Pada 9 Mac 2020 lalu, Persekutuan Pengakap Malaysia daerah Johor Bahru telah menganjurkan program Special Education atau lebih dikenali dengan nama SpeEd Robotics Workshop 2020 dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dalam program tersebut, para pelajar dan guru yang merupakan anggota pengakap telah didedahkan dengan aktiviti berasaskan elektronik, teknologi robotik, drone dan berkaitan dengan internet, atau lebih dikenali sebagai IoT (Internet of Things).

Pasukan STEM-RBTK yang dibarisi oleh para pensyarah dari bidang Kejuruteraan Elektronik dan Komputer, Sekolah Kejuruteraan Elektrik yang diketuai oleh Dr. Fauzan Khairi dipertanggungjawabkan memberi tunjuk ajar kepada para peserta yang hadir dalam program robotik tersebut.

Program ini turut mendapat perhatian dan sokongan dari IEEE Malaysia Section Education Society manakala pasukan dari Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK) memberi penerapan berkaitan pengaturcaraan dan penggunaan drone kepada peserta.

Peserta program ini berjumlah 96 orang pengakap merangkumi 70 orang murid dan 26 orang guru pembimbing bagi setiap kumpulan.

Peserta terdiri daripada pelajar aliran perdana dan aliran khas dari 33 buah sekolah di sekitar Johor Bahru.

    

Terdapat empat modul yang dijalankan untuk program ini iaitu robot memilih jalan, robot kereta, robot membawa barang dan juga robot drone.

Modul ini dipilih atas anggapan bahawa pelajar sekolah kebangsaan sukakan sesuatu yang bergerak dan boleh melakukan arahan yang bersesuaian menggunakan alat kawalan jauh.

Alat kawalan jauh yang digunakan ialah telefon pintar.

Para guru juga diberi peluang untuk turut serta bersama-sama pelajar mereka menjayakan setiap modul yang akan diberikan. Pihak urus setia mengharapkan agar aktiviti seperti ini dapat memindahkan ilmu teknologi elektronik kepada para pelajar dan guru yang hadir.

atrikel dikarang oleh Nurul Ashikin Abdul Kadir dan Nasrul Humaimi Mahmood