April 26, 2024

Search
Close this search box.

Malaysia kini dalam lanjutan fasa ke-3, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020.  Statistik kumulatif rasmi yang telah dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga 22 April 2020 menunjukkan jumlah kes aktif (1,987), jumlah kes sembuh dan discaj (3,452) dan jumlah kematian (93).  Jumlah kes keseluruhan Covid-19 di Malaysia setakat tarikh tersebut adalah 5,532 kes.

Trend penurunan kes baru Covid-19 di negara ini telah dikenalpasti seperti dipaparkan dalam graf (Rajah 1) yang telah diringkaskan dari laporan terdahulu bertajuk ‘Covid-19 dari Lensa Kelompok Kabur’ yang diterbitkan dalam UTM NEWSHUB pada 15 April 2020 (https://news.utm.my/ms/2020/04/covid-19-dari-lensa-kelompok-kabur/).

Rajah 1 : (a) Kes harian COVID-19 10 Mac sehingga 10 April (b) Kluster berperingkat melalui simulasi FACS untuk negeri-negeri di Malaysia dari 28- Mac hingga 5 April 2020

Dapatan 1 : Negeri-negeri dalam Malaysia

Dapatan dari laporan terdahulu telah memperkenalkan 3 Zon iaitu Zon 1 (terkawal), Zon 2 (sederhana) dan Zon 3 (bahaya) seperti Rajah 2a. Zon-zon ini kemudiannya diwakili oleh kluster-kluster negeri di Malaysia berdasarkan persamaan atribut yang dipunyai.

  1. Zon 1 (hijau) terdiri daripada  negeri-negeri dalam Kluster 1  iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
  2. Zon 2 (kuning) mewakili negeri-negeri dalam Kluster 3iaitu Pahang, Trengganu, Kelantan dan Sabah.
  • Zon 3 (merah) pula terdiri daripada negeri-negeri Kluster 2iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor berserta negeri-negeri di dalam Kluster 4 iaitu Sarawak, WP Kuala Lumpur, WP Labuan dan WP Putrajaya.

Ketiga-tiga zon ini dipamerkan dalam Rajah 2 (a) dan butiran kes-kes yang dilaporkan mengikut tarikh pula dipaparkan dalam Rajah 2 (b).

Rajah 2: (a) Tiga zon di Malaysia
(b) Bilangan kes baru COVID-19 bagi tempoh 28 Mac hingga 5 April 2020

Keberkesanan tindakan yang efisien dan cepat bagi membendung penularan rantaian wabak seperti penutupan sempadan dan perancangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terancang oleh kerajaan Malaysia telah menghasilkan aliran penurunan.  Strategi ini merupakan kaedah yang dipanggil mendatarkan lengkung atau puncak (flatten the curve or peak) iaitu teminologi yang kini digunapakai untuk mengawal penularan pandemik Covid-19 ini kepada kadar minimum atau sifar.

Lengkung yang dimaksudkan merujuk kepada bilangan individu yang terkesan oleh virus Covid-19 dan bentuk lengkung tersebut bergantung kepada kadar jangkitan terkini.  Terminologi flatten the curve berasal dari perkataan flatten the epidemic peak (Rajah 3). Pertama kali ianya diperkenalkan dalam artikel bertajuk ‘Interim pre-pandemic guidance:  Community Strategy for Pandemic Influenza Mitigation in the United States – Early, Targeted, Layered Use of Nonpharmaceutical Interventions’ dalam makalah yang diterbitkan oleh Centers for Disease Control and Prevention, U.S. Department of Health and Human Services pada tahun 2007.

Rajah 3: Mendatarkan Lengkung

 

Dapatan 2 : Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia  dan Brunei

Bagi merancang strategi mendatarkan lengkung lebih berimpak dan lestari, data semasa Malaysia perlu dibandingkan dengan negara-negara jiran yang terdekat seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.  Perolehan maklumat bagi negara-negara tersebut telah dikumpul bermula 13 Januari sehingga 17 April 2020 melalui hyperlink yang telah dikenalpasti dan kemudiannya diilustrasikan dalam Rajah 4.

 

Rajah 4: Kes baru negara Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei dari 13 Januari sehingga 17 April 2020

Kaedah Teknik Set AutoPemangkin Kabur (Fuzzy Autocatalytic Set – FACS) telah digunakan bagi menganalisa data yang diperolehi dan menghasilkan graf diskrit berkelompok dalam Rajah 5.

Merujuk Rajah 5, terdapat satu titik berada di kedudukan paling terpencil di bahagian atas  garis y=8 dan terasing dari titik-titik yang lain.  Titik tersebut adalah merujuk kepada Singapura di mana kedudukannya jauh terletak dari negara lain disebabkan Singapura adalah negara terawal melaporkan kes Covid-19 iaitu pada bulan Januari berbanding dengan empat negara lain.  Walau bagaimanapun, negara tersebut lewat mengambil tindakan segera bagi mengawal penularan wabak dan mengakibatkan kedudukannya dalam usaha mendatarkan lengkung secara serius adalah sama seperti Malaysia, Thailand dan Brunei iaitu hanya berlaku pada akhir Mac 2020.

 

Rajah 5:  Analisis FACS bagi data lima negara (13 Januari – 17 April 2020).

Merujuk Rajah 5 juga,  titik biru yang mewakili Brunei menunjukkan frekuensi tertinggi atau pengulangan yang paling kerap berlaku pada garis x = 0.  Ini menunjukkan bahawa kadar kes baru bagi Brunei adalah sangat konsisten pada kedudukan yang sama antara 13 Januari sehingga 17 April 2020. Ini berlaku disebabkan Brunei telah mengambil tindakan efektif dalam menangani isu Covid-19.

Bagi dapatan yang seterusnya, kelima-lima negara ini telah dikelompokkan dalam dua zon iaitu Zon Selesa (hijau) dan Zon Mitigasi (kuning).  Di Zon mitigasi inilah berlakunya usaha serius untuk mendatarkan lengkung oleh setiap negara (Rajah 6). Manakala, Zon Selesa pula menunjukkan sebaliknya dalam usaha mengembalikan kenormalan lengkung.

Rajah 6: Zon Selesa dan Zon Mitigasi (13 Januari sehingga 17 April 2020).

Penentuan kedudukan lima negara dalam kedua-dua zon ini telah dikenalpasti melalui hasil nilai koordinat Cartesian menerusi teknik FACS dimana butiran terperinci nilai koordinat tersebut ditunjukkan dalam Jadual 1 hingga 5.

Singapura dan Indonesia mempamerkan nilai kordinat y yang terlalu kecil dan diserlahkan dengan warna merah.  Ini boleh dirumuskan bahawa kedua-dua negara ini berada dalam kedudukan bahaya dan perlu lebih berjaga-jaga dalam proses mitigasinya.  Situasi ini disebabkan kelewatan Singapura dalam membuat keputusan  menangani isu Covid-19 walaupun kes pertamanya dicatatkan lebih awal dari negara-negara jirannya seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 7. Indonesia juga berada dalam kelompok ini kerana masalah yang sama iaitu tidak mengenakan perintah pengawalan pergerakkan mahupun penjarakan sosial dengan segera.

Jadual 1: Koordinat Cartesian bagi Malaysia

 

Jadual 2: Koordinat Cartesian bagi Singapura.

 

Jadual 3: Koordinat Cartesian bagi Thailand

 

Jadual 4: Koordinat Cartesian bagi Indonesia

 

Jadual 5: Koordinat Cartesian bagi Brunei

 

Rajah 7:   Kawalan pergerakan bagi negara-negara Asia, Australia dan New Zealand.

Berdasarkan Jadual 1, 3 dan 5, ketiga-tiga negara iaitu Malaysia, Thailand dan Brunei tidak merekodkan sebarang nilai y yang terlalu kecil jika dibandingkan dengan Singapura dan Indonesia.  Ini boleh dirumuskan bahawa kadar kes baru bagi ketiga-tiga negara ini mula mengalami aliran penurunan dan merupakan petunjuk yang positif dalam kejayaan mitigasinya.

Mengambil negara Malaysia sebagai contoh dalam usaha mendatarkan lengkung, ianya telah di laksanakan dengan cepat, bijak, dan efektif apabila pengumuman Fasa 1 PKP pada 18 Mac 2020 diperintahkan sebaik sahaja kluster tabligh telah dikenalpasti pada 13 Mac. Strategi imuniti kelompok (herd immunity), dimana konsepnya ditunjukkan dalam Rajah 8, bukan lagi dilihat sebagai satu pilihan apabila kluster ini dikenalpasti kerana ia tidak akan memberi sebarang kesan selagi vaksin Covid-19 tidak ditemui.

Rajah 8:   Imuniti kelompok (sumber:  wikipedia.org)

Dengan tindakan dan perancangan strategik yang telah diambil oleh Malaysia melalui perintah penutupan sempadan dan perintah kawalan pergerakan sekaligus, ini merupakan langkah tepat bagi membantu mendatarkan lengkungnya secara konsisten walaupun kes pertama Covid-19 dikenalpasti hanya pada 24 Januari berbanding dengan Singapura yang lebih awal mengesan kes pertamanya  pada 23 Januari.

Begitu juga dengan Indonesia yang mengenalpasti kes pertamanya pada 2 Mac tetapi tidak mengenakan kawalan pergerakan ke atas rakyatnya dengan segera.  Berbeza pula dengan Brunei. Walaupun bilangan rakyatnya yang kecil dan mudah dikawal tetapi telah mengambil langkah yang bijak sebaik sahaja kes pertama dikesan pada 9 Mac dan menjadikan mereka antara negara yang konsisten dalam mengawal penularan pandemik Covid-19.

Akhir kata, bagi memastikan usaha mendatarkan lengkung pandemik Covid-19 berjaya, kata kuncinya adalah masa dan metod pencegahan sejurus kes pertama dikesan.

When an outbreak is found somewhere…sooner the outbreak can be everywhere!!”.

 

Penghargaan:

  • Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Kesihatan Negara (NIH) di atas kerjasama dan kebenaran penggunaan data yang diterbitkan.
  • Fakulti Sains dan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia di atas sokongan berterusan dalam penerbitan artikel ini.
  • Prof. Dr. Kamariah Ismail, Universiti Teknologi Brunei.

Rujukan:

  1. Brunei (http://www.moh.gov.bn/SitePages/pressreleaseCOVID-19.aspx)
  2. Indonesia (https://covid19.kemkes.go.id/)
  3. Malaysia (moh.gov.my),
  4. Singapura (https://co.vid19.sg/singapore)
  5. Thailand (https://reliefweb.int/report/thailand/coronavirus-disease-2019-covid-19-who-thailand-situation-report-04-april-2020)
  6. Thailand (https://reliefweb.int/report/thailand/coronavirus-disease-2019-covid-19-who-thailand-situation-report-04-april-2020)

 

Disediakan oleh:  

  

Explore More