April 24, 2024

Search
Close this search box.

UTM hasilkan ‘face shield’ bantu ‘frontliner’ KKM

JOHOR BAHRU, 23 Mac —  Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa bersedia membantu dalam misi kemasyarakatan terutamanya yang melibatkan keselamatan dan keutamaan komuniti.

Terbaharu UTM telah menyediakan 40 unit ‘UTM Face Shield’ untuk kegunaan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjadi tunjang utama di barisan hadapan atau frontliner dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Ketua projek, Prof Mayda Dr Johari bin Surif berkata, sebanyak 33 unit ‘face shield’ telah diserahkan kepada Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bagi membantu meringankan beban serta keperluan hospital awam tersebut.

Baki tujuh lagi telah diserahkan kepada Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UTM kerana mereka turut terlibat secara langsung dalam memantau penularan wabak ini di sekitar kampus.

“Sepanjang tempoh larangan pergerakan ini kita mengkaji apa lagi yang mampu kita sumbangkan melalui kepakaran yang ada dan di sinilah terhasilnya idea untuk membantu menyediakan kelengkapan kepada staf KKM,” kata beliau.

Face shield ini disediakan menggunakan kaedah Fused Deposition Modeling (FDM) Technology yg merupakan kaedah popular dalam teknologi additive manufacturing (AM).

Model 3D objek dihasilkan menerusi perisian khas dan objek dicetak menggunakan pencetak 3D.

Ianya disediakan di Makmal Pengeluaran, Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, UTM Johor Bahru.

Pasukan yang terlibat ialah Sekolah Kejuruteraan Mekanikal serta beberapa pusat tanggungjawab di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI).

Menurut beliau, perancangan seterusnya adalah untuk mencari jalan bagi menyediakan face shield dengan cara mengurangkan material serta menjimatkan masa.

“UTM turut bercadang untuk terus menyediakan face shield ini sehingga kelengkapan ini mencukupi bagi kegunaan kakitangan KKM terutamanya di Hospital Permai, Hospital Kuala Lumpur dan lain-lain hospital lagi yang kakitangannya berdepan risiko paling tinggi terhadap wabak Covid-19 ini.

Oleh itu pada peringkat awal, kami akan menyediakan kelengkapan ini di tiga Hospital Kerajaan dan 9 Hospital Swasta di Johor terlebih dahulu, barulah diikuti dengan negeri lain, ” tambah beliau.

 

salah seorang kakitangan KKM di Hospital Sultanah Aminah mencuba face shield yang diedarkan

Explore More