitu persediaan untuk kejohanan yang akan tiba seperti SUKMA 2020 dan SUKAN OLIMPIK 2020 dan malahan ada yang telah pun berada dalam keadaan peaking dan sedang bertarung di fasa PERTANDINGAN.

Tsunami dan badai melanda secara mengejut menyebabkan semua aktiviti kejohanan sukan perlu dihentikan segera dan ada yang dipertimbangkan untuk dibatalkan terus pertandingan tersebut seperti Liga EPL dan Liga Malaysia.

Ia pasti menjejaskan persiapan pasukan malahan pasti merupakan suatu kekecewaan kepada pasukan yang berada di kemuncak prestasi dan berada di atas takhta liga.

Pada hari ini, penyelidik ingin menghuraikan secara ringkas bagaimana fungsi periodisasi dan peaking sukan penting semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sudah pasti ia adalah suatu yang menggusarkan semua pihak terutama yang terlibat dalam bidang sukan. Tambahan apabila ia melibatkan pengurusan strategik sukan terutama faktor kewangan pasukan sehingga ada di kalangan penaja pasukan yang telah menarik diri, malahan gaji dan elaun atlet juga terjejas.

Selain itu, ada pasukan yang terpaksa bungkus tikar dan menjual aset yang ada atas faktor PKP kerana wabak covid-19 yang menular di seluruh dunia. Wabak covid-19 adalah normal baharu yang perlu di adaptasi oleh semua pihak.

Seperti mana prinsip latihan sukan iaitu law of adaptation, atlet perlu adaptasi keadaan normal baharu ini dalam mengekalkan prestasi mereka di rumah.

Tuntasnya kaedah latihan sukan melibatkan pelbagai perkara seperti anatomi, fisiologi, biomekanik, statistik, pengukuran dan penilaian sukan, perubatan sukan, psikologi sukan, motor learning, pedagogi, nutrisi, sejarah dan sosiologi sukan. Ia boleh di lihat seperti di gambarajah 1.

Kesemua faktor ini diambil kira dalam sebuah perancangan latihan sukan.

Gambarajah 2 pula menunjukan sistem latihan terbahagi kepada dua iaitu faktor secara langsung dan faktor sokongan.

Faktor secara langsung juga terbahagi kepada dua iaitu faktor latihan dan faktor penilaian. Penyelidik hari ini ingin mengajak semua pembaca untuk melihat kepada faktor latihan antaranya ialah pendidikan sukan, fizikal sukan, teknik sukan, taktik sukan, peningkatan potensi kefungsian, pembangunan kebolehan biomotor dan jadual rancangan latihan.

Manakala bagi faktor sokongan pula adalah lebih menarik untuk kita fahami dan selusuri iaitu faktor ekonomi semasa dan pengurusan sukan. Antara perkara yang perlu dititikberatkan ialah pengurusan sukan, organisasi sukan, bajet sukan, pengurusan pertandingan sukan, kemudahan sukan, peralatan, pakaian sukan dan kemudahan tambahan yang lain.

Dari sudut kualiti latihan sukan pula dalam gambarajah 3 terdapat 4 faktor utama iaitu pengetahuan jurulatih sukan, kemudahan dan kelengkapan peralatan sukan, auxilliary (Sejarah) science dan pertandingan sukan.

GAMBARAJAH 1 : TEORI DAN KAEDAH LATIHAN
GAMBARAJAH 2 : KOMPONEN SISTEM LATIHAN
GAMBARAJAH 3 : KUALITI LATIHAN

Selain itu, sebelum kita masuk ke dalam jadual periodisasi latihan dan peaking dalam sukan, perkara yang perlu kita faham adalah tentang peringkat pembangunan dalam sukan dari sudut jangka masa panjang seperti gambarajah 4.

Gambarajah 4 menerangkan secara terperinci setiap peringkat iaitu pada peringkat awalan kanak kanak, atlet perlu didedahkan dengan aktiviti multilateral development, kemudian pada peringkat remaja mereka perlu diterapkan specialized training di mana spesifik kepada sukan yang mereka ceburi dan apabila pada peringkat dewasa adalah latihan prestasi tinggi di mana di sini lah peranan faktor utama atlet mencapai kemuncak prestasi (peaking) dalam sukan.

Walaubagaimanapun ada sukan-sukan tertentu bermula awal dalam specialized training seperti gimnastik dan renang. Proses untuk melahirkan atlet bertaraf dunia bukan hanya sehari dua tetapi dimulakan sejak dari bangku sekolah lagi.

Penyelidik mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pendidik di sekolah yang telah berjaya melahirkan bakat bakat atlet negara.

Dalam gambarajah 5 pula menerangkan tentang piramid latihan sukan di mana ia merupakan faktor utama kejayaan dalam sukan iaitu kepentingan peranan latihan fizikal, latihan teknikal, latihan taktikal dan latihan psikologi sukan. Sudah pasti Latihan Psikologi Sukan adalah penting di saat PKP ini, bagaimana seseorang jurulatih atau pengurus pasukan untuk mencampakan minyak (membakar semangat) kepada atlet semasa PKP.

Sudah pasti pada masa ini, semua atlet mengalami proses reversibility dan tiada proses law of overload dalam prinsip FITT semasa latihan di rumah seperti latihan harian mereka di padang / gelanggang / dewan sebelum PKP.

Psikologi sukan perlu diterapkan sebaik mungkin di waktu PKP ini agar atlet perlu faham atas tanggungjawab dan peranan mereka sebagai seorang atlet sukan. Malahan ada dalam kalangan atlet yang telah pun dipotong elaun dan gaji semasa PKP. Ini akan menjejaskan lagi mental atlet untuk terus berlatih di rumah dan akan menyebabkan proses BURN OUT berlaku.

Seterusnya sebelum kita membina jadual periodisasi sukan, eleman jadual latihan tahunan perlu difahami secara jelas seperti gambarajah 6 antaranya retrospective analisis, performance prediction, periodization model dan lain  lain lagi. Retrospective analisis adalah analisis hipotesis perkara yang dirancang dan yang telah berjaya dicapai oleh atlet.

Pada kala ini, jadual latihan tahunan terancang pasti di uji dalam situasi PKP iaitu normal baharu. Hikmah kebijaksanaan dan pengalaman pengurusan sukan sangat penting dalam merombak semula performance prediction dan model periodisasi.

Bagaimana volume dan intensiti latihan dapat diaplikasi dalam latihan di rumah? Apa yang pasti dan telah dibuktikan melalui kajian saintifik oleh BOMPA (2009) semasa FASA PERTANDINGAN volume latihan perlu diturunkan dan intensiti latihan akan dinaikkan.

Apabila proses itu dilakukan, Tapering akan berlaku di mana latihan teknikal terus diperkukuhkan untuk memastikan atlet berjaya mencapai kemuncak prestasi sukan seperti gambarajah 7. Walaubagaimanapun ia tidak semudah yang dicoretkan kerana terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi peaking apatah lagi di waktu PKP ini.

Tidak semua atlet mempunyai ruang halaman yang besar untuk terus berlatih teknik latihan di rumah seperti sukan bolasepak, hoki, rugbi dan seangkatannya. Kebanyakan ruang yang ada adalah sesuai kepada latihan fizikal dan mental imagery teknik (Psikologi Sukan). Justeru adalah penting atlet mengekalkan prestasi tahap fizikal dan tahap psikologi sukan pada waktu PKP.

GAMBARAJAH 4 : PERINGKAT PEMBANGUNAN SUKAN

 

GAMBARAJAH 5 : PIRAMID LATIHAN SUKAN

 

GAMBARAJAH 6 : ELEMAN RANCANGAN JADUAL TAHUNAN SUKAN

Sayugia, jadual perancangan latihan tahunan ini adalah merupakan sumber rujukan utama pihak pengurusan sukan. Sering kali sebagai penjawat awam kita diperkenalkan key performance indicator (KPI) untuk mengetahui tahap prestasi staf pada setiap hujung tahun.

Begitu juga Periodisasi Sukan, ia merupakan satu jadual latihan terancang dan indikator pencapaian prestasi sukan. Sekiranya atlet atau pasukan gagal mendapat Emas atau No 1 dalam sesebuah kejohanan, periodisasi latihan boleh dijadikan asas sumber rujukan utama untuk mengenalpasti faktor kekalahan dan kelemahan yang ada.

Proses untuk mencari sesuatu pelan yang terbaik bukan datang secara magik ia adalah proses cuba jaya berulang kali dan malahan ambil masa bertahun dan  ia melibatkan sokongan dari pelbagai pihak. Kadangkala tidak semestinya periodisasi yang dirancang itu tidak bagus, akan tetapi periodisasi pihak lawan lebih mantap dan berjaya.

Jika kita lihat di gambarajah 8, ia menunjukan jenis sesi latihan yang boleh dilakukan sama ada di waktu PKP atau bukan PKP. Selain latihan mengekalkan tahap prestasi fizikal dan psikologi sukan seperti dalam piramid latihan sukan, atlet boleh memfokuskan sesi SKILL PERFECTION SESSION mereka di rumah.

Normal baharu adalah satu adaptasi baharu yang perlu dilakukan.

Seterusnya penyelidik akan menerangkan dengan lebih terperinci lagi tentang setiap fasa dalam periodisasi sukan di artikel volume 2 pada masa akan datang.

Akhir kata, Kerana Tuhan untuk Manusia dan Majulah Sukan Untuk Negara.

 

GAMBARAJAH 7 : MODEL PERIODISASI

 

GAMBARAJAH 8 : JENIS JENIS SESI LATIHAN

Dr Hadafi Fitri Mohd Latip (0125015090)

Timbalan Pengarah SITC,

Sports Innovation Technology Centre (SITC)

Institute Human Centred Engineering (IHUMEN)

Sekolah Kej. Bioperubatan dan Sains Kesihatan UTM

Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia.

 

Explore More