April 16, 2024

Search
Close this search box.

MAHIR BAHASA MANDARIN BERI BANYAK KELEBIHAN

Nur Fatiha (kanan) menerima surat lantikan sebagai Tutor dari Penasihat Kelab Bahasa Mandarin, Prof. Madya Dr. Yeak Su Hoe

Nur Fatiha Che Yon Rosni antara Tutor Berpengalaman Kelas Bahasa Mandarin UTM

Fasih berbahasa Mandarin dengan baik ternyata memberi kelebihan besar kepada pelajar tahun 4 Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Nur Fatiha Che Yon Rosni untuk turut menyumbang bakti mengajar bahasa itu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Anak sulung dari 2 beradik itu merupakan salah seorang dari seramai 30 orang tutor yang dilantik untuk membimbing 206 mahasiswa UTM yang mengikuti Kelas Bahasa Mandarin anjuran Kelab Bahasa Mandarin UTM.

Nur Fatiha mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin dan seterusnya di Sekolah Menengah SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di UTM Kuala Lumpur. Tidak hairanlah jika tahap penguasaan Bahasa Mandarin beliau setanding dengan rakan-rakan lain yang berketurunan Cina.

Berdasarkan pengalaman sebagai mahasiswa, Nur Fatiha berkata kemahiran Bahasa Mandarin yang dimilikinya banyak membantu dirinya serta rakan-rakan lain terutamanya untuk tujuan membuat alih bahasa yang melibatkan bahasa itu. Beliau juga percaya kelebihan ini juga mampu memberi banyak manfaat kepadanya dalam kerjayanya nanti.

“Saya perlu berterima kasih kepada kedua orang tua saya yang berpandangan jauh menghantar saya ke sekolah aliran Cina untuk belajar bahasa Mandarin,” tambahnya lagi.

Menang gangsa di Sukan Universiti ASEAN 2018 Myanmar

Selain kemahiran yang jarang dimiliki orang lain itu, Nur Fatiha juga merupakan seorang atlet sukan mendayung (rowing) dan pelajar terpilih program ‘signature’ UTM 5 Excellence Tracks Programme (5ETP) yang bukan sahaja mewakili UTM malah pasukan negara di Sukan Universiti ASEAN.

Antara pencapaian terbaik beliau ialah merangkul pingat emas individu dan berpasukan di Kejohanan Iskandar Puteri Indoor Rowing 2018, emas di Varsity Boat Race 2018 dan gangsa di ASEAN University Games 2018 di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Menurut Pengarah Kelab Bahasa Mandarin UTM, Khoo Su Wei, banyak keistimewaan dan fakta menarik berkaitan Bahasa Mandarin yang ramai orang perlu tahu antaranya karakter mandarin atau hanzi yang ditulis dengan menggunakan simbol. Tulisan cina juga sebenarnya merupakan antara karakter yang tertua di dunia.

Pengarah Kelab Bahasa Mandarin, Khoo Su Wei

Keistimewaan lain ialah nada yang terdapat dalam Bahasa Mandarin yang terdiri dari 4 nada asas yang perlu dikuasai. Nada sangat penting untuk membezakan setiap makna perkataan dengan tepat.

Bagi Penasihat Kelab Bahasa Mandarin UTM, Prof. Madya Dr. Yeak Su Hoe, semua orang boleh mengikuti kelas Bahasa Mandarin andai ada kemahuan. “Percayalah, belajar Bahasa Mandarin tidak sesukar yang  disangkakan. Apa yang anda perlukan ialah semangat dan kegigihan. Buktinya bilangan warga UTM yang mampu bertutur Bahasa Mandarin semakin meningkat dari semasa ke semasa,” kata pensyarah Fakulti Sains itu lagi.

Kesemua peserta kelas Mandarin bergambar kenangan di majlis perasmian pada 26 Februari 2020

Beliau berucap semasa menghadiri Majlis Perasmian Kelas Bahasa Mandarin Semester 2 Sesi 2019/2020 yang telah berlangsung pada 26 Februari 2020 lalu bertempat di Dewan Banquet UTM Johor Bahru.

2020 merupakan tahun ke-22 Kelas Bahasa Mandarin UTM beroperasi dan mulai Disember 2019 lalu, ia dinaiktaraf serta diiktiraf sebagai sebuah kelab berdaftar di UTM.

Pengiktirafan ini juga bakal menyaksikan kelab ini bakal menerima pelbagai kemudahan yang diberikan melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan mewakili universiti dalam apa juga acara peringkat domestik dan antarabangsa.

Sebagai rekod, seramai 206 pelajar mendaftar untuk mengikuti kelas Mandarin bagi semester ini dan dari angka tersebut seramai 21 orang merupakan pelajar antarabangsa. 185 orang penuntut lain pula terdiri dari bangsa Melayu, India dan lain-lain. Senarai tenaga pengajar pula menyaksikan penglibatan lima orang tutor bukan berbangsa Cina.

Aksi mantap UTM Diabolo mewarnai majlis perasmian
Antara pelajar antarabangsa yang hadir

 

Explore More