April 19, 2024

Search
Close this search box.

COVID-19: UTM Terus Perkasa Operasi Susulan Lanjutan PKP Jamin Kebajikan Pelajar

JOHOR BAHRU, 28 Mac — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus berusaha memastikan kebajikan secara menyeluruh kira-kira 3,218 orang pelajarnya yang tinggal dalam kawasan kampus berikutan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April 2020 dalam usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19.

Pelbagai langkah dan inisiatif telah diambil melibatkan semua jabatan utama termasuk Pusat Kesihatan Universiti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor Pembangunan dan Jabatan Keselamatan sejak PKP berkuatkuasa kerajaan.

Jabatan Hal Ehwal Pelajar turut mengeluarkan arahan agar para pelajar dibataskan pergerakan keluar masuk kampus termasuk membatalkan aktiviti pelajar, melarang mereka menyertai sebarang seminar atau perhimpunan yang melibatkan ramai orang dan memastikan keberadaan felo di setiap kolej kediaman pada setiap masa untuk sebarang kecemasan pelajar.

Antara langkah yang telah dijalankan adalah program pemberian pek makanan percuma sebanyak tiga kali setiap hari iaitu makanan pagi, makan tengah hari dan malam yang bermula sejak 18 Mac lalu dengan pihak universiti sentiasa memantau kualiti makanan yang disediakan secara rapi dan teliti agar kebajikan pelajar akan sentiasa terjaga.

Makanan diagihkan dengan mematuhi penjarakan sosial (social distancing)

Bagi pelajar yang tinggal di luar kampus juga seperti menyewa sndiri, pek makanan turut dibekalkan kepada mereka melalui unit khas yang menghantar makanan.

Ia adalah hasil sumbangan dari Unit Zakat UTM, Yayasan Raja Zarith Negeri Johor dan pelbagai lagi individu prihatin yang turut sama menyumbang selain dari peruntukan universiti sendiri.

Selain itu, kedai serbaneka juga meneruskan operasi mereka seperti biasa bagi memastikan para pelajar tidak terputus bekalan makanan, di mana Jabatan TNCP sentiasa memastikan stok barangan keperluan seperti makanan kering serta keperluan harian lain adalah mencukupi.

Unit Kluster Hospitaliti UTM pula terus komited dalam memastikan setiap bilik pelajar dan fasiliti yang terdapat di kolej-kolej kediaman sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan terjaga demi keselesaan para pelajar.

Pusat Kesihatan Universiti juga meneruskan operasi mereka seperti biasa pada setiap hari sepanjang tempoh PKP di samping turut menyediakan saluran hotline dan kecemasan yang beroperasi 24 jam.

Operasi diteruskan dengan langkah keselamatan dititikberatkan dengan mengehadkan hanya 30 orang pesakit dalam satu masa bagi membendung segala kemungkinan penularan wabak COVID-19.

Selain aktiviti pembersihan dan saringan yang dijalankan secara berterusan, khidmat telekaunseling juga disediakan bukan sahaja kepada pelajar tapi juga staf sekiranya diperlukan sepanjang tempoh PKP berkuatkusasa.

Bagi tujuan keselamatan pula, Jabatan Keselamatan UTM memastikan segala pergerakan keluar dan masuk sama ada staf, pelajar dan orang awam ke dalam kampus sentiasa direkodkan.

Salah seorang petugas bahagian keselamatan memakai ‘face shield’ buatan penyelidik UTM

Selain itu, mereka juga sentiasa memantau keberadaan pelajar dalam kampus bagi mengelakkan mereka berada di tempat awam mencegah sebarang kemungkinan penularan wabak COVID-19 di UTM.

Selain pelajar, keselamatan staf barisan hadapan seperti pengawal keselamatan, staf bahagian perubatan dan felo di kolej kediaman juga diambil berat dan menjadi keutamaan UTM di mana mereka sentiasa dibekalkan dengan penjagaan rapi seperti bahan pencuci tangan (hand sanitizer) dan face shield yang mana dihasilkan sendiri oleh universiti.

Terbaharu, UTM telah menubuhkan Tabung Khas Bantuan COVID-19 UTM bagi mengumpul sumbangan untuk membantu pelajar dan staf yang terkesan dan menampung sebahagian pengurusan pencegahan wabak COVID-19 ini.

Sehingga 30 Mac 2020, lebih dari RM194,174.00 telah berjaya dikumpul hasil dari sumbang orang ramai.

Ini sedikit sebanyak dapat membantu UTM dalam usaha memberi bantuan kepada pelajar dan kakitangan yang terjejas serta usaha pencegahan wabak COVID-19.

UTM mengambil langkah-langkah ini dengan penuh teliti, bersungguh-sungguh dan menyeluruh bagi memastikan keselesaan, kebajikan dan keselamatan pelajar dan staf sentiasa terpelihara.

Pihak universiti berharap semua pihak memandang serius berkaitan penularan wabak ini dan sentiada mematuhi arahan yang diberikan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Explore More