Pandemik Covid-19 atau dikenali sebagai wabak penyakit koronavirus 2019 telah menunjukkan bukti penularannya secara global dengan rekod penghidapnya yang tinggi di pelbagai negara termasuk Malaysia.

Sehubungan dengan itu, pelbagai tindakan telah diambil oleh kerajaan Malaysia dalam usaha untuk mengawal penularan jangkitan wabak tersebut termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Bersempena dengan PKP, panduan khas bekerja dari rumah juga telah dikeluarkan untuk pengendalian isu-isu berhubung penularan Covid-19 bagi Universiti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta pada 17 Mac 2020 bagi tempoh PKP atau mana-mana tempoh lain yang dimaklumkan oleh Kerajaan. Tindakan ini adalah wajar bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan wabak Covid-19 di seluruh kampus universiti.

Justeru itu, semua staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut diminta untuk mematuhi peraturan tersebut yang diantaranya adalah seperti: sentiasa berada di rumah dalam tempoh waktu pejabat atau bekerja yang ditetapkan oleh kerajaan; sentiasa bersedia sekiranya diarah oleh Ketua Jabatan untuk hadir ke pejabat atau mana-mana lokasi lain; sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh waktu bekerja.

Berdasarkan panduan ini juga, pelaksanaan kerja dari rumah adalah terpakai bagi semua jenis lantikan iaitu Tetap, Kontrak, Sementara dan Pekerja Sambilan Harian (PSH). Jenis pekerjaan yang boleh dilaksanakan dari rumah adalah pekerjaan yang melibatkan aktiviti atau tugasan berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran, Pentadbiran dan Sokongan, dan Pembangunan dan Pengemaskinian Sistem.

Manakala pekerjaan yang tidak boleh dilaksanakan dari rumah adalah seperti barisan hadapan universiti semasa Covid-19 iaitu pegawai petugas perubatan dari Pusat Kesihatan Universiti, pegawai petugas dari Bahagian Keselamatan, dan lain-lain perkhidmatan kritikal atas kepentingan universiti. Ketua Jabatan boleh mengeluarkan arahan bertugas untuk tempoh masa kerja tersebut perlu diselesaikan.

Semua pegawai yang terlibat melaksanakan tugas dari rumah harus memahami dan mematuhi tangungjawab masing-masing seperti:

  1.  Memastikan keberadaan pegawai diketahui oleh Ketua Jabatan;
  2. Mematuhi waktu bekerja biasa dan melaksanakan arahan-arahan berkaitan kerja oleh Ketua Jabatan;
  3. Memastikan dokumen atau bahan yang digunakan untuk aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran yang dibawa balik atau diakses dalam keadaan selamat dan penyediaannya mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh universiti;
  4. Tidak membawa keluar dokumen rasmi dan sentiasa menjaga keselamatan maklumat rasmi berkaitan universiti;
  5. Melaporkan semua aktiviti atau tugas yang telah dilaksanakan kepada Ketua Jabatan untuk tujuan rekod pegawai, terutamanya rekod yang melibatkan pelajar atau pihak berkepentingan;
  6. Tindakan tata tertib boleh diambil terhadap pegawai yang gagal mematuhi perkara-perkara yang dinyatakan atau peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan dari masa ke semasa yang mana bersesuaian;

Selain itu, berikut adalah tangungjawab Ketua Jabatan berdasarkan panduan khas bekerja dari rumah:

  1. Memastikan keberadaan pegawai di bawah kawalan dan melaporkan kepada universiti sekiranya staf tidak dapat dihubungi atau keselamatan mahupun kesihatannya dikhuatiri;
  2. Memastikan semua tugasan yang dilaksanakan adalah mematuhi peraturan atau arahan yang ditetapkan serta membuat pengesahan terhadap hasil kerja pegawai;
  3.  Memastikan semua petugas barisan hadapan atau mana-mana pegawai yang diarahkan bertugas di pejabat mengambil langkah-langkah pelindungan diri dengan dibekalkan hand sanitizer termasuk mask untuk digunakan sepanjang tempoh bertugas;

Dari segi keselamatan pula, staf yang melaksanakan tugas di rumah perlu memastikan ruangan kerja adalah selamat dan perlu menghindari sebarang risiko yang boleh mencederakan atau membahayakan diri dan ahli keluarga seperti staf teknikal yang dilarang bekerja daripada rumah atas keperluan untuk membawa alatan atau bahan kimia bersamanya.

Menyedari bahawa bekerja dari rumah adalah sesuatu perkara baru bagi kebanyakan staf, UTM telah memberi sedikit panduan seperti yang dinyatakan agar staf dapat mematuhi arahan kerajaan dengan sebaiknya khusus untuk menangani penularan wabak Covid-19 yang berlaku pada masa ini.

Sepanjang tempoh ini seluruh warga UTM adalah diminta untuk sama sama membantu mengekang penularan wabak Covid-19 ini dengan sentiasa mengamalkan kebersihan dan penjagaan kesihatan diri dan keluarga.

Segala pertanyaan berkaitan pelaksanaan bekerja dari rumah boleh rujuk pegawai berikut:

UTM Johor Bahru:

Puan Saidatul Akmal binti Abdul Hamid
E-mel : saidatul@utm.my
Tel. : 016-730 0969

Puan Noerwatie bin Dolhaji
E-mel : noerwati@utm.my
No.Tel. : 013-652 6767

UTM Kampus Kuala Lumpur:

En. Mohd. Najib bin Masroom
E-mel : mohdnajib.kl@utm.my
No.Tel. : 012-634 8914

UTM Kampus Pagoh:

En. Mohd. Farid bin Rahmat
E-mel : mfrahmat@utm.my
No.Tel. : 014-950 1833