April 25, 2024

Search
Close this search box.

Aplikasi UTM Geotrees Pantau Tumbesaran Pokok Pupuk Kelestarian Masyarakat

Pada 3 Februari 2020 yang lepas, satu sesi perpindahan teknologi, Geotrees hasil inovasi daripada kajian kumpulan Penyelidikan TropicalMap, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diadakan kepada 50 orang guru sekolah di sekitar Pulau Langkawi, Kedah.

Program ini diadakan untuk membantu para guru dan pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memupuk amalan kelestarian bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestsri (SDG) dalam kalangan pelajar dan komuniti di Langkawi.

Sesi latihan yang diadakan di Kompleks LADA di Kuah selama 3 jam itu dianjurkan hasil kerjasama antara LADA, Kelab Duta Rimba dan UTM.

Latihan itu telah dirasmikan oleh Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi disertai dengan taklimat Program Langkawi Geopark oleh Ketua Bahagian Pelancongan LADA, Encik Azmil Munif bin Mohd Bukhari.

Presiden Kelab Duta Rimba, Encik Ganesan S. Sittrambaram juga memberi taklimat pengenalan program. Sesi latihan penggunakan Geotrees daripada pihak UTM telah diberikan oleh ketua projek Geotrees, Sr. Gs. Dr. Nurul Hawani Idris daripada Program Geoinformatik, Fakulti Alam bina dan Ukur, yang merupakan  Felo UTM Kampus Lestari (UTMCS) dibantu oleh Dr Nurul Hazrina Idris daripada Program Remote Sensing, FABU.

Bergambar kenangan bersama Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi, Ketua Bahagian Pelancongan LADA dan Presiden Kelab Duta Rimba

Tujuan latihan ini diadakan untuk memperkenalkan inovasi yang diperkenalkan oleh UTM dalam membantu perekodan inventori pokok menggunakan konsep crowd-sourcing dan pemantauan tumbesaran pokok yang tanam oleh sukarelawan dan pelajar sekolah menggunakan dengan mengaplikasikan konsep gamification berasaskan talian.

Taklimat Program Geopark telah diberikan oleh Ketua Bahagian Pelancongan LADA

Setakat ini, aplikasi Geotrees telah digunakan oleh pelbagai sukarelawan di peringkat sekolah, universiti dan industri untuk membantu merekod inventori pokok menggunakan aplikasi mudah alih dan kod QR yang unik pada setiap pokok.

Terdapat lebih 1500 pokok yang telah berjaya direkodkan di dalam platform UTM Geotrees hasil daripada data yang dimasukkan oleh pelbagai sukarelawan dalam aktiviti berkaitan penanaman pokok di seluruh Semenanjung Malaysia.

Selesai sesi latihan ini, wakil guru akan memberi perpindahan ilmu dan teknologi kepada pelajar-pelajar yang berminat disekolah masing-masing untuk menjadi sukarelawan dalam aktiviti penanaman pokok dan memantau tumbesaran pokok menggunakan teknologi di telefon pintar.

Urus setia mengharapkan melalui latihan ini dapat memberi satu pendekatan alternatif kepada para guru di sekolah untuk memupuk gaya hidup lestari terhadap kepentingan pokok dan kawasan hijau kepada alam sekitar di kalangan murid dan pelajar sekolah menggunakan teknologi di telefon pintar.

Sesi latihan Geotrees telah diberikan oleh Dr Nurul Hawani Idris daripada FABU

Ini kerana melalui aplikasi Geotrees (boleh dimuat turun secara percuma di Android Playstore), sukarelawan dapat melihat perkembangan pokok yang ditanam melalui rekod data pengukuran tinggi dan ukur lilit pokok yang dimasukkan secara berkala (di laman web http://www.geotrees.utmgeo.com), menjadikan aktiviti penanaman pokok adalah tidak secara ad-hoc, tetapi berpanjangan kerana melibatkan aktiviti penyelenggaraan pokok agar terus hidup.

Data-data yang dimasukkan juga akan dapat membantu dalam kajian saintifik untuk mengenalpasti karbon yang dapat diserap oleh pokok-pokok yang ditanam dan juga peratusan karbon yang dapat disimpan di sesebuah kawasan hijau.

Seterusnya ia juga dapat membantu dalam mencapai hasrat kerajaan untuk mengurangkan kesan rumah hijau dan dalam kempen  pihak berkuasa tempatan untuk menjadi bandar kurang karbon.

Bagi pihak LADA pula, penggunaan aplikasi Geotrees oleh murid dan pelajar sekolah di sekitar Langkawi dapat membantu dalam membudayakan konsep Geopark di Langkawi.

Explore More