November 22, 2024

Search
Close this search box.

TAPAH, 29 Feb. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) telah membawa ‘sinar’ kepada penduduk Kampung Orang Asli Woh Intake melalui Projek Integrasi Teknologi PV Solar Berpusat & Penghad Tenaga bagi menjana tenaga elektrik untuk kegunaan penduduk di sini.

Projek tersebut merupakan insiatif khidmat masyarakat UTM bersama Bank Islam yang merupakan penaja utama dalam projek teknologi ini melalui program Sadaqa House.

Perasmian projek ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Tuan Mohd Muazzam Mohamed serta turut dihadiri oleh Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah, Tuan Hairulnizam Bin Abd Rahman.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Tuan Mohd Muazzam Mohamed (tiga dari kiri) bersama Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar (dua dari kanan) menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran projek
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Tuan Mohd Muazzam Mohamed (kanan) bertukar cenderamata dengan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar (tengah) sambil diiringi Ketua Projek, Dr Jasrul Jamani bin Jamian

Terdiri daripada 83 orang penduduk dengan kapasiti 15 buah rumah, Kampung Orang Asli Woh Intake ini tidak pernah menikmati bekalan elektrik yang berterusan sejak ia dibina kerana lokasi kampung yang terletak jauh di pedalaman dan faktor geografi yang mencabar.

Kajian asal mendapati sebahagian penduduk bergantung kepada penjana petrol yang berkapasiti kecil hanya untuk beberapa biji lampu yang beroperasi dari jam 7 sehingga 11 malam.

Penduduk terpaksa menanggung jumlah kos petrol yang tinggi iaitu sekitar RM30.00 sehari atau bersamaan RM900.00 sebulan, manakala sebahagian penduduk yang lain, hanya bergantung kepada cahaya lampu minyak tanah dan lilin untuk melakukan aktiviti pada sebelah waktu malam.

Atas keprihatinan terhadap permasalahan ini, UTM melalui ketua projek, Dr. Jasrul Jamani bin Jamian serta 12 mahasiswa dan staf SKE, UTM mengambil inisiatif untuk mengakhiri kesusahan penduduk dengan menggunakan kepakaran yang ada bagi menjana tenaga elektrik menggunakan kuasa solar, sebuah tenaga yang boleh diperbaharui dan mudah untuk didapati.

Untuk itu sebuah sistem solar 4kWp bersama bateri 500Ah telah direkabentuk untuk keselesaan penduduk serta sebuah penghad tenaga turut diintegrasikan untuk memastikan masyarakat Orang Asli ini dapat berjimat cermat dalam penggunaan elektrik.

Sistem solar 4kWp bersama bateri 500Ah yang telah direkabentuk untuk keselesaan penduduk
Pasukan penyelidik UTM dari SKE sedang memeriksa sistem solar 4kWp bersama bateri 500Ah yang telah direkabentuk

Penghad tenaga ini telah dikodkan jumlah penggunaan yang dibenarkan dalam sehari dan akan di ‘set’ semula secara automatik pada keesokan harinya.

Menurut Prof Wahid, menariknya projek ini adalah UTM bukan sahaja memasang sistem solar namun turut mendidik penduduk kampung bagaimana menguruskan sistem seperti cara pengendalian dan membersihkan panel solar bagi memastikan ianya akan sentiasa berfungsi dengan baik.

“Ini selaras dengan hasrat universiti untuk menyelesaikan permasalahan komuniti serta menaik taraf hidup masyarakat melalui inisiatif ‘Prospering Lives’,” kata beliau.

 

Penduduk kampung dididik dan dilatih dalam mengendalikan sistem solar seperti membersihkan panel setiap bulan bagi memastikan ianya sentiasa berfungsi dengan baik

Kesemua peralatan elektrik yang dipasang di 15 rumah masyarakat Orang Asli ini adalah bertaraf 5 bintang agar kecekapan tenaga berada di tahap maksimum.

Di samping itu, turut dipasang adalah USB pengecas telefon yang 100% sumber kuasanya dijana menggunakan tenaga elektrik Solar PV untuk kemudahan penduduk mengecas telefon bimbit.

Kesemua yang hadir merakamkan gambar kenangan di hadapan surau Baitul Rahmah yang telah siap dipasang panel solar
Panel solar yang telah siap dipasang

Aktiviti ini turut mendapat kerjasama dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Batang Padang dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas yang mana pihak ILP membantu dari segi mengurangkan kos serta dalam pelaksanaan pendawaian di rumah-rumah penduduk.

 

Explore More