April 19, 2024

Search
Close this search box.

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) membuktikan bahawa penularan wabak virus COVID-19 amatlah serius dan dititikberatkan.

Ini terbukti apabila universiti melakukan kerja pembersihan dan disinfeksi  di sekitar kampus agar dapat mengelakkan jangkitan virus tersebut kepada warganya.

Sehubungan itu, UTM menasihati seluruh warganya untuk kekal tenang dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.
Untuk itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah mengeluarkan arahan agar para pelajar dibataskan pergerakan keluar masuk kampus termasuk membatalkan aktiviti pelajar, melarang mereka menyertai sebarang seminar atau perhimpunan yang melibatkan ramai orang dan memastikan keberadaan felo di setiap kolej kediaman pada setiap masa untuk sebarang kecemasan pelajar.
Pek makanan yang disediakan kepada pelajar turut mematuhi syarat-syarat penjarakan sosial (social distancing) iaitu satu meter.

Bagi tujuan keselamatan pula, Jabatan Keselamatan UTM memastikan segala pergerakan keluar dan masuk sama ada staf, pelajar dan orang awam ke dalam kampus sentiasa direkodkan bagi mengelak sebarang kemungkinan dan bagi memantau siapa yang keluar masuk untuk memudahkan UTM menjejaki semua pengunjung universiti.

Salah seorang petugas bahagian keselamatan memakai ‘face shield’ buatan penyelidik UTM

 

Selain itu, mereka juga sentiasa memantau keberadaan pelajar dalam kampus bagi mengelakkan mereka berada di tempat awam mencegah sebarang kemungkinan penularan wabak COVID-19 di UTM.

Selain pelajar, keselamatan staf barisan hadapan seperti pengawal keselamatan, staf bahagian perubatan dan felo di kolej kediaman juga diambil berat dan menjadi keutamaan UTM di mana mereka sentiasa dibekalkan dengan penjagaan rapi seperti bahan pencuci tangan (hand sanitizer) dan face shield yang mana dihasilkan sendiri oleh universiti.

Semua staf dan penuntut universiti itu juga diminta sentiasa mematuhi langkah pencegahan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 seperti yang digariskan KKM dan UTM.

Kenyataan itu menyebut bahawa seluruh warga UTM boleh mendapat segala maklumat terkini berkaitan perkembangan Covid-19 di Facebook Komuniti UTM, laman sesawang rasmi Covid-19 UTM: https://www.utm.my/covid19/ atau melalui hotline UTMJB di 010-800 1337, 011-3334 0646 dan UTMKL 016-7962100.

Explore More