April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 29 Mac — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa bersedia memainkan peranan dalam misi untuk membantu masyarakat selaras dengan inisiatif ‘Prospering Lives’, apatah lagi pada saat-saat genting penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Ini terbukti dengan sumbangan terbaharu kotak aerosol (aerosol box) dari universiti kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melindungi petugas barisan hadapan, khususnya petugas perubatan daripada jangkitan COVID-19.

Baru-baru ini, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), UTM telah menyerahkan dua buah kotak aeorosol kepada Hospital Permai, hospital yang menempatkan PUI dan sekiranya didapati positif pesakit akan dipindahkan ke Hospital Kluang.

Menurut Pengarah CCIN, Prof Mayda Dr Johari bin Surif, sumbangan tersebut telah diserahkan kepada En. Shabahul Khir bin Zin, Ketua Unit Pembangunan, Hospital Permai, Johor Bahru.

“UTM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail.

Turut sama adalah semua staf yang terlibat dalam projek ini dari pelbagai unit seperti Sekolah Kejuteraan Mekanikal (SKM), MagicX, IHumen, UPMU dan UTMXCITE. CCIN pula bertindak sebagai penyelaras.

“Kotak Aerosol ini digunakan oleh para doktor semasa proses intubasi ke atas pesakit-pesakit kritikal yang disyaki atau dijangkiti virus COVID-19. Dengan adanya kotak ini, petugas perubatan akan terlindung daripada percikan air pesakit (air liur, batuk, bersin) yang akan membawa risiko jangkitan kepada petugas tersebut,” kata beliau.

Tambah Dr Johari, kotak aerosol tersebut adalah hasil inovasi penyelidik UTM yang juga mendapat khidmat nasihat penambahbaikkan daripada sekumpulan doktor pakar daripada Pusat Pakar Perubatan UiTM (PPUiTM) Sungai Buloh.

“Kita rancang untuk menyediakan lebih banyak lagi kotak aerosol ini bhmemandangkan permintaan adalah sangat tinggi.

Berikutan kosnya yang agak tinggi, kami mengalu-alukan sumbangan dari rakan industri untuk turut sama menyumbang dalam aktiviti CSR ini demi membantu petugas barisan hadapan KKM,” tambah beliau.

Selain pasukan tersebut, individu yang turut menyumbang kotak aerosol ini ialah pensyarah kanan Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Dr. Wong Tuck Whye bersama salah seorang pelajar Doktor Falsafah beliau, Farah Hidayah binti Jamaludin.

Beliau telah turut menyerahkan dua unit kotak tersebut kepada Hospital Sultan Ismail, Johor.

Menurut beliau, kotak tersebut dihasilkan di dua buah kilang iaitu U-MAG Acrylic Products ( M ) Sdn Bhd untuk product fabrication dan TTMC Sdn Bhd untuk product refinement.

“Kami menggunakan bahan polimer yang berwarna jernih dipanggil acrylic dan telah membuat sedikit inovasi pada bahagian kemasukan tangan agar sarung tangan boleh dipasang sekiranya perlu.

Kini saya sedang bekerjasama dengan TTMC untuk membina perisian khas dalam usaha menambahbaik proses penyediaan kotak ini,”kata beliau.

Menurut beliau lagi, pihaknya telah menerima komen dari petugas di HSI yang telah menggunapakai kotak tersebut dan akan membuat penambahbaikan lagi.

Tambah beliau lagi, pihaknya akan berusaha menyediakan 10 buah lagi kotak ini dalam masa terdekat untuk diserahkan kepada HSI.

Manakala di UTM Kampus Kuala Lumpur, pasukan MJIIT (Malaysia-Japan International Institute of Technology) turut terlibat dalam projek dalam penghasilan kotak aerosol bagi pesakit Covid-19.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, MJIIT UTM, Prof. Madya Dr. Siti Hamidah Setapar berkata, dua doktor pakar dari Pusat Pakar Perubatan UiTM (PPPUiTM), Sungai Buloh telah datang ke makmal MJIIT untuk melihat sendiri kotak yang dihasilkan oleh staf MJIIT, iaitu Dr ‘Abid, seorang doktor pakar bedah jantung dan paru-paru dan Dr Nadia yang merupakan pakar bius jantung.

“Kotak aerosol oleh MJIIT ini dimulakan apabila tiga orang bekas pelajar MJIIT terbaca pengumuman oleh hospital yang memerlukan kotak aerosol”

Alumni MJIIT ini telah menghubungi pihak MJIIT untuk menghulurkan bantuan untuk merekabentuk kotak tersebut.

“Pasukan MJIIT adalah di bawah penyeliaan pejabat Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi (TDPI), diketuai oleh En Hairul iaitu pengajar MJIIT”. kata beliau.

Tambah beliau, Dr. Nadia dan pasukan beliau telah membuat penambahbaikan dari segi rekabentuk bagi mencapai fungsi yang optimum dan dari situ lah pasukan MJIIT, dibantu oleh Fakulti Teknologi & Infomatik Razak UTM serta Pusat Pengurusan Makmal Universiti untuk menghasilkan rekabentuk yang lebih baik.

“Doktor-doktor telah membawa prototaip kotak tersebut ke hospital untuk dicuba dalam situasi sebenar, dan mereka amat berpuas hati.

Selain kotak aerosol, kami juga sedang menyiapkan topeng pelindung muka (face shields) untuk petugas barisan hadapan dan ada sekumpulan penyelidik MJIIT yang lain juga sedang  menjalankan penyelidikan alat pengesan Covid,” tambah beliau.

Explore More