Disember 19, 2024

Mokhtar Dahari merupakan figura bola sepak negara yang paling terkenal. Beliau adalah ikon dan lagenda yang di segani kawan mahupun lawan. Beliau adalah seorang yang kuat, pantas, handal di udara serta mampu menggunakan kedua-dua kaki menjadikan beliau seorang penyerang yang di geruni pertahanan. Sehinggakan ada pasukan lawan meletakkan dua pemain untuk mengawalnya.

Namun begitu, Allahyarham Mokhtar Dahari menghembuskan nafas terakhir pada usia 37 tahun akibat penyakit Motor Neuron Disease. Satu kajian mendapati pemain professional bolasepak berisiko 6 kali ganda untuk menghidap penyakit ini. Antara sebabnya adalah aktiviti fizikal yang ekstrim, kecederaan-kecederaan bolasepak dan bahan kimia bertoksin yang di gunakan ke atas padang.

GAMBARAJAH 1 : Keratan Akhbar Allahyarham Mokhtar Dahari

Penulisan artikel kali ini ingin mengupaskan tentang bahaya senaman dan bersukan. Ramai pihak terlepas pandang tentang bahaya senaman kerana beranggapan ia tidak akan memberi kesan yang buruk kepada mereka. Umum mengetahui senaman merupakan cara yang terbaik untuk melangkah ke arah gaya hidup sihat. Menurut kajian, senaman boleh membantu memperbaiki kualiti hidup, kesihatan kardiovaskular dan memanjangkan jangka hayat umur manusia. Walaubagaimanapun senaman yang di lakukan secara berlebihan tanpa pengawasan juga boleh mendatangkan mudarat kepada seseorang.

Risiko senaman berlebihan yang lain juga adalah termasuk cardiac arrhythmias (degupan jantung yang tidak teratur), penuaan jantung, pembentukan plak koronari, myocardial fibrosis (penebalan injap jantung secara tidak normal) yang boleh menyebabkan sudden death, dan sakit jantung. Otot dan tendon kita juga mengambil masa untuk menyesuaikan diri kepada rutin senaman kita, terutamanya semasa badan kita adaptasi kepada sesuatu yang baru. Tempoh adaptasi ini berlainan bagi setiap individu. Oleh sebab itu, kita haruslah sentiasa melaraskan senaman berdasarkan kemampuan dan keupayaan kita.

 

GAMBARAJAH 2 : Myocardial Fibrosis 

 

AKIBAT BERLEBIHAN BERSENAM DAN BERSUKAN

Bersenam atau bersukan secara berlebihan boleh memberi kesan negatif pada jantung, arteri, otot dan sebagainya. Bersenam setiap hari atau jumlah frekuensi yang banyak dalam tempoh sehari tidak semestinya memberi kesan yang baik. Ini kerana perbuatan yang di lakukan secara berlebihan dan mendadak boleh menyebabkan mudarat. Oleh itu, pengetahuan terhadap teknik senaman yang betul adalah sangat penting. Jika ia tidak dilakukan secara ansur maju atau dengan betul ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu tersebut.

Masyarakat amat mengetahui senaman dapat mengurangkan risiko penyakit seperti diabetis, hipertensi, sakit jantung dan lain – lain. Tahukah kita, mereka yang melakukan latihan kardio secara berpanjangan seperti acara dan latihan ultra – marathon juga boleh menyebabkan risiko pembesaran arteri, rentak jantung yang tidak teratur atau dengan kata lain heart rhythm disorder. Amat penting masyarakat umum untuk mengetahui kepentingan HRmax (Heart rate maksima) dan 1 RM (repetition maksima), melalui pengetahuan ini masyarakat dapat mengetahui senaman yang di lakukan adalah secara sederhana atau berlebihan dari keupayaan sebenar.

GAMBARAJAH 2: Heart Rhythm Disorder

Selain itu, kes rhabdomyolysis juga sering berlaku di kalangan atlet, Kes ini akan berlaku apabila seseorang itu secara tiba tiba melakukan senaman atau sukan yang belum pernah di lakukan lagi. Sebaik nya latihan senaman atau sukan di buat secara ansur maju dan ujian fizikal di lakukan secara berkala dalam tempoh 3 hingga 6 bulan. Kemudian apabila telah bersedia dan di uji tahap kemampuan, baru di nasihatkan untuk menyertai pertandingan. Kes rhabdomyolysis biasa terjadi apabila seseorang itu cuba melakukan sesuatu di luar kelaziman. Kes rhabdomyolysis yang teruk mungkin berkaitan dengan kerosakan buah pinggang dan ketidakseimbangan elektrolit dan di masukan ke hospital dan bahkan dialisis mungkin di perlukan.

 

GAMBARAJAH 3: Rhabdomyolysis

Berat beban yang di angkat secara berlebihan juga boleh menyebabkan angin pasang atau hernia kepada seseorang. Hernia ialah benjolan yang berlaku pada bahagian bawah abdomen. Ia berpunca daripada dinding otot yang lemah sehingga menyebabkan isi di dalam abdomen seperti usus boleh terkeluar daripada kawasan tersebut membentuk benjolan pada kulit. Angin pasang selalunya berlaku di sebabkan otot pada bahagian ari-ari menjadi lemah. Apa-apa keadaan yang menyebabkan tekanan di dalam abdomen semakin meningkat boleh menyebabkan otot di bahagian tersebut menjadi lemah dan menyumbang kepada masalah hernia. Angkatan bebanan yang berlebihan dari kemampuan sebenar boleh menyebabkan Hernia. Justeru itu, jangan kerana ego ingin menunjukan kekuatan sedangkan latihan yang dilakukan belum cukup menyebabkan seseorang itu menderita Hernia.

 

GAMBARAJAH 4: Hernia 

TANDA TANDA SENAMAN BERLEBIHAN 

Berikut adalah merupakan tanda-tanda anda telah bersenam secara berlebihan (Schilnger, 2016):-

Kadar degupan jantung yang tinggi walaupun anda tidak bersenam adalah merupakan salah satu tanda kerana kebiasaannya kadar degupan jantung akan tinggi semasa bersenam terutama melibatkan latihan senaman yang berintensiti tinggi. Jika kadar nadi anda menunjukan denyutan nadi seminit yang tinggi pada waktu rehat, anda mungkin telah bersenam secara berlebihan dan menyebabkan masalah kepada penyesuaian diri badan anda.

Selain itu, sesetengah orang yang bersenam sering menganggap bahawa kesakitan dan ketegangan otot merupakan adalah kejadian yang biasa. Akan tetapi kekerapan berasa kesakitan dan ketegangan otot adalah bukan suatu yang normal. Walaupun kesakitan itu ringan selepas senaman adalah suatu perkara biasa, namun kejadian yang sama pada tiap-tiap hari menunjukan tanda badan anda sudah letih dan latihan di lakukan secara berlebihan.

Aktiviti bangun pagi juga boleh menunjukan seseorang itu bersenam dengan terlalu berat dan berlebihan. Aktiviti senaman sepatutnya membantu pembinaan diri dalam kecergasan dan kesihatan diri, ia bukan menyebabkan keletihan yang berpanjangan. Jika anda menunjukan tanda keletihan yang berpanjangan, ini bermakna anda mungkin bersenam dengan berlebihan. Malahan, anda mungkin mula membenci senaman kerana kesan sampingan senaman menyebabkan ketidakselesaan pada tubuh fizikal dan mental anda. Sepatutnya senaman adalah suatu aktiviti yang mengembirakan dan menyeronokan.

KESELAMATAN SEMASA LAKUKAN SENAMAN DAN BERSUKAN

Aktiviti Warm Up dan Cooling Down

Setiap kali bersenam kita perlu lakukan aktiviti streching regangan kerana ia boleh membantu kita meningkatkan peredaran darah, meningkatkan degupan jantung, membantu otot dan sendi untuk lebih bersedia, dan ia juga mengelak kita daripada mudah menghadapi kecederaan. Sebaiknya kiraan bilangan regangan yang kita lakukan tidak kurang dari kiraan 8, kerana pada waktu tempoh itu oksigen sampai ke bahagian otot regangan yang di lakukan. Selepas senaman, wajib kita lakukan Cooling Down sebagai penutup aktiviti untuk mengurangkan kadar asid laktik di dalam badan, dan rasa keletihan selepas bersenam.

Senaman dengan perut kosong dan dehydrated

Setiap kali kita ingin bersenam pastikan kita sudah mengambil makanan ringan atau hidrasi sebelum bersenam, ini kerana sekiranya kita bersenam dalam keadaan perut yang kosong, kita akan mengalami kekurangan tenaga dan juga boleh merbahaya kepada kesihatan kita seperti masalah gastrik dan  masalah penghadaman. Sebaiknya 2-3 jam sebelum bersenam atau bersukan kita perlu mengambil makanan. Perlu di ingatkan juga mengambil makanan full meal sebelum kita bersenam dan bersukan adalah tidak baik, paling sesuai alas perut 30 minit sebelum bersenam. Selain itu, badan kita juga memerlukan air putih. Setiap 25 kg mewakili 1 litre air putih, sekiranya kita bersenam kita memerlukan lebih air kerana proses kehilangan air melalui sistem perkumuhan seperti berpeluh dan membuang air kecil.

 

GAMBARAJAH 5 : Urine Colour Chart

 

Peralatan sukan dan pilihan jenis senaman

Pastikan setiap kali bersenam kita juga memakai pakaian sukan yang betul, kasut yang sesuai dan peralatan sukan yang selamat seperti gym floor mat untuk menjaga struktur postur badan kita. Sekiranya kita ada masalah sakit lutut, berat badan berlebihan, atau kita ada masalah postur badan, kita perlu memilih senaman yang sesuai, jangan lakukan aktiviti senaman high impact seperti berlari setempat, melompat setempat atau latihan pliometrik. Kita boleh memilih senaman jenis low impact seperti yoga, low impact tabat dan aerobik. Pastikan juga tempat kita berlatih mempunyai suhu yang sesuai ( Tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk ). Seandainya tempat kita berlatih terlalu sejuk, kita boleh memilih untuk memakai jaket semasa melakukan senaman.

GAMBARAJAH 6 : Plyometric Drills

Akhir kata, mencegah itu lebih baik dari merawat. Tujuan penerbitan artikel keselamatan sukan ini ingin membantu dan berkongsi ilmu dengan masyarakat di luar sana. Tahun 2020 adalah merupakan satu paradigma baru dan normal baharu untuk kita semua. Universiti adalah untuk masyarakat. Universiti disarankan untuk sentiasa sinergi dengan pihak industri dan tidak terasing dengan masyarakat. Kerjasama erat perlu di lakukan secara bersama demi kemajuan nusa dan bangsa. Jangan lakukan sesuatu perkara itu kerana menjadi ikutan ramai, buat dan pilih lah sesuatu perkara itu kerana betul dan benar. Sekian kerana Tuhan untuk Manusia dan Majulah sukan untuk Negara.

GAMBARAJAH 7: Latihan keselamatan kebakaran SKBSK

 

GAMBARAJAH 8: Emergency Response Team VO1

 

Penulis Artikel :-

Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip,

Health and Safety Executive SKBSK,

Pensyarah Kanan,

Jabatan Klinikal Sains dan Teknologi Sukan,

Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan,

UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA.

(012-5015090)

Explore More