Disember 27, 2024

Urgensi dan Kesediaan : Masyarakat, Industri dan Universiti menghadapi COVID-19

COVID-19 telah merubah polar dan norma kehidupan manusia bukan hanya di Malaysia bahkan seluruh dunia.  Hari demi hari, impak COVID-19 dilihat seolah-olah tiada noktah dengan peningkatan jumlah kes yang amat membimbangkan di seluruh dunia.

Menyedari akan perkara ini, menghadapi COVID-19 merupakan suatu urgensi dan menanganinya pula adalah suatu kesediaan yang perlu kita ada secara bersama sebagai rakyat Malaysia.

Menghentikan penularan COVID-19 bukan sekadar angan-angan tetapi menjadi keazaman seluruh warga dunia. Mengekang wabak ini daripada terus menular adalah perlu dan menjadi kewajipan setiap lapisan masyarakat.

Umumnya, pelbagai tindakan serta saranan telah digariskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia serta Perdana Menteri Malaysia dengan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kekal berada di rumah atau “stay at home”.

Ini penting bagi setiap individu mematuhi perintah agar wabak ini tidak terus merebak berteraskan konsep memutuskan rantaian penularan wabak ini.

Sebagai masyarakat, urgensi bagi setiap individu adalah mematuhi arahan ini dengan sebaik mungkin. Namun, bagi pihak Universiti dan Industri pula, urgensi di saat ini adalah dengan memastikan keperluan para barisan hadapan dipenuhi berbekalkan kelengkapan serta peralatan yang mencukupi.

Ini sangat penting bagi memastikan para pejuang ini dapat menjalankan misi serta berjuang sehabis daya dengan jayanya.

Perkembangan ilmu dalam bidang sains dan teknologi diyakini dapat mengekang wabak ini daripada terus menular.

Para saintis dan teknologis berusaha menghentikan pandemik ini melalui pembangunan peralatan serta kit bukan sekadar bersifat mengesan wabak ini pada pesakit bahkan untuk mencegah dan menghapuskan virus ini daripada terus menular daripada satu individu kepada individu yang lain melalui pelbagai medium.

Di kala tempoh PKP ini, tidak dinafikan banyak peralatan yang genting diperlukan oleh barisan hadapan iaitu kakitangan kesihatan. Sebagai contoh pelindung muka atau “face shield”, ventilator, alat pelindung intubasi dan Personal protective equipment (PPE) sangat perlu ketika mendiagnosis atau merawat pesakit.

Di sinilah, peranan para saintis dan teknologis sama ada mereka berada di pihak industri mahupun universiti perlu bersinergi demi memenuhi tuntutan yang mendesak.

Sebagai contoh apabila barisan hadapan menyuarakan kehabisan bekalan pelindung muka atau “face shield”, melalui saluran yang pelbagai, suara mereka disambut dengan usaha pelbagai pihak dalam menyediakan peralatan tersebut.

Ia merupakan suatu urgensi dan sinergi antara masyarakat, industri dan universiti menggerakkan agenda ini dengan memberikan kesediaan yang mencukupi kepada para barisan hadapan.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif yang pelbagai dalam menghadapi urgensi ini dengan menggerakkan seluruh tenaga pakar dengan menggunakan perlatan serta fasiliti yang ada untuk memenuhi tuntutan yang mendesak.

Sebagai contoh, UTM menggerakkan institusinya melalui pusat penyelidikan, fakulti dan individu (staf mahupun pelajar) merealisasikan matlamat ini dengan menyediakan pelindung muka melalui kaedah 3D-Printing. Sejumlah 30-unit 3D-Printer digerakkan untuk tujuan ini.

Institute of Human Centered Engineering (iHumEn), UTM mengambil langkah proaktif dengan menggusahakan penglibatan bukan dalam kalangan staf (akademik dan teknikal) sahaja malahan turut menggerakkan para pelajar serta jaringan industri yang dimiliki dalam memastikan usaha ini dapat dijayakan sebaik mungkin.

Tidak terhenti sekadar peralatan pelindung muka, kini iHumEn terus terlibat secara terus untuk menginovasikan beberapa alat yang perlu disediakan dalam beberapa tempoh yang singkat ini.

Diharapkan dengan usaha kecil ini mampu memberikan manfaat yang besar kepada negara.

Oleh itu, urgensi oleh para barisan hadapan negara merupakan tuntutan yang jelas kerana mereka berjuang dan berkorban demi keselamatan serta kesihatan rakyat Malaysia.

Namun, di pihak masyarakat, Industri mahupun universiti melalui sumbangan tenaga dan juga kepakaran sains dan teknologi amat diperlukan dan perlunya sinergi demi memastikan kesediaan keperluan bekalan mahupun peralatan yang mencukupi.

Kepada petugas barisan hadapan, kami menyahut seruan dan pertolongan untuk bersama-sama menggembeleng tenaga serta buah fikiran demi untuk memastikan kita dapat menghentikan Pandemik COVID-19 ini.

DR. AMIR PUTRA BIN MD SAAD
Pensyarah Kanan
Sekolah Kejuruteraan Mekanikal
Fakulti Kejuruteraan

Penyelidik Utama
Medical Devices and Technology Centre (MEDiTEC)
Institute of Human Centered Engineering (iHumEn)
Univeristi Teknologi Malaysia (UTM), Johor

Explore More