April 20, 2024

Search
Close this search box.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini telah menerima kunjungan dari Education in Ireland, sebuah organisasi di bawah Kementerian Pendidikan dan Skil Ireland. Education in Ireland yang berpusat di Dublin ini berperanan sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam mempromosikan bidang pendidikan tinggi di Ireland ke seluruh dunia.

Delegasi mereka turut disertai oleh wakil daripada beberapa buah universiti dari Ireland iaitu Limerick Institute of Technology, Dublin Buness School, University of Limerick, Dublin City University dan Athlone Institute of Technology.  Lawatan setengah hari ke UTM ini diadakan dengan objektif untuk merangka kerjasama baharu dengan UTM dalam pelbagai bidang akademik dan penyelidikan.

Sebelum ini, UTM telahpun mempunyai kerjasama dengan beberapa buah universiti dari negara tersebut iaitu University College Dublin dan University of Limerick.

UTM juga kini aktif dalam projek MSc Course in Food Processing and Innovation (FOODI) di bawah program Erasmus+ Capacity Building in Higher Education sejak tahun 2018 yang merupakan aktiviti kerjasama akademik yang dinaungi oleh Kesatuan Eropah (European Union).  Projek ini melibatkan 16 buah universiti dari dalam dan luar negara termasuk UTM dan University College Dublin merupakan salah satu universiti terlibat dalam projek ini.

 

Mesyuarat antara UTM dan delegasi Ireland ini dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah (Global Strategy and Engagement), UTM International, Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin selain turut dihadiri oleh beberapa orang Penolong Dekan (Hubungan Luar dan Global) dari fakulti-fakulti di UTM.

UTM International juga telah menjemput staf UTM yang merupakan alumni daripada beberapa buah universiti di Ireland sempena pertemuan ini.

Menerusi pertemuan dan perbincangan tersebut, UTM International dengan kerjasama beberapa fakulti di UTM telah bersetuju untuk memperhalusi dan mengadakan perbincangan lanjut bagi memeterai kerjasama dengan Education in Ireland dan beberapa buah universiti ini, antaranya kerjasama dalam bidang kejuruteraan, komputeran, sains sosial dan perakaunan.

Kerjasama ini bakal membawa nama Malaysia secara amnya malah nama UTM secara khasnya ke mata dunia. Inisitiaf ini selaras dengan Bidang Tumpuan Utama universiti iaitu Kesohoran Global dan Penjenamaan seperti yang digariskan dalam Pelan Global UTM 2018-2020.

UTM International juga membuka peluang kepada semua staf dan penyelidik UTM yang berhasrat untuk mengadakan kerjasama dengan mereka untuk menghubungi Penolong Dekan (Hubungan Luar dan Global) fakulti masing-masing.

Disediakan oleh :

Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin

Ahmad Hilman Borhan@Rohan

Norhaiza binti Daud

Explore More