April 19, 2024

Search
Close this search box.

Gejala pandemik Covid-19 bukan hanya telah melanda negara China malah kini ke seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali dalam menghadapi wabak ini, termasuklah negara-negara jiran terdekat seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei. Bermula pada awal Februrari 2020, isu Covid-19 ini dilihat sebagai satu isu yang semakin serius dan perlu ditangani segera.

Bermula detik 18 Mac 2020 apabila Perdana Menteri Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, saban hari rakyat Malaysia dipaparkan dengan statistik terkini – bilangan kes baru, kes lama, dan kes kematian.

Ini menjadikan gejala pandemik COVID-19 tumpuan utama masyarakat, khususnya di Malaysia, dianggap semakin meruncing dan perlu dilihat dari sudut pandangan yang lebih luas bagi membantu negara Malaysia dan yang lain-lain mengatur strategi bagi membendong penularan ini.

Oleh itu, Pasukan Penyelidik Fuzzy Autocatalytic Set (FACS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil inisiatif dalam membantu mengenalpasti serta menerangkan situasi COVID-19 secara deskriptif berdasarkan data yang sangat terhad dan telah dikumpul bagi lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei melalui laporan European Centre for Disease Prevention and Control dari 1 Februari 2020 hingga 27 Mac 2020.

Pasukan Penyelidik FACS telah menggunakan kaedah yang dinamakan sebagai Teknik Set AutoPemangkin Kabur (Fuzzy Autocatalytic Set – FACS) bagi menganalisa data yang diperolehi. Rajah 1 menunjukkan data yang dilakarkan dalam bentuk graf bagi tempoh selama dua bulan untuk mengenalpasti pergerakan ataupun trend wabak COVID-19 bagi lima negara ini.

Malaysia dan Thailand menunjukkan nilai tertinggi bagi tempoh ini dan boleh dirumuskan bahawa kedua-dua negara ini berpotensi untuk mencatat kadar yang lebih tinggi seandainya tiada usaha kawalan drastik yang diambil selepas 17 Mac.

Rajah 1 : Data laporan kes dari 1 Februari 2020 sehingga 27 Mac 2020

Berdasarkan Rajah 1 ini juga menunjukkan, bermula dari 3 Mac 2020, di Malaysia telah menunjukkan peningkatan kes positif atau kes baru dan titik bermulanya penularan wabak yang semakin serius. Kadar yang dicatatkan semakin meningkat selepas 11 Mac 2020 berbanding negara lain.

Kadar ini seiring dengan kesedaran pihak kerajaan Malaysia dan punca peningkatan wabak ini telah dikenalpasti melalui penularan dari kelompok masyarakatnya. Kesan dari statistik ini, kerajaaan Malaysia telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan kesemua pintu masuk bermula 18 Mac 2020. Ini kemudian diikuti oleh kerajaan Thailand pada 26 Mac 2020.

Rajah 2 pula adalah graf catatan berdasarkan kadar bilangan kes COVID-19 semasa bagi negeri-negeri di Malaysia bagi tempoh 26 hingga 29 Mac yang diperolehi dari laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Graf menunjukkan bahawa negeri Selangor mencatatkan kes yang tertinggi pada 26 Mac iaitu sebanyak 75 kes diikuti Wilayah Persekutuan (51 kes) dan Johor (43 kes). Jumlah kematian pada hari tersebut dilaporkan sebanyak 23 orang.

Rajah 2 : Bilangan kes baru COVID-19 bagi tempoh 26 hingga 29 Mac 2020

Dengan mengunakan kaedah FACS berdasarkan sampel data bagi tempoh 26 hingga 27 Mac 2020, 16 negeri di Malaysia telah di kategorikan mengikut kluster berdasarkan latar belakang dan maklumat yang diperolehi. Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dikategorikan dalam kluster yang sama setelah melakukan dua simulasi sistem pengiraan berperingkat.

Negeri Sembilan dan Johor acapkali menjelma dalam simulasi yang dilakukan dan berkemungkinan memberi gambaran bahawa dua negeri ini berpotensi sebagai ‘kawasan panas’ (vulnerability for hot spot).

Kluster yang kedua pula merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang manakala kluster ketiga pula mengandungi Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah. Seterusnya, kluster 4 terdiri daripada Sarawak, WP Kuala Lumpur, WP Labuan dan WP Putrajaya.

Hasil simulasi FACS mampu membahagikan kawasan mengikut kelompok keutamaan iaitu kawasan manakah yang perlu diberikan perhatian. Dapatan ini juga boleh digunakan untuk membantu Malaysia mengatur strategi yang lebih efektif bagi membendung penularan wabak COVID-19 ini. Dimasa yang akan datang, kaedah FACS ini juga mampu membangunkan model bagi meramalkan kadar kes-kes baru.

Rajah 3: Kluster dari dua peringkat simulasi FACS

Rajah 3: Kluster dari dua peringkat simulasi FACS

Ditulis oleh Kumpulan Penyelidik Fuzzy Autocatalytic Sets (FACS), UTM.
Prof. Dr. Tahir Ahmad (Jabatan Sains Matematik, Fak. Sains, UTM)
Dr. Azmirul Ashaari (Azman Hashim International Business School, UTM)
Dr. Siti Rahmah Awang (Azman Hashim International Business School, UTM)
(Dr.) Siti Salwana Mamat (Jabatan Sains Matematik, Fak. Sains, UTM)
Dr. Wan Munirah Wan Mohamad (Graduan Jabatan Sains Matematik, Fak. Sains, UTM)
Amirul Aizad Ahmad Fuad (Jabatan Sains Matematik, Fak. Sains, UTM)
Nurfarhana Hassan (Jabatan Sains Matematik, Fak. Sains, UTM)

Explore More