April 20, 2024

Search
Close this search box.

Bengkel Keperluan Pengguna Sistem Sokongan Komuniti Bangsa Johor Bahagia (BJB)

Disediakan oleh: Nazmona Mat Ali

JOHOR BAHRU, 9 Mac – Seramai 30 pelajar jurusan Sains Komputer telah terlibat di dalam Bengkel Keperluan Pengguna Sistem Sokongan Komuniti Bangsa Johor Bahagia (BJB) yang diadakan di Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan. Turut hadir bersama adalah wakil komuniti Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai seramai 8 orang. Bengkel ini adalah kesinambungan daripada projek komuniti perintis Bangsa Johor Bahagia (BJB) yang diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johar dan Duli Yang Maha Mulia Permasuri Johor sejak tahun 2018.

Penumpuan fasa seterusnya bagi projek ini ditekankan kepada pembentukan komuniti digital selaras dengan Dasar Komuniti Negara untuk membina komuniti dan generasi mampan. Empat sasaran telah dikenalpasti bagi fasa ini iaitu pembangunan sistem sokongan komuniti, latihan modal insan teknologi maklumat, pembinaan pusat komuniti digital dan pelancaran Kelab Keyboard Warriors.

Menerusi bengkel sumbang saran ini, wakil-wakil komuniti telah berkongsi permasalahan semasa yang dihadapi oleh mereka serta cadangan penyelesaian. Empat sistem telah dikenalpasti untuk dibangunkan iaitu Sistem Pengurusan Bangsa Johor Bahagia, Sistem Tempahan Produk Komuniti, Sistem Tempahan Servis dan Sistem Tempahan Ruang dan Peralatan. Bengkel ini telah diketuai oleh Prof. Dr. Rose Alinda Alias dibantu oleh Dr. Nazmona Mat Ali daripada Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim. Manakala kumpulan pembangun sistem diketuai oleh Dr. Muhammad Iqbal Tariq Idris dan Dr. Adila Firdaus Arbain dari Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia.

Diharapkan sistem-sistem yang akan dibangunkan ini dapat membantu hal-ehwal pengurusan komuniti dengan lebih efisyen sejajar dengan pembentukan komuniti digital era Revolusi Industri 4.0. Penglibatan secara langsung dengan permasalahan semasa juga turut membantu pelajar memahami dan mengaplikasikan teori ke dalam dunia pekerjaan sebenar kelak.

Prof. Dr. Rose Alinda menerangkan permasalahan semasa yang dihadapi oleh komuniti Bangsa Johor Bahagia kepada sebahagian kumpulan pembangun sistem

 

Kumpulan pembangun sistem dan wakil komuniti bersama berbincang keperluan Sistem Sokongan Komuniti Bangsa Johor Bahagia

Explore More