Oleh Liyana Binti Mohamad dan Azyyatie Ayunaziha Binti Yusoff, Mahasiswa Diploma Kejuruteraan Awam, UTM Kuala Lumpur

Sukarela, membantu tanpa mengharapkan pulangan. Semangat sukarelawan perlu disemai kepada semua lapisan masyarakat agar dapat melahirkan masyarakat yang prihatin, berwaspada dan bertanggungjawab. Lantaran itu, program sukarelawan perlu diperbanyakkan lagi agar negara menjadi lebih harmoni dan terbilang. Kami wakil mahasiswa daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur berasa amat bersyukur kerana dapat menyertai program-program sukarelawan antaranya, program anjuran bersama pihak Razak Faculty of Technology and Informatics UTM, Adopt a Kampung, Motivation and STEM Activity dan Program Bersama Anak Gelandangan.

Program STEM diadakan bertujuan untuk mengembangkan sifat cinta akan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kalangan pelajar sekolah luar bandar iaitu dengan menunjukkan eksperimen yang mudah lagi menarik perhatian.  Manakala objektif Program bersama Anak Gelandangan oleh Feeding The Needy (FTN) ialah memberi peluang kepada mahasiswa/i menghulurkan bantuan kepada masyarakat gelandangan dengan meluangkan masa bersama anak-anak gelandangan dan mengenali kehidupan harian mereka.

Pada mulanya, semua terlihat seperti sukar dan perasaan tidak percaya diri yang datang secara berterusan bersama-sama dengan beribu persoalan. Syukur ke hadrat Illahi dengan kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa, pensyarah-pensyarah yang terlibat, antaranya, Dr Mohammad Zaki Hassan (Ketua program), Dr Habibah @ Norehan Hj Haron (Pengarah Program) dan Dr Mohamed Azlan Bin Suhot (pengetua JKM LK) yang selalu mengingatkan kami agar sentiasa perbetulkan niat sebelum melakukan sesuatu, jika mengikuti sesuatu program sukarelawan tumpukan fikiran kami kepada apa yang kami mahu sumbangkan kepada masyarakat. Hal ini membuatkan kami bertekad untuk menyahut cabaran ini.

Fasa Permulaan, pengalaman yang sukar semasa menjadi sukarelawan adalah di fasa ini, ia banyak bermain dengan ‘mental’ kami. Tetapi semua itu kami lalui dengan matang dan nilai kerjasama yang disumbangkan oleh setiap individu mengurangkan kepenatan yang dirasai oleh kami serta tunjuk ajar dari individu yang berpengalaman menyelesaikan masalah-masalah yang kami hadapi memudahkan penyiapan persediaan program ini.

Fasa Pertengahan, bermulanya fasa kepenatan dan keseronokan. Kami mempelajari banyak benda baharu bahawa setiap kata-kata memberi makna yang mendalam kepada orang yang mendengar. Contohnya, semasa kami menjalankan program STEM di beberapa buah sekolah luar bandar di Kelantan, kebanyakan mereka memiliki pemikiran yang kreatif dalam menyelesaikan masalah yang diberikan kepada mereka tetapi mereka tidak mempunyai kesempatan dalam  menyuarakan dan menunjukkan kreativiti mereka kerana kekurangan kemudahan di kawasan tersebut. Oleh itu, kami memberi kesempatan kepada mereka untuk membuktikan kreativiti dan bakat terpendam mereka dalam kaedah sains. Selain itu, semasa Program bersama Anak Gelandangan, kami belajar memahami dan mendalami frasa ayat, ‘don’t judge a book by its cover’, di mana individu yang digelar gelandangan sebenarnya bukan semuanya dari golongan yang tidak memiliki masa depan, tetapi mereka cuma tidak berpeluang untuk menjalani hidup seperti kebiasaan individu lain kerana kekangan wang dan masalah lain.

Akhir sekali, fasa penutupan iaitu penghujung program. Fasa ini merupakan fasa perkongsian pengalaman iaitu perasaan sepanjang mengikuti sebuah program, kisah duka lara, bahagia bersama dan kekurangan program tersebut. Sepanjang fasa ini, kami meluahkan perasaan gembira apabila ikut serta program ini dan berasa sedih kerana program STEM dan Program bersama Anak Gelandangan telah sampai ke penghujungnya. Terlalu banyak pengalaman yang dilalui membuatkan kami berasa seronok dan sedih apabila program tersebut telah sampai ke penghujungnya.

 

Membuat kebaikan di dunia ini, tidak semestinya berkongsi harta benda malahan wang ringgit tetapi boleh juga berkongsi sedikit kebahagiaan. Kemungkinan dengan satu senyuman mampu memberi kebahagian di sekeliling kita sekaligus mengurangkan tekanan diri buat seketika. Dengan izin Allah, segala isi yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah apabila kita bertenang.

Sesi bersama anak gelandangan, Program bersama Anak Gelandangan

Para sukarelawan bersama pasukan Feeding The Needy (FTN), Program bersama Anak Gelandangan

Fasilator bersama pelajar, Program STEM @ Kelantan

Aktiviti Paper Plane, Program STEM @ Kelantan

*Artikel di bawah ditulis oleh dua orang pelajar yang mengikuti dua program yang dianjurkan oleh kumpulan Adopt a Kampung dari Fakulti Teknologi dan Informatik Razak. Kedua-dua program ini diterajui oleh Dr Habibah @ Norehan Haron, melibatkan kolaborasi dengan beberapa pihak luar UTM dan beberapa jabatan dalam UTM KL.