April 26, 2024

Search
Close this search box.

Inovasi Sukan dan Perintah Kawalan Pergerakan 2020

 

Suatu ketika dulu, ketika 10 tahun yang lalu kita semua telah di war-warkan tentang wawasan 2020. Pada waktu itu, tidak dapat di bayangkan lagi apa yang akan berlaku pada tahun 2020 kerana melihat arus kemodenan yang amat tinggi dan kepesatan pembangunan yang berlaku di Malaysia. Pembinaan KLCC sebagai mercu tanda Malaysia dan pembangunan Putrajaya telah mengubah landskap negara bahawasanya Malaysia mampu untuk menjadi sebuah negara maju. Sebagai anak Malaysia pada tahun 90an mengingatkan saya betapa bijaksana orang zaman dahulu yang telah mencipta pelbagai inovasi sukan yang boleh di mainkan di dalam kawasan rumah. Tidak pernah terfikir dek akal fikiran bahawa permainan sukan rakyat ini akan relevan pada tahun 2020.

 

Kita tinggalkan seketika isu COVID -19 yang melanda di Malaysia, saya pasti ramai telah pun membaca dan melihat pelbagai info di Media Massa. Jadi tidak perlu lah saya menambahkan lagi kegusaran semua dan merungkaikan lagi secara terperinci tentang wabak ini. Tetapi apa yang pasti wabak ini telah menyebabkan ramai orang perlu stay at home and stay safe. Sebelum berlaku wabak COVID-19, kita juga telah di dendangkan tentang pelbagai isu dan masalah yang berlaku di negara kita antaranya kanak kanak di culik ketika sedang bermain di taman permainan, org dewasa di gigit anjing ketika sedang berjogging di kawasan perumahan, remaja yang berbasikal di langgar kereta ketika sedang beriadah ataupun berlatih dan pelbagai isu lagi yang menyebabkan isu safety & security tidak lagi boleh di pandang enteng kerana ia boleh menimbulkan bencana kepada diri kita dan masyarakat sekiranya kita tidak ambil langkah berjaga jaga.

 

Maka pada tahun 2019, wujudnya permainan E-Games yang meningkat secara mendadak dan menjadi hobi kepada Gen-Z. Walaupun pada ketika tahun era 90an lagi kita telah di perkenalkan permainan video games seperti Super Mario Bros, Street Fighter, FIFA dan lain lain. Kini ia telah menjadi permainan utama kepada generasi Z sekarang malahan boleh di mainkan di telefon bimbit. Adakah kewujudan permainan E- Games ini bagi menangani isu safety & security yang berleluasa ataupun bagi sesetengah pihak E-Games tidak membawa sebarang manfaat kerana ia tidak melibatkan sebarang pergerakan fizikal dan hanya melibatkan pergerakan jari jemari sahaja malahan ia boleh memberi kesan buruk kepada psikologi kaki gamer. Oleh itu, saya tinggalkan isu ini untuk di fikirkan baik – buruknya oleh pembaca yang bijaksana secara bersama semasa MCO di rumah.

 

Penulisan saya pada hari ini adalah lebih untuk menekankan kebijaksanaan orang dulu dalam membina inovasi sukan. Inovasi Sukan sering dikatakan oleh pakar sukan ia perlu melibatkan pergerakan fizikal badan semasa bermain, walaupun dalam kategori permainan sukan rakyat, akan tetapi ia masih perlu menggerakan fizikal dari mula sehingga tamat perlawanan. Pelbagai jenis permainan tradisi sukan rakyat yang ada di Malaysia. Walaubagaimanapun untuk artikel kali ini saya akan memilih beberapa aktiviti permainan tradisi sukan yang memerlukan pergerakan fizikal badan dari mula sehingga tamat perlawanan. Sukan tradisi tersebut adalah 2 jenis sukan tradisi (Permainan Bola Tepuk dan Penutup Botol / Ceper) yang boleh di mainkan di dalam rumah dan 2 lagi jenis sukan tradisi ( Permainan Lompat Teng teng dan Permainan Baling selipar / Guli ) yang boleh di mainkan di halaman rumah.

 

Menyelusuri permainan bola tepuk ia sangat menarik kerana ia memerlukan kertas tebal untuk di jadikan bahan permainan. Pada waktu ketika itu, untuk mencari kertas tebal tanpa perlu membeli hanya menggunakan bekas kotak kasut yang tidak dipakai lagi. Ia dipotong di jadikan sejumlah pemain dan tiang gol di bina menggunakan analogi pembinaan sampan menggunakan kertas. Ruang yang bersimen dan kosong di rumah di jadikan padang perlawanan. Bola sepak digunakan menggunakan kertas yang telah digumpalkan berbentuk bulat dan di gam kan sedikit untuk menjadi lebih padu apabila di tepuk. Permainan seperti ini nampak seperti kurang cerdik tapi masih memerlukan kreativiti dan pemikiran aras tinggi untuk menjayakan perlawanan bola tepuk ini. Malahan pergerakan fizikal begerak dari atas ke bawah tanpa henti sejak mula perlawanan.Salah tepuk atau terlibat tepuk akan menyebabkan kekalahan dalam perlawanan.

 

GAMBAR RAJAH 1:  AKTIVITI PERMAINAN BOLA TEPUK DI RUMAH

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Seterusnya permainan penutup botol atau ceper. Pada waktu ketika itu di zaman 90an minuman penutup botol sangat terkenal dan boleh di dapati di kantin sekolah atau warung warung kedai makanan, ramai kanak2 menyimpan koleksi penutup botol ini untuk di jadikan permainan. Apa yang berlaku pada zaman itu penutup botol ini bukan sekadar di mainkan di dalam rumah malahan ketika sedang menunggu bas untuk pulang di rumah, ketika waktu rehat di sekolah, ketika tiada guru yang masuk di dalam kelas dan masa-masa terluang. Mereka menggunakan penutup botol ini untuk di jadikan satu permainan yang kreatif. Tahukah kita semua untuk menghasilkan jentikan yang tepat, latihan progresif diperlukan untuk mendapat sudut dan kesesuaian kekuatan jentikan semasa perlawanan. Secara tidak langsung otak kita telah melakukan kira kira matematik semasa bermain permainan ceper ini. Faktor arah angin dan saiz bentuk penutup botol yang sempurna diambil kira, ini bagi memastikan sudut yang di pilih mampu memberi pergerakan yang baik kepada ceper dan tepat pada sasaran. Pergerakan badan dalam permainan ini sentiasa berubah ubah seperti seorang pemain snoker untuk memastikan sudut yang tepat semasa jentikan dilakukan.

 

GAMBAR RAJAH 2: PERMAINAN PENUTUP BOTOL / CEPER

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kemudian kita boleh lihat di sana, di sini dan di mana mana sahaja pada zaman 90an, kanak kanak gemar bermain lompat teng teng di kawasan halaman rumah. Kanak kanak wanita gemarkan teng teng berbentuk roket dan kanak kanak lelaki lebih gemarkan teng teng yang berbentuk 4 segiempat tepat. Sebelum permainan di mulakan, undian di jalankan bagi menentukan pemain yang mana harus memulakan permainan terlebih dahulu. Kalimat Lai lai li tam plong adalah satu kaedah keramat bagi menentukan pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Bagi memulakan permainan, pemain hendaklah mencampakkan gundu ke dalam petak pertama dengan cara membelakangkan petak, begitu juga jika pemain telah berjaya melepasi pusingan pertama, kedua dan seterusnya cara mencampakkan gundu adalah tetap sama. Gundu atau buah ialah objek berbentuk leper sebesar separuh tapak tangan yang diperbuat daripada apa sahaja mengikut kreativiti masing masing, seperti pecahan pinggan, kepingan besi atau batu yang leper. Apa yang pasti setelah tamat perlawanan  lompat teng teng ini, baju sekolah atau baju PJ akan berpeluh kotor dan basah. Ia satu penanda aras yang menunjukan aktiviti fizikal telah berlaku dan permainan memerlukan daya tahan ketahanan fizikal untuk muncul juara dalam permainan ini.

 

GAMBAR RAJAH 3: PERMAINAN LOMPAT TENG-TENG ATAU KETINGTING

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Selain itu, yang terakhir adalah merupakan permainan baling selipar atau tuju guli. Permainan guli ini amat di gemari oleh kanak-kanak di merata-rata tempat di Malaysia. Permainan guli, yang juga di namakan sebagai Kelereng, merupakan permainan tradisional melayu yang digemari oleh kanak-kanak pada masa lapang mereka. Mereka biasanya bermain di tempat yang teduh. Di kawasan kampung – kampung, biasanya kanak-kanak bermain guli di halaman rumah. Ia tidak memerlukan ruang atau padang yang luas dan hanya memerlukan kawasan yang lapang dan rata. Begitu juga permainan baling selipar, permainan ini tidak memerlukan keluasan padang yang lebar atau luas. Walaubagaimanapun ia bergantung kepada ramai nya permain. jika ramai yang bermain keluasan tempat permainan itu boleh di perbesarkan. Permainan ini juga tidak memerlukan padang sebesar padang bola sepak kerana permainan ini lebih memerlukan teknikal dan taktikal ketika bermain.

 

GAMBAR RAJAH 4: PERMAINAN TRADISI TUJU GULI, BALING SELIPAR DAN TIN KOSONG PIRAMID

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Akhir kata, kesemua permainan sukan rakyat ini telah pun melahirkan ramai cendiakawan yang hebat untuk negara kita. Ada di kalangan mereka telah menjadi profesor, doktor, peguam, jurutera, atlet negara dan lain lain lagi. Revolusi Industri Keempat kini perlukan pembangunan bakat dalam  inovasi dan teknologi. Inovasi 2020 bukanlah suatu perkara retorik semata mata, Inovasi 2020 memerlukan orang yang mempunyai keupayaan yang istimewa, iaitu dapat melihat satu masalah lalu  menghasilkan satu penyelesaian. Untuk melahirkan individu yang mempunyai nilai kreatif dan inovatif ini bukanlah seperti subjek mata pelajaran yang boleh di ajarkan di dalam kelas. Kreativiti dan inovasi merupakan suatu nilai yang hanya dapat di terapkan secara tidak langsung dalam diri setiap pelajar melalui aktiviti kelas yang terancang ataupun luar dari 4 dinding konkrit dalam kelas. MCO adalah satu perkara yang secara tidak langsung memboleh kan kita mengenali tradisi sukan rakyat yang telah di telan zaman. Tradisi sukan rakyat ini merupakan satu ketika dulu, permainan yang telah berjaya menghasilkan golongan profesional di luar sana. Inovasi sukan yang dicipta dahulu sentiasa kekal selamanya dan memberi manfaat secara berpanjangan dan berterusan. Sekian Terima Kasih. Majulah SUKAN untuk MALAYSIA

 

GAMBAR RAJAH 5: PENGIRAAN SUDUT BALINGAN GULI

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penulis :

Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip

Timbalan Pengarah Sports Innovation & Technology Centre (SITC)

Institute Human Centred Engineering (IHUMEN)

Sekolah Kejuruteraan Biperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK)

Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Explore More